SEMESTER 7 SUDAH TAMAT: REWIND!


Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca.

Ya, memang betul saya baru sahaja menamatkan semester ketujuh saya dalam sekolah perubatan menjadikan baki semester sebanyak tiga semester sahaja lagi. Tatkala kawan-kawan sebaya saya sudah berkerjaya dan ada pun yang ingin menutup kisah mereka di kehidupan universiti, saya masih mempunyai perjalanan yang panjang.

Tidak mengapalah, perjalanan masing-masing. Kami masih muda, baru berusia 23 tahun. Saya doakan mereka semua berjaya dalam bidang masing-masing. Bagi yang sudah berkeluarga, jangan lupakan tanggungjawab dalam keluarga.

Baru-baru ini, saya baru menamatkan peperiksaan akhir semester 7 yang berlangsung selama 3 hari. Pada hari Isnin dan Selasa, kertas Surgery dan Psychiatry dijalankan dan hari Khamis untuk Primary Care. Alhamdulillah, tidak terlalu sukar dan tidak terlalu mudah. Orang kata, boleh jawab jugalah walaupun ada yang sangkut-sangkut.

KULIAH
Mari kita bermuhasabah diri dan merenung semula kejadian yang berlaku sepanjang 6 bulan ini. Pada awal semester, kami menduduki posting radiologi dan rehabilitasi sepanjang beberapa minggu. Begitu juga posting primary care (theory) selama satu bulan. Posting yang agak santai, hanya perlu menghadiri kuliah dan menjawab beberapa soalan dan kuiz sahaja.

Selepas itu bermulalah posting yang menarik sekali iaitu psikiatri. Bermacam-macam emosi bercampur-baur semasa di posting ini. Gembira bercampur sedih melihat gelagat mereka. Berat ujian mereka di sana. Sakit emosi dan fikiran sama pedihnya dengan sakit luaran. Walaupun mereka itu pesakit mental, saya belajar banyak ilmu kehidupan bersama mereka. Mereka gemar memberi nasihat dan bila difikirkan semula ada benarnya. Namun selepas sesi nasihat, mereka kembali semula dengan keadaan mereka yang di luar jangkaan hahaha.

Teringat semasa oncall sehingga pukul 10 malam, kebanyakannya kami akan bersembang sahaja dengan pesakit di sana. Jika semua sudah tidur, kami ambil kesempatan untuk mengulang kaji pelajaran. 

Begitu juga semasa di posting surgery yang pada ketika itu di bulan puasa. Gigih juga ke sana ke mari, sehingga berbuka di dalam surau hospital dengan roti dan air sahaja. Surgery juga sebenarnya merupakan killer subject bagi saya. Entah mengapa soalan peperiksaan surgery pasti sangat teliti. Boleh pula soalan yang keluar adalah sebahagian daripada General Surgery sedangkan kami sedang berada di pembedahan pengkhususan. Berpeluh-peluh jawab sebabnya kali terakhir belajar General Surgery ialah tahun lepas juga pada bulan puasa. Koyak rabak kami di situ hahaha.

Di posting Primary Care, dapat sedikit sebanyak melihat cara kerja doktor di klinik kesihatan dan sejujurnya saya suka posting ini kerana pendekatan yang lebih kepada merawat dalam jangka masa panjang. Penat sebenarnya jadi doktor klinik ini tetapi lebih fleksibel saya rasa.

Tiba-tiba teringat semasa ujian konsultasi tempoh hari, agak banyak kekurangan yang saya lakukan semasa di station hyperlipidemia (kolesterol tinggi). Paling teruk saya terlupa untuk memulakan ubat kolesterol kepada pesakit saya. Sembang pum-pang pum-pang pasal diet dan senaman tapi terlupa pasal ubat. Doktor hanya memerhati dari sudut bilik melihat konsultasi saya yang tidak sempurna. Nasib baiklah ini hanya peperiksaan, saya pasti tidak akan mengulangi kesilapan tersebut apabila saya sudah bekerja nanti.

Study week pun hanya seminggu saja. Bila difikirkan semula, macam mana boleh sempat study semua benda dalam seminggu. Jawapannya mudah, jangan study last minute dan pastikan sentiasa memberikan 100% untuk mengekalkan informasi dengan lebih lama. Study week ini hanya digunakan untuk revision sahaja.

RIADAH
Selain daripada belajar, saya juga menceburi satu sukan yang baru iaitu sukan ping-pong! Saya sejujurnya memang tidak pandai langsung bermain ping-pong dan tahun ini merupakan kali pertama saya belajar memegang bet ping-pong. Ambil masa jugalah untuk menaikkan diri ke peringkat amatur/boleh main. Setelah dimalukan dan ditertawakan beratus kali, kini giliran saya untuk membuat mereka berduka.


Selain daripada membinasakan badan di gim dan berjogging. Kadang kala kami ada juga bermain frisbee seperti selalu. Bila difikirkan semula hanya bola jaring dan bola keranjang saja kami tidak main. Selain daripada itu, semua sudah kami bermain. Riadah amat penting ya kawan-kawan, badan cergas otak cerdas!

BONDING TIME
Ada juga beberapa ketika saya keluar bersama-sama kelas saya untuk beriadah atau keluar makan. Saya sebenarnya suka menghabiskan masa lapang saya dengan mereka kerana saya merasakan kami sudah lama bersama sebenarnya sebagai satu kumpulan. Naik basikal, berjalan-jalan di pasar seni, bermain badminton dan lain-lain. Kalau dengan housemates pula juga begitu tetapi lebih kerap. Saya tidak suka duduk bilik tidak berbuat apa-apa. Kalau ada yang ajak cafe hunting, saya pasti akan turut serta. Seronok pula mencuba pelbagai menu baharu walaupun sekali makan boleh mencecah RM50 seorang. Terpaksa la ikat perut di kemudian hari.😓

MI TARIK & GEPREK
Saya paling hairan dengan dua menu puaka ini. Fenomena dua makanan ini meletus di kalangan kami. Sekejap-sekejap mi tarik, esok lusa geprek pula! Dua menu ini sering menjadi pilihan dan beberapa team eksplorasi mencari port mi tarik dan geprek paling sedap di sekitar Selangor KL telah berhasil memberikan beberapa lokasi paling padu dengan harga berpatutan. 

berapa agaknya kalori

KATA PENUTUP
Semester 7 berakhir dengan jayanya. Memang sangat seronok walaupun bebanan dan tekanan pelajaran masih ada dan bertambah dari hari ke hari. Rasa lebih selesa dan sudah beradaptasi dalam dunia klinikal jika dibandingkan dengan tahun lepas. Keputusan peperiksaan kami sudah pun keluar dan seperti biasa mengambil masa seminggu sahaja seperti biasa untuk ditanda. Alhamdulillah saya lulus semua posting saya di semester 7! Ada yang A dan ada yang B, saya berazam untuk tidak dapatkan gred C pada tahun ini. 

Doakan saya agar terus bersyukur dan istiqamah dalam perjuangan saya di sekolah perubatan ini yang hanya berbaki satu tahun lebih sahaja. Semoga kita berjumpa lagi di masa akan datang!

Comments

Post a Comment

Most Popular