Semester 3: DONE!!!
Salam semua, saya doakan kepada yang sedang membaca penulisan saya yang kali ini sentiasa dikurniakan rezeki dan kesihatan yang baik.
Saya rasa nak ceritakan sedikit tentang semester 3 saya baru-baru ini berakhir pada pertengahan Julai. Semester 3 ini boleh dikatakan agak istimewa kerana saya dikehendaki untuk pulang ke kampus UiTM dan menjalani pembelajaran secara bersemuka.
Pada semester 3 jugalah saya dapat mengenali muka kawan-kawan saya. Kalau tidak hanya dapat tengok melalui Microsoft Teams saja itupun mesti pakai filter π. Walapun dah duduk di kampus tetapi masih ada lagi kuliah yang dijalankan secara atas talian.
Sebenarnya, saya lagi suka dengar lecture online sebab boleh baring-baring sambil makan ataupun tengok balik sahaja rakaman lecture tersebut di lain masa (sebenarnya malas nak tengok). Itulah sedikit sebanyak kebaikan kelas online yang lebih fleksibel.
Modul yang kami belajar sepanjang semester ini ialah Hemopoiesis and Lymphoid System (H&L), Central Nervous system (CNS) dan Gastrointestinal system (GIT). Secara ringkasnya, H&L ini kami belajar tentang sel-sel darah, bagaimana terhasilnya sel-sel darah dan organ apa yang terlibat. Penyakit yang berkaitan dengan sel-sel darah seperti leukemia dan thalassemia dan ubat-ubatan untuk merawat kanser dan lain-lain. Pada saya tidak terlalu sukar dan mudah untuk difahami.
Untuk modul CNS pula, lebih kepada sistem saraf dalam tubuh badan kita dan bagaimana semua maklumat diproses oleh otak. Modul ini boleh dikatakan paling mencabar untuk semester 3 kerana padat dengan fakta dan informasi yang perlu dihafal. Subjek anatomi antara yang paling sukar (ada lecture yang saya tidak tengok hinggalah final exam) disusuli dengan subjek fisiologi.
Walaupun begitu, modul CNS boleh dikatakan paling menarik kerana kita dapat belajar tentang bagaimana otak dan tulang belakang kita memproses rangsangan seharian. Sebagai contoh, bagaimana kita dapat melihat, mendengar, mengimbangi tubuh badan dan apa akan terjadi jika bahagian-bahagian tertentu di otak dan tulang belakang cedera yang akan mempengaruhi tindak balas kita.
Subjek patologi untuk modul CNS menceritakan tentang penyakit Parkinson dan juga Alzheimer serta beberapa beberapa tumor khususnya di kawasan otak dan juga bagaimana terjadinya pendarahan dalaman di kawasan otak.
Kecederaan tulang belakang dan kesannya. |
Saya amat bersyukur untuk tidak gagal dalam kedua-dua peperiksaan yang dijalankan semasa modul CNS sebab susah betul! Saya hairan bagaimana ada antara rakan-rakan saya yang mampu score A dalam Progress Test (PT).
Akhir sekali, untuk modul GIT lebih kepada sistem penghadaman manusia. Boleh dikatakan tidak terlalu senang seperti H&L dan tidak pula terlalu sukar seperti CNS. Teringat kata-kata mentor saya, "Anatomi GIT lah yang paling senang.". Entah apa yang senangnya saya pun tidak tahulah π. Itulah padahnya jika tidak menunjukkan minat dan usaha ketika praktikal di makmal anatomi. Nasib dapat A+ hehehe.
Seronok juga belajar tentang bagaimana kita boleh sakit perut disebabkan jangkitan bakteria, virus dan parasit dan ubat untuk mengatasinya. Subjek fisiologi juga menerangkan tentang proses penghadaman, bagaimana kita muntah dan menelan makanan dan sebagainya. Sedikit sebanyak kita dapat mengetahui tentang kesihatan diri kita sendiri.
Syukurlah diberi tiga minggu sebagai study week tetapi terpaksalah korbankan cuti raya haji. Minggu pertama masih leka dan lalai, minggu kedua juga masih leka dan lalai tetapi sudah mula beraksi hinggakan mampu menghabisi 15 lecture notes dalam sehari π€ (Hanya pro sahaja yang mampu meniru aksi ini). Minggu ketiga study week dipenuhi dengan penyesalan, study pukul 4 pagi dan penuh pasrah dan tawakal.
