Semester break...

 


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Saya menulis ini pada minggu terakhir cuti semester saya yang berlangsung selama satu bulan setengah. Separuh dari pelajar kampus lain dapat iaitu rata-rata tiga bulan. Tidak apalah, cuti lama-lama nanti lupa pula apa yang kami belajar (ceh, baca semalam pun hari ini sudah lupa).

Baik! Sebenarnya tidak ada apa yang menarik sangat berlaku pada cuti semester saya ini. Saya lebih banyak meluangkan masa di rumah sahaja bersama ibu bapa saya. Mari saya ceritakan sedikit sebanyak rutin saya.

Pada waktu pagi kebiasaannya saya akan turun sarapan di rumah. Kadangkala saya akan ke pasar raya untuk membeli barangan dapur bersama ibu saya. Waktu pagi saya selalunya saya hanya meluangkan masa membuat kerja-kerja rumah sahaja.

Macam-macamlah saya buat. Basuh kereta itu ini, tukar lampu-lampu yang sudah tidak bernyawa, susun batu-bata untuk lantai garaj dan bermacam-macam lagi.

Pada waktu petang pula, saya akan bersiap-siap untuk bersenam dan beriadah. Saya hanya berjoging atau berjalan kaki sahaja di taman berhampiran. Kalau tidak melakukan semua itu, saya akan pergi ke gim. Jika saya tidak beriadah, saya hanya akan duduk di rumah sahaja.

Benda baharu yang saya ceburi ialah pusat gimnasium di kawasan perumahan saya. Dekat sahaja dalam 500 meter begitu saja. Sebelum ini saya tidak pernah menjejaki kaki saya di sana namun saya bertekad untuk mencuba-cuba sahaja.

Ternyata, saya jatuh suka pada tempat itu. Ia tidaklah mewah dan cantik seperti gim-gim di media sosial namun cukup selesa dan cukup lengkap bagi saya. Orang di sana juga ramah-ramah dan tidak sombong. Satu budaya yang saya pelajari di sana.

Sebelah malam pula, saya lebih gemar membuka laptop untuk menaip beberapa cerita-cerita untuk projek novel peribadi saya. Namun, saya lebih kerap bermain permainan video dan melayari YouTube saja.

Juga, saya banyak meluangkan masa melayari TikTok. Pagi, petang, siang dan malam memang itu sahajalah yang saya kerap tonton. Mahu ajak rakan-rakan keluar tetapi mereka tidak cuti pula.

Ada masa kami sekeluarga akan pulang ke kampung. Duduk dalam tiga hari dan kami pulang semula ke rumah. Di kampung juga saya tidak kemana-mana juga dan lebih selesa untuk duduk berehat di rumah sahaja. 

Walaupun kedengaran seperti saya tidak berbuat apa-apa yang menarik dan seronok sepanjang cuti semester saya ini, jauh di sudut hati saya seronok dengan rutin harian saya. Saya dapat meluangkan masa dengan ibu bapa saya, teman mereka dari hulu ke hilir.

Salah satu tabiat saya jika cuti panjang ialah, saya akan ukur tempoh cuti saya dengan bilangan solat Jumaat. Contohnya, pada awal cuti bermula saya ada 6 kali solat jumaat di rumah dan sekarang saya hanya tinggal sekali saja lagi solat Jumaat di sini sebelum saya pulang ke UiTM Selayang.

Rasa hiba dan sedih juga hendak masuk belajar semula. Seolah-olah ini cuti semester saya yang terakhir kerana selepas ini tiada lagi cuti semester kerana cuti yang ada selepas ini bukanlah cuti tetapi hanyalah hari-hari biasa menganggur selepas tamat pengajian.

Aneh juga rasa, saya kini sudah berada pada tahun akhir pengajian. Jika ditoleh semula kebelakang, agak jauh juga perjalanan saya. Penuh jerih perih yang hanya Allah sahaja yang tahu.

Itu sahajalah sedikit sebanyak aktiviti saya sepanjang cuti. Semoga saya dipermudahkan urusan saya sepanjang saya bergelar pelajar tahun akhir, amiin. Jumpa lagi!


Comments

Post a Comment

Most Popular