Refleksi seorang graduan di atas motorsikal
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Sudah dua bulan lebih saya tidak lagi bergelar sebagai seorang pelajar sepenuh masa. Sepanjang dua bulan ini, saya tidaklah duduk sahaja di rumah tidak berbuat apa-apa.
Rakan-rakan rapat saya pasti tahu yang saya bekerja sebagai penghantar makanan melalui syarikat Grab. Orang sekeliling dan sahabat handai telah menasihati saya untuk berehatlah sementara waktu kerana saya baru sahaja menamatkan pengajian.
Seminggu selepas saya tamat pengajian, saya terus memulakan penghantaran pertama saya. Apa yang boleh saya simpulkan, proses pendaftaran sebagai seorang Grabfood Rider agak ringkas dan masa menunggu juga tidak begitu lama.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa mahu kerja menghantar makanan? Kenapa tidak memilih sahaja kerja-kerja lain seperti di stesen minyak atau guru ganti?
Jawapan saya ialah fleksibiliti. Mereka yang mengenali saya pasti tahu saya bukanlah seorang yang membuat keputusan tanpa berfikir dan tanpa melakukan beberapa kajian terlebih dahulu.
Rata-rata kadar bayaran untuk satu jam sebagai pekerja separuh masa ialah sekitar RM7-RM12 namun saya perlu terikat dengan syif. Saya fikir di situ telah meragut kebebasan saya untuk mengatur jadual seharian saya selepas bertahun-tahun hidup saya diatur dengan jadual yang padat.
Jadi, saya telah mengambil keputusan untuk mendaftar sebagai seorang penghantar kerana saya boleh masuk kerja pada bila-bila masa yang saya mahukan tanpa terikat dengan sebarang jadual.
Minggu pertama saya sebagai Grabfood rider memang agak sukar. Orang lama kata ID belum 'panas'. Sangat perlahan! Saya menunggu lebih dari 3 jam dan hanya meraih pendapatan sebanyak RM20 lebih sahaja untuk 4 penghantaran.
Selepas beberapa lama, paling tinggi saya pernah dapat dalam 5 jam ialah sebanyak RM100+. Secara kebiasaannya, saya memulakan kerja sekitar jam 8 pagi dan tamat sekitar waktu Zohor. Bagi saya, sehari 5-6 jam kerja sudah mencukupi kerana secara purata pendapatan saya sekitar RM70-80 pada hari biasa dan pada hujung minggu boleh mencecah RM100 lebih.
Kos minyak motorsikal pula sehari saya akan isi dalam RM6. Hendak kata saya berjimat sepanjang saya bekerja pun tidak juga. Saya banyak berbelanja untuk barang peribadi dan juga makanan. Bab makanan ni tidak usahlah kita berkira sangat. Duit esok-esok kita boleh cari.
Komuniti penghantar makanan di kawasan saya boleh kata agak kuat juga. Kami tidak sombong jika bertegur sapa dengan rakan penghantar yang lain walaupun berbeza syarikat. Saya boleh katakan saya dapat meningkatkan softskill saya dengan memahirkan diri untuk menguasai perbualan yang ringkas.
Cukup dengan soalan "okay ke job harini bang?" sudah boleh dapatkan anda seorang rakan berbual. Hatta sedang menunggu lampu merah bertukar hijau pun cukup untuk berbual santai. Saya harap perbualan kecil begini dapat memanusiakan saya dan membantu saya menjadi seorang doktor yang disenangi masyarakat kelak.
Walaupun hanya bekerja menghantar makanan, kalau boleh cuba meningkatkan efisiensi dalam bekerja. Dua minggu juga saya ambil untuk mengenalpasti kawasan hotspot yang selalu dibanjiri pelanggan di dalam talian.
Mereka yang sudah otai juga sering memberikan tips-tips yang berguna untuk meningkatkan efisiensi bekerja. Sebagai contoh, tidak menunggu statik di satu-satu kawasan lebih dari 30 minit. Jika tiada pesanan, hidupkan enjin dan mulalah meronda di kawasan sekitar.
Kemahiran membaca peta dengan tepat dan keupayaan untuk mengenalpasti jalan pintas juga memainkan peranan sedikit sebanyak dalam memaksimakan keuntungan. Kalau anda tahu jalan yang lagi pendek, mengapa tidak ikut sahaja jalan itu?