Gambaran saya yang sedang membaca nota biochemistry dengan laju dan lupa segalanya pada keesokan hari. |
Okay habis untuk apa yang dipelajari sekarang situasi semasa peperiksaan akhir semester tiga yang berlangsung untuk empat hari berturut-turut. Hari pertama dimulai dengan soalan essay dan soalan case. Macam tak belajar langsung punya jawapan tambah pula macam hilang ingatanπ .
Hari kedua pula ada peperiksaan OSPE yang lebih kepada keupayaan untuk mengenal pasti apa yang berada di setiap stesen. Terdapat 29 stesen dengan masa menjawab hanya 4 minit sebelum berganjak ke stesen berikutnya.
Kalau tak tahu benda apa yang ada kat stesen tu, termenung sahajalah jawabnya. Contohnya, stesen 1 diberi gambar tengkorak dan di gambar tersebut sudah ada label yang bertanda A, B, C, D, E. Soalannya akan meminta anda untuk mengenal pasti struktur apakah yang berlabel A, B, C dan salur darah apa yang ada dekat D dan E. Nampak macam mudah tetapi hanya akan mudah jika anda tahu apa yang anda sedang lihat dan ingatπ±.
Kalau soalan itu hanya tunjuk gambar sel sahaja dan anda diminta untuk kenal pasti sel apakah itu dan kenapa anda rasakan jawapan anda itu merujuk kepada ciri-ciri sel itu. Kalaulah dekat badan kita ini ada 10 sahaja sel mesti senang nak jawab. Jujur cakap soalan kenal pasti sel rasa macam nak menangis jawab sebab nampak sama je semua π.
Memasuki hari ketiga, ada satu peperiksaan dinamakan OSCE yang menjurus kepada latihan klinikal. Untuk semester tiga, kami dikehendaki untuk mengambil maklumat pesakit (history taking) dengan betul dan tepat mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Macam korang pergi jumpa doktor dekat klinik, doktor akan tanya sakit apa, bila sakit, sakit rasa macam mana, makan ubat apa bla bla bla.
Malam sebelum peperiksaan OSCE, kitorang bukan study apa pun tetapi menghafal skrip untuk esok. Nasib baik senior ada skrip skrip yang mantap dan mudah untuk ikut. Jadi malam itu kami bergilir-gilir jadi doktor dan pesakit.
Kawan yang jadi doktor akan tanya semua benda dalam skrip itu dari A-Z dalam bahasa Inggeris. OSCE satu-satunya kurang tekanan tapi semasa tunggu giliran untuk berjumpa pesakit itulah paling cemas, cuak, gelisah semua ada.
Gambaran menunggu sebelum dipanggil masuk untuk history taking. |
Hanya diberi masa 8 minit untuk selesai ambil semua maklumat pesakit dan akan ada doktor di sebelah untuk menilai. Kalau malam sebelum itu dah lancar tanya soalan, di hari kejadian terus blank! Terus lupa nak tanya apa dekat pesakit itu. Syukur dapat pesakit (pesakit tu berlakon je sebenarnya π) yang sporting dan rajin buka mulut. Tidak perlu tanya banyak soalan sebab dia dah cakap banyak tinggal nak tulis balik untuk pengesahan.
Pengenalan diri yang terdengar seperti robot |
Hari Jumaat ialah hari terakhir untuk MCQ (Multiple Choice Question) pun rasa macam tak pernah belajar bila jawab. Tengok orang sebelah macam laju sahaja jawab sedangkan diri ini masih terkial-kial. Paling koyak dan hilang kewarasan akal yang sihat apabila kawan kata MCQ senang sahaja.
Sedikit murung tetapi barang yang lepas usahlah dikenang. Seminggu selepas peperiksaan akhir juga pada hari Jumaat, keputusan peperiksaan sudah pun keluar. Tidak tahu nak rasa apa bila dapat tahu sebab takut nak semak keputusan sendiri. Jadi saya semak keputusan orang lain dahulu hahaha π.
Bila tengok kawan-kawan saya lulus, saya pun memberanikan diri untuk cari nombor matriks saya dan lihat sedikit demi sedikit dan alhamdulillah lulus! Rasa senang sedikit hati saya dan memulihkan semangat saya untuk melangkah ke semester 4 selepas cuti semester yang hanya diberikan selama seminggu sahaja π.
Sampai ini sahaja cerita saya pada kali ini walaupun banyak lagi benda yang saya tak masukkan seperti rutin harian saya sepanjang di sana. Bye!
wow tahniah dah habis sem 3, cepatnya result kau keluar hahahaha
ReplyDeleteThanks! hahaha selalu result memang seminggu sahaja ~
Delete