Two Months In: Unpacking the 2024 Experience So Far

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada semua pembaca yang setia. Pejam celik kita sudah pun melangkah pada pertengahan bulan Februari dan kurang daripada 30 hari menjelang bulan Ramadan.

Saya sudah pun berada di Tahun 4. Super senior mungkin. Tidak sangka saya sudah melangkah sejauh ini. Semasa saya di Tahun 1, saya amat mengagumi senior-senior, kini giliran saya pula menjadi senior.

Ringkasan mengenai kehidupan saya sekarang, saya kini menetap di UiTM Kampus Selayang yang terletak bersebelahan dengan Hospital Selayang. Tidak ramai pun tahu kewujudan kampus Selayang. Tetapi, kampus ini amatlah seronok ditambah pula dengan fasiliti kolej yang lengkap dan selesa. Saya boleh kata, kolej kediaman kolej Selayang lagi baik berbanding kampus Sungai Buloh dan kampus Puncak Alam. Walaupun begitu, pelajar lelaki dan perempuan ditempatkan dalam satu bangunan yang sama.

Di sini hanya ada Tahun 5 dan separuh Tahun 4. Sebahagian daripada kami ditempatkan di Kampus Sungai Buloh atas faktor kurangnya kekosongan bilik. Jadi, bermulalah episod kami untuk hidup dalam kepompong kami sendiri sahaja. Satu rumah ada empat buah bilik, satu bilik berkongsi dua orang, sebuah ruang tamu yang luas, bilik jemuran, dan tandas serta ruang mengambil wuduk.

Di dalam kolej ini tiada yang berniaga makanan. Dewan makan yang kosong tanpa peniaga ditukarkan menjadi dewan badminton dan ditempatkan meja-meja ping-pong. Meja-meja disusun satu tempat dengan rapi untuk dijadikan tempat berehat dan tempat mengulang kaji pelajaran.

Kampus Selayang kampus lama. Di sinilah pusat pakar perubatan UiTM yang pertama sebelum dipindahkan ke Sungai Buloh. Namun, fasiliti masih lagi terjaga dengan rapi dan berfungsi dengan baik terutama bangunan akademik dan gimnasium. Bayangkan, buku kedatangan di gimnasium itu sudah wujud dan diguna pakai sejak batch 2008. Kini kami pula menyambung legasi di dalam buku itu.

PTAR? Lagilah kosong. Saya lagi seronok sebab boleh belajar di situ seorang diri dengan tenang. Kalau ada orang pun dalam 3-4 orang sahaja. Perpustakaan kampus Selayang boleh kata memiliki reka bentuk yang menarik dengan tangga berpusing di tengah-tengah. Disebabkan ada budak medik saja di sini, pergi library pakai tshirt dengan selipar sambil minum Zus Coffee pun tiada siapa nak marah 😝

Sudah tiga posting sejak saya berada di sini dan kini saya sedang di pertengahan posting psikiatri (Psychiatry and Behavioral Medicine). Tidak ada apa sangat yang berlaku untuk tiga posting pertama. Kehidupan agak santai dan tenang. Tidak sesibuk seperti Tahun 3 dulu. 

Jujur kata kampus Selayang memang sangat sejuk. Setiap hari pasti menggigil lagi-lagi bila bangun pagi dan waktu malam. Mana tidak, dari bilik boleh nampak Genting Highland dengan jelas. Kampus ni terletak di kawasan pinggir bandar tapi masih terdapat hutan dan bukit di sekelilingnya. 

Kalau nak tau, dekat sini dekat sangat dengan tarikan alam sekitar macam sungai-sungai dan lokasi hiking terbaik di Selayang. Semuanya sangat hampir dengan kampus. Kalau hujung minggu saja pasti ada di antara kami akan mandi-manda di sungai. 

Nak pergi KL? Lagi la dekat. Tak sampai 10 minit pun dah masuk KL. Setakat ni kampus Selayang ni memang seronok. Satu je kekurangan kampus ini iaitu kekurangan kedai makan yang boleh pergi dengan berjalan kaki. Hanya ada tiga kedai saja yang jaraknya sesuai untuk berjalan kaki, dan dua daripadanya ialah kedai Mamak 😅

Muak juga hari-hari makan nasi kandar. Ada masa nak juga rasa air tangan Mek-mek Siam di kedai tomyam. Nak atau tak kenalah menaiki kereta untuk ke sana. Tidak jauh pun, hanya dua kilometer sahaja.

Nanti saya akan tuliskan satu entry untuk posting psikiatri. Tidak sabar untuk saya berkongsikan pengalaman di wad sakit mental dengan para pembaca.

Itu sahaja buat masa sekarang, bye!

Comments

Post a Comment

Most Popular