INTERNAL MEDICINE POSTING: THE CORE POSTING


Assalamualaikum dan salam sejahtera bagi sesiapa yang sudi membaca penulisan saya pada kali ini! Syukur kepada tuhan, saya sudah berjaya mengharungi satu lagi rotasi sebagai pelajar perubatan Tahun 3 yang berlangsung selama tujuh minggu.

Sekarang ni pula musim-musim konvokesyen graduan UiTM, melihat kawan-kawan saya menyarungkan jubah dan selempang pink membuatkan saya bangga dengan mereka. Jauh di sudut hati saya, bila pula giliran saya?

Seperti biasa, saya akan menerangkan serba sedikit mengenai posting internal medicine atau dalam bahasa Melayu, perubatan dalaman.

"Hospital mestilah pasal perubatan tapi kenapa ada wad perubatan tapi ada wad nama wad pembedahan ada wad nama wad kanak-kanak? Bukan semuanya patut duduk dalam wad yang sama ke?"

Senang cerita, semua penyakit dalam dunia ni kalau tak boleh bedah atau bukan pesakit ibu mengandung semua akan dicampak ke wad perubatan ni. Orang panggil, tong sampah. Kalau wad pembedahan taknak operate, dia campak la patient tu pergi wad perubatan hahahaha.


Pengenalan Wad Perubatan

Segala jenis penyakit dari sakit demam denggi sampailah penyakit yang rare gila semua ada. Lepas tu, doktor-doktor dekat situ pulak semua jenis genius sebab semua benda dia orang ni tahu tau! Yela, nama pun wad perubatan, mestilah boleh rawat semua benda. Inilah teras utama dalam hospital dan menjadi pelajar perubatan.

Dapat jugalah menggunakan hampir semua ilmu yang dipelajari semasa Tahun 1 dan 2 yang dah berkarat tu. Hari pertama di wad perubatan, kami menyertai ward round* bersama seorang pensyarah kami yang juga merupakan pakar jantung di hospital pakar UiTM. 

Baru hari pertama tapi nampak sangatlah saya macam tak pernah belajar apa-apa tentang kardiovaskular. Simptom serangan jantung? Ubat apa yang boleh bagi? Itulah petanda kena balik rumah dan baca semula. Nasib baik doktor tu steady je nampak kami semua tercengang hahaha.

Minggu pertama sampai minggu ketiga memang macam overwhelmed sikit dekat wad perubatan ni. Nak kena baca dan tau setiap jenis penyakit dekat wad yang tak pernah dengar pun ada. Tapi, sekarang saya tau ada juga beberapa penyakit yang kerap dalam masyarakat contohnya jangkitan paru-paru macam pneumonia, tuberculosis (TB), demam denggi, strok, kencing manis, penyakit autoimun seperti SLE dan bermacam lagi. 

Tugasan utama kami terbahagi kepada dua iaitu pertama menyiapkan buku log dan menghasilkan satu laporan kes pesakit kami secara lengkap dari A-Z. Untuk buku log, setiap pelajar harus menghadiri ward round minimum 10 kali (satu ward round boleh sampai 3 jam berdiri), bertanyakan sejarah penyakit kepada 70 orang pesakit (clerking), melakukan 10 prosedur termasuk mengambil darah dan menyuntik ubat, dan lain-lain. 

Posting internal medicine yang paling seronok sekali, paling banyak hands on, student nurse yang peramah dan sudi tunjuk ajar kami beberapa prosedur. Setiap hari ada saja yang saya akan rancang untuk buat dan mengambil peluang untuk melakukan beberapa prosedur untuk mendapatkan kemahiran. Rata-rata nurse dekat situ semua suka kalau kita yang menawarkan diri sendiri untuk menolong mereka. Selalunya saya mengambil peluang untuk membantu mereka mengambil bacaan gula pesakit dan melaporkannya kepada mereka untuk ditulis dalam fail pesakit.

