RAYA VS FINAL EXAM SEMESTER 9! SIAPA PULA BUAT JADUAL MACAM INI!
Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca sekalian yang masih setia di sini! Terima kasih kerana sudi membaca penulisan saya.
Ya betul. Peperiksaan saya berlangsung seminggu selepas hari raya aidilfitri! Memang kacau betul. Rosak sedikit mood beraya saya tahun ini.
Orang mahu berseronok tetapi saya sedang berhempas pulas mengulangkaji pelajaran. Tetapi tidak mengapa, saya anggap ini satu latihan pada waktu akan datang.
Peperiksaan akhir Semester 9 jatuh tidak lama selepas Aidilfitri. Bila tarikh peperiksaan diumumkan, saya hanya mampu menghela nafas panjang. Cuti raya bukan lagi sepenuhnya ‘cuti’, tetapi lebih kepada fasa intensif ulangkaji yang bertemankan lembaran nota, soalan lepas, dan degupan jantung yang makin laju menjelang hari penentu.
Saya pulang ke kampung seperti biasa seminggu sebelum Syawal. Namun, suasananya sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Kali ini, saya membawa bersama beg yang bukan hanya berisi baju raya, tetapi juga iPad, nota-nota tebal, dan semangat untuk tetap belajar walaupun dalam suasana yang penuh dengan gelak tawa dan kemeriahan keluarga.
Cabaran Belajar di Kampung
Di kampung, saya tiada bilik sendiri. Jadi, tempat saya belajar hanyalah satu sudut kecil di ruang tamu. Syukurlah, ada satu meja dan kerusi cukup untuk saya membuka iPad dan menulis di buku latihan. Tapi lokasi itu betul-betul berada di tengah laluan antara dapur dan ruang tamu. Bayangkan, orang lalu lalang setiap lima minit, ada yang menegur, ada yang berbual riuh, malah ada juga yang menyuruh saya angkat barang sebentar.
Lebih mencabar, sepupu-sepupu saya ramai, dan PS4 dihidupkan hampir sepanjang masa dan kebetulan pula diletakkan betul-betul di belakang meja saya! Bunyi sorakan bila menang FIFA, dan gelak tawa mereka menjadi latar bunyi yang sentiasa ada. Tapi anehnya, saya tidak terganggu. Mungkin sebab saya sudah nekad. Saya tahu masa saya tidak banyak, dan saya tak boleh harapkan suasana sempurna untuk mula fokus.
Rutin Belajar: Dari Pagi ke Malam
Setiap hari, saya akan duduk di kerusi itu dari pagi hingga malam, hanya bangun bila perlu makan, solat, atau bantu apa-apa kerja rumah. Saya ulangkaji menggunakan soalan-soalan tahun lepas, latihan demi latihan. Saya percaya, dengan melihat pola soalan dan membiasakan diri menjawab dalam masa yang ditetapkan, saya boleh mendalami pemahaman saya dengan lebih berkesan.
Walaupun suasana agak kacau, saya tetap rasa satu ketenangan bila berjaya menyelesaikan beberapa topik atau menjawab set soalan dengan baik. Saya tahu saya tidak boleh ulang semua subjek dengan sempurna, tapi saya cuba sedaya mungkin.
Dua posting saya kena selesaikan dalam masa dua minggu! Kalau sedikit tak apalah.
Rehat Seketika: Malam Raya dan Hari Pertama Aidilfitri
Saya beri diri saya rehat penuh hanya pada malam raya dan hari raya pertama. Malam raya, saya nikmati saat membantu keluarga memasak dan melayan kerenah sepupu kecil.
Saya keluar juga beli songkok sebab saya memang tak pernah ada songkok sejak beberapa lama entah. Bazar raya masih meriah di Ipoh terutama malam raya. Setiap tahun mesti saya akan pergi dengan sepupu-sepupu saya.
Hari raya pertama pula saya luangkan masa untuk bermaaf-maafan, ziarah rumah saudara, dan merakam kenangan dengan kamera saya yang sudah lama tersimpan.
Mulalah orang tanya saya bila mahu habis belajar dan berapa lama dapat cuti. Saya sejujurnya sedikit segan bila orang tahu saya belajar perubatan.
Tapi sebaik sahaja malam menjelma pada hari raya kedua, saya kembali ke meja kecil itu. Ipad dibuka, nota disemak semula, dan saya teruskan perjuangan ulangkaji walaupun hanya satu jam, tetap saya usahakan. Saya tidak mahu cuti ini berlalu dengan penyesalan.
Refleksi dan Syukur
Kini, apabila saya menulis entri ini selepas tamat peperiksaan, saya rasa bangga dengan diri sendiri. Bukan sebab saya yakin saya akan dapat keputusan cemerlang, tapi kerana saya tahu saya sudah berusaha sehabis baik dalam keadaan yang bukan mudah.
Belajar di kampung tanpa ruang peribadi, dengan gangguan bunyi dan aktiviti keluarga yang tidak pernah berhenti, memerlukan bukan saja fokus tetapi juga disiplin dan ketabahan. Saya belajar satu perkara penting: kesempurnaan suasana bukan syarat untuk kejayaan. Yang penting ialah tekad dan konsistensi.
Terima kasih kepada keluarga saya yang memahami bila saya perlu fokus. Terima kasih kepada sepupu-sepupu yang tidak marah bila saya minta mereka kecilkan suara (walaupun kadang-kadang mereka lupa selepas 5 minit!). Dan terima kasih kepada diri saya sendiri, kerana tidak putus asa walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.
Haha baca masa Aidiladha, and you still have to study during this time! 🤣
ReplyDelete