YEAY RAYA LAGI!

 Assalamualaikum dan salam sejahtera semua! 

Alhamdulillah, selesai sudah ibadah puasa pada tahun 2025 kali ini. Pembaca lelaki saya harap semua dapat puasa penuh ya (kecuali ada sebab munasabah)!

Raya kali ini masih lagi meriah disambut di kampung halaman saya di ibu kota negeri Perak. Awal saya pulang ke sana, kira-kira 5 hari sebelum Syawal.

Disebabkan naik sahaja cuti raya terus peperiksaan akhir semester 9, saya kenalah juga mengulang kaji pelajaran di kampung. Suasana yang tidak kondusif. Riuh rendah sebenarnya rumah itu dipenuhi dengan pelbagai ragam. 

Tetapi, anda tahu apa itu white noise? Saya anggap semua itu white noise saya sahaja kerana sejak kecil lagi memang saya mengulang kaji pelajaran dengan latar belakang televisyen.

Tipu kalau saya kata tidak terganggu walau sedikitpun. Saya masih terganggu tapi masih boleh bertoleransi. Keluarga saya besar, adatlah suasana sebegitu. Ini bukan rumah saya atau perpustakaan di mana saya ada ruang peribadi untuk belajar.

Persiapan raya pada tahun ini tidaklah begitu gah tetapi cukup untuk disambut 4 buah keluarga. Sambil mereka menyiapkan rendang daging dan ayam, sesekali saya tolong juga masuk dapur bantu apa yang patut. 

Baju raya pun saya beli di Pasar raya berdekatan rumah saya sahaja. Jaranglah saya akan ke ekspo atau ke kedai baju raya yang viral di pasaran. Kalau tema pula, keluarga saya memang tidak ikut tema. Pilih sahaja warna yang berkenan di mata sendiri.

Malam raya seperti kebiasaan, bapa saudara saya pasti akan mengeluarkan wang untuk membeli mercun dengan kuantiti yang banyak untuk sepupu-sepupu kami bermain. Bapa saudara yang seorang itu memang tidak pernah kedekut dan berkira dengan anak-anak saudaranya.

Hanya malam raya dan hari raya sahaja saya tidak buka buku langsung. Selain dari itu, memang saya akan membuat latihan soalan-soalan yang lepas hahaha.

Saya mula bersiap sekitar 7 pagi lebih begitu. Kelam kabut juga nak solat sunat raya tapi tak sempat juga. Apa boleh buat, saya mengisi perut yang kosong sahajalah begitu.

Pada pagi raya yang hening selepas bersalaman dan bermaafan, kami semua bergerak ke rumah saudara mara kami di Perak Tengah. Kebanyakkannya, keluarga sebelah opah. Saya tidak tahulah, keluarga kami memang sangat besar. 

Kalau cam muka, saya kenal sahaja cuma nama sahaja saya tidak pasti kerana muka juga dekat dekat sama. Saya sehabis boleh cuba tidak mengarahkan perhatian kepada saya, saya segan nak bagitahu saya belajar apa dengan mereka.

Ambil makanan dan minuman, dan makan di luar senyap-senyap. Entah apa nak jadi dengan saya, yakin diri itu makin kurang atau mungkin saya tidak suka dipuji sebegitu. Selepas itu, saya singgah pula ke rumah nenek sepupu saya.

Cuba teka apa makanan yang dihidangkan. Memang langkah kanan saya pada hari itu! Mereka sediakan sup tulang dan juga tempoyak. Sedap bukan main lagi.

Saya dah naik jemu makan rendang dan lemang sahaja dari semalam. Saya bukan gemar sangat makan rendang daging semua ini. Dua pinggan saya tambah kerana mengenangkan di rumah nanti pun hanya ada rendang saja, hahaha.

Baik, itu sahaja yang saya mahu ceritakan. Jumpa lagi!


Comments

Most Popular