“Tipulah tak ada girlfriend, hensem-hensem macam ni”

Klinik Perubatan

Saya masih ingat lagi, pensyarah kami meminta kami untuk berada di kliniknya dan memecahkan kami dalam dua kumpulan di mana satu kumpulan terdiri daripada 4 orang. Setiap kumpulan diberikan satu kad temu janji pesakit berserta nama dan nombor giliran dan juga sebuah bilik konsultasi untuk sesi clerking selama 30 minit sebelum pensyarah kami yang juga pakar perubatan respiratori akan masuk dan bertanyakan hasil clerking tersebut. 

Ini bukan kali pertama kami berada di klinik untuk melihat cara kerja doktor dalam menyantuni pesakit. Cumanya kali ini, kami sendiri yang akan mengambil alih sesi clerking doktor sebelum doktor akan menentukan preskripsi ubat yang seterusnya.

Saya mengumpul segala keberanian untuk mencari pesakit tersebut di khalayak ramai tanpa segan silu menjerit nombor dan nama pesakit hahaha. Selepas itu, muncul seorang pakcik tua dan anak lelaki beliau. Saya membawa mereka terus kepada bilik konsultasi yang diberikan oleh pensyarah saya tadi. Nasib baik saya ada baca sedikit tentang asma semalam!

Memang terasa sebijik macam doktor dekat klinik tu! Saya tanya datang sebab ada follow-up asma ke? Ada lagi ke sesak nafas, berapa kali terjaga sebab asma, dalam seminggu berapa kali guna inhaler, ada bela kucing ke dekat rumah, ada sesiapa merokok ke dan bermacam lagi. Ada beberapa soalan tertentu yang kita perlu tanya untuk penghidap asma untuk mengetahui asma mereka itu terkawal atau tidak. 

Setelah tamat 30 minit, saya meminta pesakit itu untuk tunggu semula di luar sebelum doktor akan memanggil masuk untuk sesi kedua.

"Okay, encik boleh tunggu dekat luar ya. Nanti saya panggil doktor untuk datang tengok, terima kasih ya."

Ulang kaji pelajaran

Sudah nama pun Internal Medicine, jadinya makin banyaklah benda yang saya perlu baca semula jika hendak dibandingkan pada posting obstetrik & ginekologi serta pembedahan yang sudah dikecilkan skop rawatannya.

Strategi saya ialah untuk mengulang kaji penyakit yang kerap dijumpai di dalam wad sahaja kerana peperiksaan kami berdasarkan pesakit-pesakit di sana. Saya lebih gemar menggunakan nota senior daripada buku teks walaupun sebenarnya kebanyakan nota senior diambil daripada buku teks juga.

Saya akan fotostat nota tersebut sehingga menjadi sebuah buku bersaiz A5 dan akan membawanya setiap masa semasa di hospital. Jika doktor-doktor di situ bertanyakan soalan, sempatlah saya membuka dan membacanya.

End Of Posting (EOP) Examination

EOP selalunya diadakan pada minggu terakhir posting kami dan dinilai oleh dua orang pensyarah kami. Jadi, adakah kami semua menduduki peperiksaan dengan hanya membulat dan menulis beberapa karangan jawapan sahaja?

Tiada semua itu, tugasannya mudah sahaja. Dua minit sebelum waktu peperiksaan dimulai, pensyarah yang menilai kami akan memberi mesej kepada ketua berkenaan nama dan nombor katil pesakit kepada pelajar yang akan dinilai tersebut.

Jadi dalam waktu satu jam, pelajar tersebut haruslah berjumpa dengan pesakit tersebut dan mendapatkan sejarah perubatan lengkap dan melakukan pemeriksaan fizikal pesakit dan kaitkan semua pencarian positif dan negatif sehingga boleh memberikan satu diagnosis sementara (provisional diagnosis) dan empat diagnosis pembezaan (differential diagnosis).

Selepas tamat satu jam, pelajar akan terus menuju ke satu bilik perbincangan untuk sesi pembentangan selama 30 minit. Selama 30 minit ini, pelajar tersebut akan membentangkan sejarah pesakit dari A-Z, laporan pemeriksaan fizikal, dan sebab mengapa diagnosis itu dipilih. 

