SELAMAT HARI RAYA 2024!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua! Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan.

Tahun ini, selesai sudah rukun islam yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan. Syukur diberikan peluang dan kesihatan yang baik sepanjang bulan Ramadan untuk berpuasa dan melakukan ibadah tambahan.

Saya merasakan tahun ini sangat pantas waktunya. Tidak terasa sangat bulan Ramadan pada kali ini. Sangat laju. Saya merasakan ini ada berkait rapat dengan kesibukan saya selama berada di posting pembedahan sepanjang bulan puasa berlangsung.

Kesempatan berpuasa di kampus UiTM Selayang buat julung kalinya bersama-sama rakan, membeli juadah berbuka di bazar Ramadan di kawasan sekitar. Alhamdulillah syukur atas pengalaman yang berharga untuk dikenang.

29 hari kami berpuasa, anak bulan berjaya dicerap, takbir raya dilaungkan mendayu di surau dan masjid-masjid seluruh negara. Saya dengar ada geng yang tidak beraya pada 1 syawal kerana tidak percaya dengan cerapan ahli falak, nauzubillahi min zalik.

Tahun ini, saya beraya di Perak lagi. Semua ahli keluarga kami berkumpul bagi menyambut hari kemenangan umat Islam. Tahun ini juga sungguh meriah. Kalaulah boleh saya putarkan masa, saya akan mengulang-ulangnya berkali-kali. 

Persiapan raya dibuat secara berperingkat. Rendang ayam, kari daging, kuah kacang, nasi impit dan lemang adalah juadah utama. Langsir baru hendak dipasang, kuih-kuih raya yang hendak disusun di dalam bekas. Malam raya selalunya yang paling sibuk.

Rasa sayu hinggap di benak hati. Melihat wajah-wajah ahli keluarga yang dimamah usia. Sepupu-sepupu juga semakin membesar dengan baik. Sepupu tua yang teruna dan dara menunggu giliran untuk berumah tangga. Belum ada cicit sulung di dalam keluarga ini hahaha.

1 Syawal menjelma, dari pagi sehingga ke petang kami beraya sakan. Mengunjungi dan dikunjugi sanak saudara yang lain (semua dalam kawasan perak je pun). Kami kebiasaannya solat raya di rumah kami sendiri. Atuk saya ialah bekas imam surau namun sudah sedikit uzur dan keluarga kami besar jumlahnya. Pagi-pagi, semua anak-anak lelaki dan cucu lelaki wajib bertakbir bergilir-gilir.

Rasanya seperti baru lagi saya menulis entri tentang kejadian raya mengejut 2022. Ternyata sudah dua tahun ia berlalu. Cepat sungguh masa berlalu. Seronok betul hari itu.

UiTM dan pelajar sekolah yang lainnya akan bermulakan sesi mereka pada Isnin depan iaitu 15/4/2024. Mungkin itu faktor mengapa raya rasa sungguh singkat. Marilah kembali kepada realiti, cuti raya pun sudah habis, dan kawan blog saya juga sudah mahu memulakan kerja baru beliau. Boleh singgah blog beliau untuk menyaksikan liku-liku kehidupan rakan saya itu.

Setakat ini sahajalah cerita saya pada hari raya tahun ini, moga kita berjumpa lagi di waktu akan datang. Next posting, Primary Care Medicine!


Comments

Post a Comment

Most Popular