SPECIALTY POSTINGS! SURE THEY ARE SO SPECIAL

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Baru ada masa hendak menulis tentang specialty postings yang terdiri daripada ophthalmology, anaesthesiology, forensic dan ENT (ear, nose & throat). Tanpa membuang masa, marilah kita terus bermula!

Setiap posting hanya berdurasi 2 minggu. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan besar, satu kumpulan akan ke posting ophthalmology dan lagi satu kumpulan akan ke posting ENT. Kemudian, ulang semula pada posting forensic dan anaesthesiology. Menjadikan keseluruhan masa sebanyak dua bulan.

Posting Ophthalmology

Kebanyakan masa kami dihabiskan di klinik mata. Saya ni sudahlah tidak gemar dengan anatomi mata mujur penyakit berkaitan mata itu tidak terlalu sukar tetapi banyak yang seakan-akan sama.

Peratusan pesakit yang saya jumpa di klinik mata ini lebih banyak yang menghidapi katarak mata dan diabetic retinopathy (penyakit saraf mata yang disebabkan oleh diabetis).

Baru hari pertama, saya sudah masuk ke dewan pembedahan untuk menyaksikan pembedahan katarak mata. Nasiblah, saya sudah baca tentang katarak sehari sebelumnya, jadi senanglah saya nak jawab soalan prof dan doktor di situ hihihi.

Antara alat yang kami perlu mahir ialah ophthalmoscope. Seksanya hanya Allah yang tahu. Sudahlah perlu mendekati wajah pesakit dengan begitu rapat, memang janggal rasanya tenung mata orang dekat-dekat. 

Lagi dekat sebenarnya baru jelas!

Fungsinya ialah untuk melihat keadaan salur darah, optic disc dan lain-lain struktur dalam mata. Kalau jumpa bermaksud anda mahir dan mampu mengenalpasti sesuatu yang tidak normal. Ya, keupayaan anda mengendalikan alat itu akan dinilai sebagai satu bentuk ujian penilaian.

Snellen chart ini soalan kegemaran doktor dan optometrist

Macam yang saya katakan, Tahun 4 ini lebih kepada praktikal. Anda perlu melakukannya sendiri kepada pesakit yang sebenar yang hadir pada klinik pada hari itu (sudah tentu perlu mendapat izin mereka terlebih dahulu).

Posting ENT

Salah satu posting kegemaran saya. Jika hendak dibandingkan dengan posting ophthalmology, ENT perlu tahu lebih banyak anatomi dan lebih banyak prosedur yang boleh dilakukan.

Pakar ENT semuanya baik-baik dan sangat suka mengajar begitu juga dengan pegawai perubatan ENT di situ. 

Di posting ENT, jika masalah telinga pasti jika tidak jangkitan dalam telinga ataupun datang untuk cuci telinga (ear toileting). Kalau hidung = Pesakit sinusitis, tetapi untuk tekak lebih kompleks sedikit. 

Saya berpeluang untuk scrub in ketika berada di dewan pembedahan. Walau tak buat apa sangat, alhamdulillah ada la juga pengalaman scrub in. Rasa bangga tu macam gempak sangat padahal bukan tolong apa sangat pun hahahaha.

Ada juga alat yang perlu mahir iaitu otoscope. Kegunaan untuk memeriksa struktur dalam telinga. Perlu ada teknik yang betul untuk tidak menyakiti pesakit dan untuk melihat struktur yang dimahukan. Tetapi lebih senang daripada menggunakan ophthalmoscope tadi tu.

Tangan kiri untuk telinga kira begitu juga tangan kanan untuk telinga kanan

Saya bersyukur sangat bergelar pelajar perubatan di UiTM. Kami disediakan satu simulator telinga menggunakan otoscope. Pensyarah bertugas boleh mengawal gambar gegendang telinga melalui komputer dan kami perlu melihat sahaja menggunakan otoscope ke dalam telinga patung.

Bagi saya, ini membuka lebih banyak pendedahan gambaran pesakit sebenar yang kami mungkin jarang jumpa atau tidak diberikan peluang untuk melihat sendiri di dunia nyata.


Lebih padu kalau dikelilingi para gadis dan berjaya pula mengenalpasti penyakit yang mana satu. Pasti menjadi hero gadis-gadis (kembang hidung)

Posting Anaesthesiology

Ubat bius! Itu sahajalah apa yang saya fikirkan sebelum melangkah masuk ke posting anaes ni. Rupa-rupanya, bukan sekadar memberi ubat bius sahaja.

Besar sungguh peranan pakar bius dan semua yang terlibat menjayakannya. Dari sebelum hendak masuk ke dalam dewan pembedahan sehinggalah selesai. Termasuk sekali pengurusan sakit (pain management) juga ditentukan oleh doktor bius.

Jujur kata, mereka yang berada di jabatan ini semuanya genius jika tidak pun mereka yang memiliki keupayaan berfikir di luar kotak.

Sudah nama pun anaesthesiology, jadi kebanyakan masa kami dihabiskan untuk melihat persediaan pesakit sebelum mereka menjalani pembedahan.

Kalau tidak tahu ini memang minta kena ketuk dalam dewan bedah 😝


Kami perlu hadir 30 minit lebih awal, jadi kesudahannya perlu bangun pukul 5:30 pagi untuk bertolak ke hospital. Kebiasaannya, pakar bedah mahu memulakan pembedahan di sekitar 8 pagi. Sudah tentu, kami perlu terpacak di dewan bedah pada pukul 7 pagi.