Selepas itu, pensyarah akan mengajukan soalan tentang apa jenis penyiasatan (investigations) untuk dilakukan kepada pesakit serta justifikasi. Rata-rata pelajar akan membahagikan kepada dua iaitu makmal (Full blood count, renal function test, etc) dan imaging investigation (X-ray, Ct-scan, MRI, Ultrasound). Selain itu, mereka akan bertanyakan tentang mengapa penyakit ini boleh terjadi (pathogenesis), apakah mekanisme sesuatu simptom tersebut (pathophysiology).

Setelah tamat 30 minit, pelajar lain pula akan masuk ke bilik perbincangan dan begitulah sehingga habis satu kumpulan pelajar. Nasib baiklah saya dapat pesakit yang memberi kerjasama penuh dan doktor-doktor yang baik.

Jadi, trick untuk score EOP ialah dengan mengenal pasti setiap diagnosis pesakit di setiap 4 wad sehari sebelum EOP dijalankan iaitu lebih kurang 70 diagnosis yang berlainan. Namun, tahu diagnosis sahaja tidak cukup bagus jika tidak tahu tentang penyakit itu.

Liku-liku kehidupan

Saya juga masih ingat apabila pertama kali saya melihat kematian pesakit di dalam wad. Semasa itu, saya sedang menyertai ward round dan tiba-tiba seorang doktor ini berlari ke dalam bilik pesakit. Sejurus selepas itu, raungan tangisan keluarga kedengaran menyelubungi wad. Saya yang berdiri di situ menyaksikan kematian dan ahli keluarga meraung menyebabkan timbul rasa keinsafan dalam diri bahawa hidup itu singkat dan mati itu pasti.

Hospital ini merupakan separa kerajaan. Kos juga mahal untuk menerima rawatan perubatan melainkan ada pencen kerajaan ataupun insurans. Hati saya sayu melihat rata-rata warga emas di situ sering bertanyakan tentang kos rawatan yang kebiasaannya mencecah ribuan ringgit. Raut wajah mereka berubah menjadi risau, tidak mahu menyusahkan anak-anaknya membayar ribuan ringgit. Ada yang sanggup menolak rawatan kerana tiada anak-anak yang mampu menjaganya kelak.

"Berapa kena bayar ni misi?", perlahan pakcik itu bertanya.

Misi hanya menunjukkan isyarat 5 menggunakan jari dari jauh. Pakcik itu menunjukkan muka yang sedih.

Sayu dan hiba juga melihat warga emas yang terlantar di situ. Mereka sudah tua, badan mereka lemah jadi paling kurang lakukan sesuatu yang boleh menyenangkan mereka. 

Pengorbanan ibu yang menemani anaknya yang merupakan penghidap penyakit autoimun SLE, wanita itu merupakan cikgu sekolah melihat dia sibuk menanda kertas peperiksaan di tepi katil anaknya. Sesekali dia tidur bersebelahan anak lelakinya yang terlantar di atas katil itu.


Ada pula bapa yang setia menemani anaknya yang buta. Kasihan, anak lelakinya itu baru menginjak remaja. Saya suka melihat cara doktor menyantuni pesakit-pesakit mereka. Seperti ada tarikan yang tersendiri yang mampu mengukir senyuman kepada pesakit mereka.

Suasana di wad bukanlah suram sepanjang masa, ada juga mereka yang sangat ramah dan ekstrovert. Sudi berkongsi cerita suka duka mereka. Ada yang bercerita gah tentang anaknya yang juga sudah menjadi doktor pakar di sebuah hospital swasta, ada juga yang sering menangis jika memulakan kisah hidupnya. 

Kebanyakan doktor terlalu sibuk untuk mendengar suara hati mereka kerana tekanan kerja yang sangat banyak. Mereka sudah tua, apalah salahnya untuk kita sebagai pelajar mendengar luahan cerita mereka dan mengisi masa lapang mereka sementara mereka masih ada. 







*Kalau nak tau, ward round ni bila ada doktor pakar, doktor biasa, nurse dan beberapa medical student yang menyibuk akan pergi setiap katil dalam wad itu untuk berbincang tentang perihal pesakit pada setiap pagi/tengah hari/petang

Comments

Most Popular