Year 4: Checked
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi atas kurniaan nikmatNya.
Hari Jumaat yang mulia dan penuh berkat, notifikasi masuk bertalu-talu di aplikasi Whatsapp. Rupanya ketua batch saya sedang menghantar keputusan peperiksaan teori kami yang berlangsung akhir bulan 10 tempoh hari.
Keseluruhan kertas yang saya ambil adalah sebanyak 5 kertas. Internal medicine, ophthalmology, Ear, nose & throat (ENT), anaesthesiology, forensic dan public health medicine.
Semuanya berlangsung selama 3 hari berturut-turut. Seperti biasa, masa yang diperuntukkan hanya satu minggu sahaja sebelum peperiksaan akhir.
Jumlah topik untuk dibaca? Tidak banyak hanya berjumlah 195 tajuk sahaja. Jadi, berhenti merungut dan mulalah buka buku.
Cabaran utama saya ialah masa mengulang yang singkat dan banyak keadaan di mana saya rasa otak saya blur dan kosong. Baca hari ini, lusa seperti tidak tahu apa-apa meskipun saya sudah buat latihan berulang kali.
Cara atasi ialah dengan buat lebih banyak soalan-soalan latihan dan cuba untuk menghafal mana yang saya rasa berpotensi untuk keluar (tak ada soalan spot ya).
Saya paling rasa tertekan apabila saya mengulang kaji subjek untuk internal medicine. Banyaknya hanya Allah yang tahu. Banyak yang saya ingat-ingat lupa dan ada yang saya baru belajar ketika study week.
Posting internal medicine tamat 3 bulan peperiksaan akhir. Memang tidaklah saya akan ingat hampir kesemua yang saya belajar.
Tapi ingat, sesetengah topik itu sudah berulang-ulang kali keluar dan agak popular di kalangan masyarakat jadi tidak menjadi masalah sangat. Hanya perlu selak-selak sedikit untuk memastikan keraguan di hati sahaja.
Persediaan juga banyak main-main mungkin juga kerana tahun 4 ini satu tahun yang penuh bersuka-ria dan dikenali sebagai honeymoon year.
Matlamat peribadi saya juga tercapai. Saya menyasarkan agar tidak ada posting yang markah rendah daripada gred B. Tiada gred C dan ke bawah, itu azam saya. Alhamdulillah, saya berjaya menunaikan azam saya.
Posting Anaesthesia paling tidak disangka-sangkakan. Saya punyalah takut dan meluangkan masa lebih sedikit untuk menelaah buku dan seminar anaesthesia. Sebab saya rasakan dalam banyak-banyak Specialty postings, anaesthesia antara posting yang mempunyai soalan yang sukar dan tricky.
Bila keputusan tiba, saya dapat A* (gred A ada 3: A, A+ dan A*). Terkejut saya pada ketika itu. Namun sayang, saya juga target ENT untuk dapatkan A tetapi hanya merangkul gred B. Tidak mengapalah.
Saya cuma terbayang muka-muka pensyarah yang sangat baik dengan saya di posting ENT. Rasanya seperti saya mengecewakan mereka pula.
Indah sungguh Tahun 4. Jujur saya rasa sedih sejurus saya tamat Tahun 4. Terlalu banyak memori yang gembira bersama-sama rakan seperjuangan. Lebih seronok berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Tidak dilupakan juga pengalaman dan pelajaran yang saya perolehi semasa di Tahun 4. Amat bernilai dan banyak membuka mata saya. Saya semakin matang dan juga ada sedikit peningkatan berbanding semasa saya di Tahun 3.
Saya sebolehnya tidak mahu cerita perkara yang negatif seperti drama dan masalah peribadi di sini. Biarlah ia dijadikan pengajaran agar saya terus maju ke hadapan.
Akan saya simpan kenangan pahit manis saya sepanjang bergelar pelajar Tahun 4. Jika mahu diceritakan di sini, pasti tidak mampu saya menulis. Panjang lebar untuk diceritakan mahupun ditulis.
Akhir kata, bagi sesiapa yang sedang membaca penulisan saya ini saya pinta doa kalian agar saya jadi lebih kuat lagi untuk menempuh tahun akhir saya di sekolah perubatan ini.
Sekarang ini saya mahu bercuti sepuas-puasnya sebelum saya pulang semula ke universiti sebagai pelajar tahun akhir.
Jumpa lagi di masa akan datang!
Comments
Post a Comment