Pakar bius bertanggungjawab untuk menentukan cara apa yang sesuai untuk menidurkan pesakit, ubat apa yang perlu digunakan dan lain-lain. Tidak muat saya mahu jelaskan di sini, kalau tidak dah jadi satu buku panduan anaesthesiology pula.

Saya berpeluang untuk membantu mengintubasi pesakit, memasukkan Ryles tube dan 'bag' pesakit. Pada masa ini pun saya sudah rasa puas dapat menolong doktor-doktor. Terima juga kerana sudi memberi saya peluang melakukan prosedur (adalah juga konten yang mahu diceritakan di sini).

Kami berlatih di patung simulasi dahulu baru berani buat dengan pesakit sebenar


Sebenarnya agak nervous juga semasa hendak masukkan. Alhamdulillah berjaya tapi dua kali percubaan jugalah.

Nampak macam ganas cara pegang tu, tapi itu adalah teknik dinamakan C-E clamp. Teknik ini digunakan untuk memastikan pesakit dapat ventilasi yang cukup (udara tak keluar dari tepi mask)

Seronok berada di posting anaes. Perkara yang berat sedikit ialah pengetahuan yang diperlukan. Banyak sungguh benda yang perlu tahu di sini. Walaupun demikian, kita boleh terus mengaplikasikannya jika ke dewan bedah.


Ini juga menarik. Saya juga baru tahu bahawa doktor bius memainkan peranan penting dalam mengawal kesakitan yang dialami oleh pesakit yang baru sahaja menjalani pembedahan. Jadi, skala kesakitan amat penting untuk dikhatamkan.

Panduan untuk memberi ubat tahan sakit mengikut keperluan pesakit pada ketika itu


Posting Forensic

Saya amat menantikan posting ini. Sungguh lain daripada yang lain. Selain daripada jumlah lecture yang banyak, saya lebih suka meluangkan masa di lapangan iaitu bilik autopsi.

Keseluruhan autopsi yang saya dapat lihat sebanyak 4 kali di mana 3 daripadanya saya berpeluang untuk berada sendiri dalam bilik autopsi.

Pertama kali saya melihat si mati yang terlantar di atas meja autopsi (mungkin ada nama lain), bermacam-macam perasaan yang muncul di benak hati.

Sedih dan insaf itu sudah pasti. Bagaimana dengan keluarga si mati? Apakah punca si mati ini berakhir di bilik autopsi?

Semua itu harus tolak tepi sementara. Saya datang mahu belajar apa yang dicari oleh doktor di bidang forensik.

Tugas mereka adalah untuk mengenalpasti punca kematian (cause of death). Kebiasaannya, magistret akan mengeluarkan arahan kepada pihak polis dan seterusnya kepada doktor untuk melakukan autopsi mayat si mati.

Situasi apakah yang memerlukan autopsi? Sebelum itu kita perlu tahu forensik ini ada dua pembahagian. Clinical (medical) autopsy dan forensic autopsy. 

Beza kedua jenis forensic ini adalah clinical autopsy perlu mendapatkan kebenaran daripada keluarga si mati dan selalunya untuk kajian perubatan. Punca kematian juga sudah tahu pada peringkat ini kebanyakkannya berpunca daripada penyakit yang dihidapi si mati. 

Manakala, forensic autopsy tidak memerlukan kebenaran daripada pihak keluarga si mati dan tujuannya untuk mencari punca kematian sebenar di sebalik kematian si mati.

Berbalik pada soalan tadi, situasi apakah yang memerlukan autopsi? Situasi di mana keadaan kematian si mati mencurigakan, kematian mengejut dan juga berlakunya kemalangan.

Kebanyakkan kes yang saya lihat sepanjang di posting forensic ialah kes kematian mengejut. Apabila disahkan punca kematian, rata-rata mereka memiliki serangan jantung. Saya sempat lihat salur darah mereka kebanyakkannya sudah tersumbat semasa proses autopsi dijalankan.


Secara purata, hanya sejam sahaja proses autopsi atau mungkin lebih sedikit jika kes yang ringan-ringan seperti masalah jantung.

Saya berpeluang juga melihat kes kemalangan jalan raya. Sayu juga hati saya, dari segi pakaian si mati dia baru sahaja pulang dari tempat kerja. Hasil autopsi mendedahkan beberapa kecederaan organ dalaman dan juga patah di beberapa tulang rusuk.

Organ-organ perlu dikeluarkan dan ditimbang menggunakan penimbang dan seterusnya akan direkod. Setelah selesai, semua organ tadi akan dimasukkan ke dalam sebuah plastik hitam dan dimasukkan ke dalam ruang abdomen. Akhir sekali, ia akan dijahit semula dengan kemas sebelum diserah semula ke keluarga si mati.

Sayu hati saya menyaksikan keluarga si mati yang menunggu mayat ahli keluarganya yang masih di dalam bilik autopsi. 

Akhir kata

Dua bulan yang penuh dengan cabaran yang tersendiri. Lompat dari satu bidang ke satu bidang bukan sesuatu yang mudah. Disusuli pula dengan ujian setiap satu bulan jadi sedikit mencabar untuk saya harungi.

Apa-apa pun, dua bulan ini merupakan antara dua bulan yang paling seronok. Sekejap betul masa berlalu.

Doktor dan staf kesihatan pula semuanya baik dan sangat membantu. Syukur alhamdulillah. 

Itu sahaja setakat ini, bye!



Comments

Most Popular