SELAMAT HARI RAYA 2022! RAYA AWAL SEHARI?

    Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua! Selalunya saya tak buat penulisan tentang sambutan hari raya, namun raya kali ini amatlah istimewa pada rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam. Setelah dua tahun tidak dibenarkan pulang beraya, lebuh raya dan juga jalan lama juga sesak dipenuhi kenderaan dari semua arah. 

Saya sekeluarga juga tidak lepaskan peluang beraya di kampung halaman selepas sekian lama tidak merasai suasana berkumpul ramai-ramai pada hari lebaran. Perjalanan yang selalunya mengambil masa dua jam setengah kini berganjak pada lima jam disebabkan aliran trafik yang sesak.

Sejak mempunyai lesen, bapa saya mula menyuruh saya untuk memandu kereta jika perjalanan yang jauh-jauh. Tetapi saya tolak tawaran pada kali ini, kerana saya tahu pasti akan jam. Tidak sanggup memandu kereta dalam keadaan jam.

Kami bertolak pada hari Sabtu dan mula mengemas rumah sebagai persiapan raya. Keesokan harinya, bapa saya meminta tolong untuk memasang lampu raya di sekitar rumah. Lampu raya itu masih lagi berfungsi dengan baik walaupun sudah bertahun di dalam stor.

Usai maghrib, rakan-rakanku mula kecoh di media sosial tentang 1 Syawal. Hampir kesemua orang bercerita tentang perkara yang sama.

"Esok raya ke weh?"

"Raya awal sehari ke ni?"

Raya awal sehari? Saya seperti tidak percaya pada mulanya. 1 Syawal sepatutnya jatuh pada hari Selasa dan bukannya Isnin. Pengumuman oleh Penyimpan Cap Mohor Diraja di TV1 kini memberi pencerahan yang sepatutnya. Memang benar, raya awal sehari!



Kami semua mula kelam kabut memandangkan persiapan raya masih belum lengkap. Barang masak juga banyak yang belum dibeli kerana menyangkakan masih ada sehari menjelang raya. Sepupu-sepupu saya yang masih bersekolah rendah lompat gembira kerana esok raya. Saya juga berasa lega kerana raya awal sehari jadi banyak masa boleh melawat sanak saudara kerana hari Sabtu saya sudah pulang ke kampus.

Pada malam itu juga, aku dan sepupu aku keluar mencari tudung raya. Sepupu saya masih belum mempunyai tudung raya kerana baru sahaja pulang dari sekolah berasrama penuh. Adik saya menghidupkan enjin kereta dan terus bertolak ke pekan Ipoh. 

Ternyata, lautan manusia membanjiri pasar-pasar membeli barang kelengkapan raya yang mengejut. Semua orang berpusu-pusu membeli barang masing-masing kerana takut habis atau tidak sempat. Mereka yang bercadang untuk pulang keesokan hari pastinya pilu lagi-lagi yang masih bekerja keesokan harinya.

Pada pagi Syawal, saya bangun awal dan mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga yang berwarna merah gelap. Seperti biasa atuk saya akan menjadi imam untuk solat sunat Aidilfitri di surau hadapan rumah. Namun, beliau sudah tidak larat lagi untuk ke surau dan memutuskan untuk imam di rumah sahaja. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mengetuai bacaan takbir raya buat pertama kalinya!

Gambar raya juga diambil beberapa banyak untuk dijadikan kenangan kemudian hari. Saya juga makin dewasa dan entah bila lagi dapat berkumpul beramai-ramai seperti ini di masa akan datang. Itu sahaja dari saya, Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin!



Comments

Post a Comment

Most Popular