Panggilan Ke Tanah Haram: Mekah Al-Mukarramah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah di atas nikmat yang Allah STW kurniakan kepada kita semua. Terima kasih kerana masih setia membaca penulisan saya ini.

Pada penghujung bulan Mac 2026 atau sekitar seminggu selepas menjelang Syawal, saya dan keluarga berangkat ke tanah suci Mekah. Syukur kehadrat Illahi kerana menjemput kami sekeluarga ke sana.

Segala jenis persiapan untuk umrah sudah saya lengkapkan. Cuma dari sudut rohani, saya rasa saya masih belum bersedia. Minda saya hanya lebih menumpukan kepada tempat-tempat bersejarah, tempat membeli-belah yang saya mahu ziarah di kedua-dua tanah haram.

Saya dan kumpulan jemaah yang lain seramai 46 orang telah berkumpul di KLIA 1 pada jam 2230H sebelum menaiki kapal terbang dibawah syarikat Saudia Airlines dan berlepas pada jam sekitar 2:15 pagi waktu Malaysia.

Mesmerising
                                    

Jarak hotel kami ke masjidil haram sekitar 300 meter. Sepanjang 6 malam saya di mekah, memang laluan itu sajalah yang saya gunakan. Memang sedikit jauh untuk ke masjid tapi syukur alhamdulillah dikurniakan kesihatan dan kudrat untuk menapak.

Hotel kami menyediakan makanan 3 kali sehari dengan citarasa Malaysia. Di sekitar hotel kami pun terdapat kedai-kedai makan dan kedai runcit jika mahu membeli makanan lain.

Kami melakukan umrah buat kali pertama pada jam 11 malam, suasana ketika itu sangatlah meriah dan hidup. Selepas berniat ihram di miqat Qarnul Manazil di Taif, kami terus melalukan ibadah umrah sejurus sampai di Masjidil Haram.

Semasa turun di eskalator untuk menuju ke Kaabah, itulah kali pertama saya melihat sendiri rupa bentuk Kaabah yang sebenar. Tiada kata-kata yang mampu saya ungkapkan untuk menggambarkan apa yang berada di fikiran saya pada ketika itu. Minda saya terasa kosong. Begitu menakjubkan. 

Begitu ramai sekali umat manusia yang juga sedang melakukan ibadah tawaf. Disebabkan keadaan yang padat dengan manusia serta bercampur lelaki dan wanita, agak sukar untuk menjaga air wuduk semasa dalam ibadah tawaf. Oleh itu, rata-rata jemaah akan mengikut pandangan mazhab Hanafi, Hanbali dan Maliki di mana tidak batal air wuduk jika bersentuhan lelaki dan perempuan (Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, 2016).

Selepas tawaf kami terus melakukan ibadah Saie. Punyalah ramai tetamu Allah pada ketika itu. Memang hendak jalan pun hanya mampu dalam langkah yang kecil dan perlahan saja.

Fakta menarik, bukit Marwah dan bukit Safa ada satu-satunya bukit yang berada dalam kawasan tertutup iaitu di dalam bangunan di seluruh dunia. Kita dapat lihat sendiri bukit itu yang kawasannya sudah satu aras dengan lantai untuk ibadah saie. 

Nampak tak Bukit Safa di situ berada di dalam bangunan!

Usai ibadah saie habis sekitar 2 pagi, maka ibadah yang terakhir untuk umrah kita ialah perlulah kita bertahalul iaitu bercukur atau menggunting rambut sekurang-kurangnya 3 helai.

 وَعَنْـ [ ـهُ ] ; { أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ ( قَالَ: ” اَللَّهُمَّ ارْحَمِ اَلْمُحَلِّقِينَ ” قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اَللَّهِ. قَالَ فِي اَلثَّالِثَةِ: ” وَالْمُقَصِّرِينَ ” } مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .

Dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berdoa, “Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambutnya.” Mereka bertanya, “Orang-orang yang memendekkan rambutnya, wahai Rasulullah?” Beliau berdoa untuk yang ketiga, “Dan orang-orang yang memendekkan rambutnya.” (Muttafaqun ‘alaih) [HR. Bukhari, no. 1727 dan Muslim, no. 1301.


Memetik kata-kata dari mutawif, inilah ujian keimanan untuk jemaah lelaki. Kerana rambut adalah mahkota untuk para jemaah lelaki. Nabi Muhammad SAW mendoakan tiga kali untuk mereka yang mencukur habis rambutnya dan sekali untuk mereka yang hanya memotong sebagian rambutnya. Hal ini menunjukkan bahwa mencukur habis rambut memiliki pahala yang lebih besar.

Agensi kami menawarkan 3 kali umrah. Jadi untuk umrah kedua dan ketiga saya melakukan sendiri tanpa mengikuti mutawif. Terima kasih untuk bimbingan mutawif pada umrah pertama yang sangat jelas, saya mampu untuk berdikari sendiri. Lagi pun, ada ahli keluarga saya yang memerlukan bantuan kerusi roda. 

