CUTI SATU MINGGU!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua! Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66! Jangan sesekali kita merasakan sambutan Hari Kemerdekaan sebagai suatu peristiwa yang tidak penting.

Seperti mana tajuk seperti itu jugalah saya mahu menceritakan sedikit aktiviti pada waktu lapang saya semasa cuti semester selama satu minggu ini sebelum saya akan memulakan posting saya yang terakhir pada Tahun 3 iaitu pediatrik.

Saya tidaklah keluar melancong ke luar negara atau di dalam negara seperti rakan-rakan saya yang lain. Ada yang ke Jepun, Australia, Thailand dan tidak kurang juga yang di dalam negara seperti pulau-pulau dan tanah tinggi.

Saya mengambil peluang satu minggu ini untuk merehatkan minda dan badan dari segala benda yang berkaitan dengan pelajaran. Di dalam kesempatan itu, bapa saya ada membawa kami sekeluarga ke tepian pantai di Jeram untuk menikmati makanan laut di kala matahari terbenam. 

Sudah lama juga kami tidak ke pantai untuk makan-makan seperti itu, makanannya juga boleh tahan sedap kena dengan harganya.

Tidak lama selepas itu, kami membeli-belah di pasar raya terdekat membeli kelengkapan pakaian baru dan pada hari yang sama juga kami bertolak ke kampung halaman saya. Memandangkan cuti semester saya ini kebetulan sama dengan cuti sekolah, jadi semua sepupu saya berkumpul di kampung juga.

Tidak banyak yang saya lakukan di kampung selain bermain boling dan makan angin di luar. Rata-rata kerana sepupu-sepupu saya mahu fokus mengulang kaji pelajaran. SPM sudah dekat kata mereka yakni pada Disember.

Selebihnya waktu cuti saya di isi dengan ronda-ronda pada waktu petang di kawasan perumahan, bermain semula Genshin Impact setelah hampir setahun saya meninggalkannya. 

Tambahan pula pada waktu cuti ini jugalah elaun MARA sudah tiba ke dalam akaun bank saya yang kehausan wang ringgit. Syukur pada tuhan, kini saya kembali berduit hahaha.

Tetapi itulah, sewaktu cuti pun tetap saya terima mesej-mesej yang berkaitan dengan akademik yang sedikit sebanyak merosakkan suasana percutian saya yang indah ini. Sekarang saya faham mengapa rata-rata doktor mematikan telefon mereka sewaktu mereka dalam percutian.

Memandangkan cuti saya pun hampir tiba pada penghujungnya, saya perlu cepat-cepat kembali ke dunia yang nyata. Selesai sudah saya memuat turun nota-nota yang penting untuk mengharungi posting terakhir saya pada tahun ini. Bye!


Comments

Most Popular