Tipulah jika saya katakan saya tidak pernah tertumpahkan makanan pelanggan. Dalam seminggu pasti ada makanan atau minuman yang saya tidak sengaja tertumpahkan. Harus diingatkan bahawa barang yang kita hantar ini merupakan satu amanah.
Rasa macam sudah cermat tapi masih boleh bocor atau terbalik. Faktor jalan yang berlubang dan berbonggol serta bungkusan makanan yang tidak kemas juga menyebabkan peningkatan pembaziran ini berlaku (balik rumah dah satu kerja kena cuci beg).
Jika berlaku kejadian seperti itu, perkara pertama ialah kita wajib menghubungi talian khidmat pelanggan untuk memaklumkan kejadian terbabit supaya pelanggan dapat diberikan pampasan sewajarnya. Seterusnya, perlulah jujur pada pelanggan bahawa terdapat barang yang tumpah dan hadap sahajalah reaksi mereka.
Panas terik, hujan lebat semua sudah saya tempuhi semata-mata demi sedikit wang ringgit. Bila difikirkan semula, saya bukannya ada komitmen seperti majoriti penghantar makanan di sini.
Ada seorang pakcik itu baru sahaja seminggu menjadi Grabfood rider gara-gara dia diberhentikan dari sebuah kilang atas faktor kilang mahu mengecilkan operasi. Jadi dia terpaksa bekerja sepenuh masa sebagai Grabfood rider.
Kemudian ada juga satu abang itu cerita dia pernah terima pesanan berpuluh-puluh kilometer jauhnya pada malam bulan Ramadan kerana teringatkan hari raya Aidilfitri sudah menghampiri jadi dia perlu juga bekerja lebih masa sehingga lewat malam. Termenung saya mendengar cerita-cerita mereka.
Mereka-mereka ini sudah biasa untuk kerja 12-14 jam sehari dengan kadar pendapatan tidak kurang dari RM200 sehari. Namun, banyak yang perlu dikorbankan terutama kudrat dan juga masa. Semakin banyak motorsikal kita bergerak, semakin banyaklah kos untuk servis.
Saya yang 5-6 jam sehari pun macam nak tercabut tulang belakang. Belum lagi dengan terdedahnya kami dengan risiko kemalangan jalan raya terutama di kawasan saya yang penuh dengan lori-lori besar. Susah benar mencari duit. Adakah kerja yang mudah dan lumayan di muka bumi ini?
Sebenarnya ramai orang yang berhati mulia. Saya kerap dihadiahkan makanan percuma oleh vendor dan kadangkala pelanggan sendiri memberikan makanan dan tips yang banyak. Naik segan saya sebab sudahlah diberikan tips tapi makanan yang saya hantar cacamerba pula huhuhu.
Bekas guru-guru, kawan-kawan lama semua saya sudah terserempak sepanjang saya berada di jalanan menghantar makanan. Saya yang mengenakan topeng muka dan kacamata bewarna-warni pastinya tidak mampu dikenali oleh sesiapa pun.
Satu perkara tentang ID Grabfood rider ini terdapat dua jenis ID iaitu halal dan non-halal. Untuk ID non-halal boleh dikatakan hampir semua kedai yang tiada logo halal akan memberikan pesanan untuk anda ambil. Beg khas untuk non-halal akan diberikan kepada rider.
Ramai orang kurang tahu bahawa kadang-kadang kedai yang seakan-akan seperti 7-e tidak mempunyai logo halal walaupun barangan di dalamnya ada logo halal. Alhamdulillah saya ID halal.
Bukan setakat makanan sahaja saya hantar, makanan kucing, barangan kosmetik, ubat-ubatan, lampin, parcel dan sejambak bunga pun saya sudah hantar!
Macam-macam ragam pelanggan dan tuan kedai saya hadapi sepanjang menjadi seorang budak despatch ini. Ada yang manis dan ada juga yang menyakitkan hati. Tetapi tidak mengapalah, saya suka mengambil semua ini sebagai satu pengajaran dan menjadi sebahagian pengalaman dalam hidup saya.
Saya rasa setakat ini sahaja yang saya mahu kongsikan. Jumpa di lain masa. Selamat menyambut tahun baru Cina dan selamat berpuasa!
kalau dah bosan jadi rider, boleh try jadi cs grab pula #yangkentalpastisampai HSHS
ReplyDeleteKerja office bukan gaya saya
Delete