Jemaah yang berkerusi roda akan melakukan ibadah tawaf dan saie di tempat yang berasingan. Walaupun begitu, tidak kurang sedikit pun pengalaman dan terasing pun dengan jemaah yang lain. Malah, saya bersyukur kerana dapat merasai sendiri kedua-dua kawasan iaitu untuk yang berkerusi roda dan juga jemaah biasa.

Sepanjang di kota Mekah, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk melawat tempat-tempat bersejarah seperti di Masjid Ibnu Abbas, Hudaibiyah, Jabal Rahmah, Gua Hira dan lain-lain. 

Gua Hira di Jabal Nur

Agensi kami mempunyai jadual yang agak santai. Selang sehari akan diberikan aktiviti bebas. Jadi, pada waktu bebas saya akan keluar untuk mencari hadiah-hadiah untuk diberikan kepada keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Pada waktu malam kebiasaannya, saya akan mencari kedai-kedai makan popular di kawasan sekitar. Selain dari sumber TikTok, saya juga akan bertanyakan kepada kawan saya yang sudah biasa mengerjakan ibadah umrah.

Habis semua tempat viral sudah saya lawati. Bukan apa, cuma sebagai kenang-kenangan. Entah bila pula saya akan datang ke sini lagi. 

Safwah Tower dan Menara jam memang tempat-tempat jemaah akan pergi untuk membeli-belah dan untuk mencari makanan. Kalau nak tahu, peniaga-peniaga di sini memang akan sedikit menekan-nekan. Kalau tak berani cakap "No" memang cepatlah habis duit.

Satu lagi, boleh kata semua peniaga dekat sini boleh cakap Bahasa Melayu. Sama ada slang Indonesia ataupun sebaliknya. Jadi, sepanjang enam hari saya di Mekah memang saya rasa macam duduk dekat Malaysia saja.

Tawar menawar ini sebenarnya tergantung atas individu. Kalau awak rasa boleh dapat harga lebih murah, silalah buka harga awak. Kebiasaannya, mereka akan ikut sahaja harga awak yang tawar kepada mereka. Sila akhiri ayat tawaran awak dengan perkataan "Halal!" untuk lebih terlihat serius dan muktamad hahaha.

Jubah lelaki/wanita, sejadah, minyak wangi adalah sangat popular

Jarak antara semua tempat adalah jauh dan perlu berjalan, jadi saya sarankan untuk memakai kasut yang selesa. Cuaca juga bergantung pada bulan berapa awak datang menunaikan ibadah umrah. Saya pergi ketika musim bunga jadi agak panas juga tetapi panasnya panas kering dan bukan panas lembap seperti di Malaysia. Jadi, tekak dan bibir kita akan kering. 

Pakailah sunscreen guys

Walaupun negara kita merupakan negara berbilang kaum, saya merasakan di Tanah Haram ini saya berpeluang untuk mengenali jemaah dari negara lain. Saya sentiasa merasa kagum sepanjang di sana. Membuatkan saya terfikir, beginikah nanti di syurga kelak. Membuka minda saya tentang cara hidup dan budaya jemaah di negara lain.

Menu sebuah restoran berhampiran hotel saya

Memetik kata mutawif saya, mereka (orang Arab) suka makan ayam goreng tapi pelik ayam susah nak dapat dekat sini. Tambah beliau lagi, buah pisang dan epal dianggap buah yang sangat jarang-jarang ditemui dan pernah menjadi hadiah untuk kerabat diraja suatu masa dahulu.

Kalau boleh, cubalah solat berjemaah di Masjidil Haram setiap waktu. Tempat kegemaran saya untuk solat berjemaah adalah di kawasan bumbung (rooftop) Masjidil Haram. Di situ, kita boleh nampak Kaabah dari atas dan jemaah-jemaah yang sedang melakukan tawaf. Pemandangan yang sangat mahal dan indah.

Datang awal kalau hendak berada di saf pertama!

Nasi Unta! Sedap gila weh!!!

Kalau anda semua berpeluang ke sana satu hari nanti (amiin), tolonglah cuba nasi unta ini terutama di kedai Habsi Habsya! Masyaallah sedap betul daging unta yang dihidangkan. Nak kata rasa macam kambing pun bukan lembu pun bukan. Memang rasa yang unik dan sanggap empuk. 

Mutawif kata kalau lepas makan daging unta, badan akan rasa panas sedikit dan mungkin terikut-ikut sifat unta yang keras dan tegap. Sekadar gurauan mutawif agaknya. Oh lepas tu, orang Arab suka betul makan dengan limau dan cili hijau tu. Tapi cilinya tak pedas sangat, mungkin siapa yang biasa makan ayam gepuk boleh telan je cili tanpa seteguk air.

Banyak lagi yang saya mahu ceritakan di sini tetapi saya rasa itu sahaja yang menarik saya mahu kongsikan. Semoga saya dipanggil semula ke sini satu hari nanti, insyaallah. Jumpa di entry yang seterusnya, Madinah Al-Munawarah!


Comments

Most Popular