Hasrat Remaja

    Selama hampir dua tahun aku menyisir rambutku yang panjangnya mencecah bahu. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan yang diperkenalkan oleh kerajaan awal 2020, aku berazam untuk menyimpan rambut. Jujur kata, tidak mudah untuk menyimpan rambut pada awalnya. Pasti ada tentangan dari semua arah yang aku rasakan tidak bersetuju akan hasrat aku ini.

    Aku pada asalnya merupakan seorang yang "sikat tepi" sejak dari kecil lagi. Tidak pernah sekali aku terlintas bahawa rambut sikat tengah amat sesuai dengan bentuk muka aku. Saban hari, aku melihat pertumbuhan rambut aku dari pendek ke panjang. Sesungguhnya, aku sangat bangga dan gembira akan rambut aku yang ikal mayang ini.

    Keyakinan diri aku bertambah kuat dengan adanya rambut panjang ini. Aku merasakan lebih berani untuk tampil dengan imej yang baharu dan memadam semua versi diriku yang lama. Aku adalah manusia yang baru.

    Lantai bilik aku dipenuhi dengan helaian rambut yang gugur. Aku merasakan ini suatu perkara yang normal dalam membela rambut panjang. Makin lama, semakin banyak yang gugur malah jika aku menyisir rambutku menggunakan jari juga sudah memadai untuk mendapatkan lima ke enam helai rambut. Aku mula mencari solusi.

    Beberapa rawatan penjagaan rambut aku jumpa di sosial media aku gunakan sebagai rutin harian penjagaan rambut. Aku juga belajar tentang jenama-jenama produk rambut yang terbaik dengan harga yang berpatutan. Selain syampu aku juga menggunakan serum untuk kesihatan rambut. Ternyata selepas beberapa minggu, ia mula membuahkan hasil yang memberangsangkan.

    Kini, rambut aku kelihatan lebih bersinar dan sihat. Namun, ada perkara yang meresahkan aku sepanjang proses aku menyimpan rambut. Belajar dalam talian kadang kala memerlukan aku untuk membuka kamera bagi menampakkan wajah. Pasti aku akan runsing untuk mengikat rambut aku agar tidak kelihatan panjang. Peraturan tidak membenarkan rambut panjang sebagai sahsiah rupa diri amat tidak masuk akal.

    Setiap kali tugasan yang perlu merakam video aku bercakap, aku pasti akan sedaya upaya mengikat rambut aku sehingga terlihat sebagai pendek dan yang penting seperti "sikat tepi". Tidak percaya juga kerana ini juga salah satu teknik dandanan yang aku peroleh sendiri demi sebuah tugasan.

    

Rambut aku akan diikat di belakang dan di hadapan pula akan disikat kemas


    Rambut panjang juga mengajarku tentang masyarakat setempat. Stigma masyarakat menentukan cara layanan dan cara pandang terhadap lelaki yang menyimpan rambut panjang seperti aku. Pandangan jelik, takut, hairan, kagum semua sudah aku tatap di mata mereka. Mereka juga akan terus bertanya tentang tempat kerja aku sedangkan aku masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi setempat. Walaupun begitu, aku tidak pernah terasa hati jikalau mereka tidak percaya jika aku mengatakan hal yang sebenar. Kerana aku juga, tidak percaya. Setiap kali perjumpaan keluarga, pasti aku akan disebut-sebut kerana rambut yang panjang. Aku merasa geli hati akan hal ini.

    Disember 2021 aku mengambil keputusan untuk mewarnakan rambut aku dengan warna yang sedikit merah. Seperti yang aku nyatakan, rambutku sungguh memberikan aku keberanian untuk melakukan perubahan imej diri. Petang Jumaat yang terik, aku mewarnakan rambutku dengan bantuan ibu. Pengalaman mewarnakan rambut juga amat baru bagiku. Tidak aku sangkakan yang mewarnakan rambut juga sangat pedih di kulit. Aku juga masih ingat rambutku pada waktu itu sangat kering dan berbau selepas mewarnakannya.

    Di bawah cahaya matahari, warna merah memancar-mancar dari jauh bagi sesiapa yang melihatnya. Kini aku membawakan imej seorang yang agak liar di mata masyarakat. Aku tidak peduli apa kata orang, kepuasan diri aku adalah paling utama sekali. Beberapa keping gambar aku simpan sebagai kenangan. Sebagai bukti aku merealisasikan fantasi remaja aku berkat wabak Covid-19.

   Potongan gaya "Wolfcut" adalah pilihan utama aku dalam memilih gaya potongan rambut yang baharu. Aku tertarik dengan alunan rambut gaya "Wolfcut" yang aku rasakan sangat cantik dan menyerlah selain satu ikutan pada ketika ini. Mujur aku mempunyai rakan yang berkemahiran dalam menggunting rambut, tidak perlu susah-susah aku ke kedai gunting rambut dan yang paling utama ialah ianya percuma.

    

Wolfcut

    Tidak ada yang lebih aku banggakan selain dari rambutku sendiri. Ini menyebabkan aku sangat sukar untuk melepaskannya. Aku cuma mampu bermimpi untuk menyimpan rambut panjangku selamanya. Oleh sebab itu juga aku tidak mahu pulang ke kampus. Sudah pasti rambutku melanggar peraturan rupa sahsiah diri pelajar.

   Tanggal 28 April 2022, aku mengambil keputusan untuk memotong rambut. Jujur aku katakan, seminggu aku memikirkan perkara ini dan aku amat sedih. Tidak sempat untuk aku bergambar raya dengan rambutku buat kali terakhir. Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Selasa dan aku dikehendaki pulang ke kampus pada hari Sabtu. Sudah pasti tiada kedai gunting rambut yang beroperasi dalam tempoh cuti.

    Aku gagahkan diri melangkah ke kedai gunting rambut berhampiran. Setiap permulaan pasti ada pengakhiran. Mungkin ada yang merasakan aku berlebih-lebihan dan dramatik tentang rambut ini dan aku faham. Mereka boleh berkata yang aku boleh menyimpan semula selepas beberapa tempoh di kampus. Aku juga cakna akan perkara itu. Aku cuma merasakan nilai sentimental, rutin harian dan penjagaan yang setiap hari aku lakukan. Setiap hari selama dua tahun aku menatap wajah aku di cermin dan tiba-tiba aku kembali ke wajah versi lama. Versi yang sudah tidak wujud lagi dan aku tidak mahu lagi versi ini.

    Mungkin selepas ini, melihat pada kerjayaku pada masa akan datang agak sukar untuk kembali kepada tahap ini. Mungkin juga itulah kali terakhir aku menggayakan rambut yang aku impikan dari zaman muda remaja. Mungkin juga aku akan kembali.


    





        

    

Comments

Most Popular