PULANG KE KAMPUS UITM SUNGAI BULOH! CUTI LAMA KINI BERAKHIR?
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Pada tengah hari enam Syawal yang jatuh pada hari Sabtu, saya kini sudah mula mendaftar kolej di UiTM Sungai Buloh. Setelah sekian lama penangguhan dilakukan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Sedikit latar belakang bagi sesiapa yang baru sahaja membaca blog ini, saya sudah pun mula belajar secara atas talian sejak dari semester 2 di asasi UiTM lagi. Pada awal 2020 hingga pertengahan 2022 saya bersenang-lenang di rumah, makan tidur pun ikut suka hati sendiri. Jadi agak berat untuk saya tinggalkan rumah dan biasakan diri dengan rutin harian yang baru di sini.
Kampus UiTM Sungai Buloh kalau nak kata besar tu tiada la besar sangat dibandingkan dengan UiTM seperti Shah Alam dan Puncak Alam. Hanya bersesuaian untuk memuatkan dua fakulti sahaja disini iaitu fakulti perubatan dan pergigian. Selepas di hantar oleh ibu bapa saya, saya naik ke atas untuk kemas barang apa yang patut.
Masih ingatkan rakan serumah saya pada asasi dahulu yang sama-sama dapat belajar medic? Kami sekali lagi berada di rumah yang sama. Syukur boleh pilih housemates sendiri sebelum masuk mendaftar. Rujuk entry Hidupku di asasi UiTM.
Blok penginapan juga ada tiga sahaja dan sudah boleh dijangka hanya satu blok sahaja untuk menempatkan keseluruhan mahasiswa lelaki. Bayangkan betapa sikitnya pelajar lelaki yang diserap masuk ke kampus ini sehinggakan mereka sudah tahu, lelaki hanya perlukan satu blok sahaja.
Disebabkan saya masuk awal dari rakan-rakan yang lain, boleh dikatakan UiTM ini masih lagi sepi kerana rata-rata mereka masuk pada keesokan harinya iaitu pada hari Ahad. Kemudahan untuk makan pula hanya berada di kolej perempuan sahaja. Jadi, nak tak nak kenalah pergi ke kolej perempuan demi dapatkan makanan.
Dalam rumah saya ini ada 10 orang dan 5 bilik tidur. Satu bilik dapat memuatkan dua orang pelajar. Jadi pada hari itu, baru lapan orang sahaja yang melapor masuk itu pun lagi dua orang itu hanya tiba pada waktu malam untuk kemas barang.
Bilik saya pula berada di hujung sekali berdekatan dengan tandas. Pemandangan pula boleh dikatakan terbaik menghadap fakulti dan tasik kecil bersebelahan dengan kolej lelaki.
Pada waktu petang itu, kami berenam merancang untuk ronda-ronda kawasan kampus. Walaupun tidak besar seperti kampus lain, boleh dikatakan agak semput juga berjalan ke bangunan fakulti. Kami menyalahkan PKP yang menyebabkan kami tidak cergas hahaha.
Di rumah siapa sahaja yang rajin bersenam. Itulah punca semput dan lesu kami ketika berjalan di kawasan kampus. Setelah kami meneliti setiap aspek bangunan yang wujud di sekitar ini, saya perasan bahawa kolej lelaki ditengah-tengah kolej perempuan. Tapi, tiada yang begitu pelik pun dan keselamatan masih lagi terkawal.
Kami melalui gelanggang sukan yang disediakan untuk bermain bola keranjang, bola tampar, takraw, badminton dan futsal yang berhampiran dengan kolej perempuan. Selepas itu, kami pulang ke bilik masing-masing untuk membersihkan diri kerana hari pun sudah mula gelap.
Setelah kami membungkus makanan yang dibeli di kolej perempuan, kami pun mula beransur tidur. Semua kelihatan penat selepas seharian sibuk dengan urusan pendaftaran. Jadi, setakat ini sahaja penulisan saya untuk sesi pendaftaran pertama kali saya di kampus ini. Selepas ini, Insyaallah saya akan menulis lebih lagi tentang bangunan-bangunan dan segala kemudahan di kampus ini secara terperinci di post yang akan datang, bye!
Comments
Post a Comment