PROGRAM TRANSFORMASI MINDA! PENGENALAN KEPADA PENJAWAT AWAM!

 Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada awal Jun tempoh hari, saya telah menghadiri satu program di bawah kerajaan yang dinamakan Program Transformasi Minda (PTM). Semua pegawai perubatan siswazah (PPS) telah dilantik secara rasmi ketika mereka melangkah masuk ke pintu dewan AnCasa Resort di Teluk Kemang, Port Dickson.

Di saat itulah juga gaji kami sudah berjalan. PTM dijalankan di seluruh negara dan terbahagi kepada beberapa zon iaitu zon tengah-selatan, zon utara, zon timur, zon Sabah dan zon Sarawak.

Saya juga terkejut apabila zon tengah digabungkan dengan zon selatan. Jadi bayangkan, PPS dari KL, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor dikumpulkan di satu tempat yang sama. Berjumlahkan 300 PPS, semestinya jumlah yang sangat besar.

Dalam 300 orang, majoriti adalah daripada UiTM! Seolah-olah saya datang ke kelas biasa sahaja sebab muka-muka semua saya biasa nampak hahaha. Logiklah kerana majoriti kami memang memilih zon tengah dan selatan.

Pendaftaran tutup pada jam 11:15 pagi dan pada jam 10:45 saya masih di atas lebuhraya memandu kereta dengan kelajuan mencecah 160 km/j bersama lagi dengan tiga rakan baik saya. Masing-masing lalai dan leka kerana kami berkumpul di RNR Seremban untuk berkumpul.

Tiap-tiap daripada kami sudah diberikan nombor badan jadi ketika melangkah masuk sahaja ke dewan, kami terus sahaja ke tempat duduk mengikut nombor badan masing-masing.

Semua PPS dilihat masing-masing sibuk menyusun dokumen yang diperlukan oleh pihak penganjur program. Encik Firdaus giat memberikan arahan untuk mengasingkan dokumen salinan dan dokumen asal. 

PTM memang sangat padat dari pukul 8 pagi sehinggalah 10 malam pasti akan ada slot yang diisi dengan penerangan-penerangan tentang penjawat awam. Di samping itu, ada beberapa tugasan berkumpulan yang akan diberikan oleh Encik Firdaus. 

Kebiasannya, setiap hari akan diisi dengan ceramah-ceramah berkaitan dengan penjawat awam. Mereka menegaskan bahawa ia sangat penting untuk setiap penjawat awam untuk menghayati peraturan-peraturan sebagai penjawat awam. Siap ada ujian tau di akhir program, siapa tidak lulus perlu ulang bahagian tertentu sehinggalah lulus.


Ceramah mengenai sejarah Malaysia, akta-akta penjawat awam, cara menguruskan kewangan dan lain-lain. Di samping semua itu, akan ada tugasan seperti menghasilkan video-video mengenai ceramah tersebut dengan kumpulan masing-masing.

Seperti sedia maklum, pada penghujung program pasti akan ada "malam kebudayaan". Itulah yang saya paling takuti sekali. Saya takut kalau disuruh menari hahaha. Nasib baik, Encik Firdaus memberikan tugasan untuk menghasilkan sebuah video lakonan mengenai situasi yang diberikan. 

Setiap hari kami akan duduk untuk mesyuarat kumpulan tentang skrip, jurukamera, pelakon dan lain-lain. Syukur saya mempunyai ahli-ahli kumpulan yang bersemangat. Semua orang terlibat dan memainkan peranan besar.


Dibesarkan di kawasan majoriti penduduknya Melayu dan dua institusi terakhir saya adalah UiTM menyebabkan saya kekurangan kawan dari kaum lain. Bukannya saya tiada kawan berbangsa lain cuma mereka tidak ramai. Sedikit sebanyak, PTM ini telah merapatkan jurang perkauman dan menyemarakkan semangat perpaduan.

Bertempatkan di sebuah resort bersebelahan di pantai, memang suasana yang sangat seronok. Sudah lama saya tidak ke pantai apatah lagi mandi di pantai. Saya dan kawan-kawan mengambil peluang untuk mandi laut pada hari kedua terakhir di sana. Sempatlah juga saya ajar kawan-kawan saya untuk terapung di permukaan air. Rugi kalau tidak belajar terapung lebih-lebih lagi air laut yang membuatkan daya apung kita meningkat.


Hari terakhir PTM, kami semua mengucapkan selamat tinggal dan selamat maju jaya kepada semua kawan-kawan. Masing-masing akan melapor diri ke hospital masing-masing dan menjalani latihan housemanship. Baiklah, sampai sini saja cerita saya pada kali ini. Jumpa lagi!


Comments

Post a Comment

Most Popular