Public Health Posting! Kena buat research & karnival kesihatan!
Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca sekalian.
Posting penutup tahun ini iaitu public health medicine (PHPM). Posting PHPM tahun ini agak lain daripada yang lain. Sini saya ceritakan.
Kami dipecahkan kepada 5 buah kumpulan besar. Setiap kumpulan pula akan diketuai oleh seorang ketua dan dipecahkan kepada dua kumpulan kecil iaitu research team dan promotion team.
Untuk Tahun 4, pendekatan untuk kami adalah lebih kepada asas-asas kajian (research) dan juga pengurusan program. Jadi, kami dikehendaki untuk membuat satu kajian berkenaan sesebuah topik di satu tempat dan juga menganjurkan satu program kesihatan untuk penduduk di tempat yang sama.
Selain itu, kami juga banyak mengadakan lawatan ke pejabat kesihatan daerah bagi memahami struktur dan fungsi pejabat kesihatan untuk sesuatu daerah dan mukim di sekitarnya. Memang seronok!
Akhirnya saya dapat juga merasai pengalaman menyertai lawatan kualiti makanan di sebuah kilang air di Selangor! Bukan senang hendak lihat proses air mineral semula jadi dipasarkan.
Bukan itu sahaja, saya juga berpeluang untuk mengikuti aktiviti unit vektor di mana kami didedahkan dengan cara kerja mereka. Kami akan pergi ke kawasan hotspot denggi dan akan melakukan rondaan di sekeliling kawasan perumahan untuk mengenalpasti tempat-tempat pembiakan denggi.
Penat juga pusing di kawasan perumahan hanya untuk mencari jentik-jentik untuk disampelkan dan dihantar untuk dikenalpasti spesis jentik-jentik.
Unit vektor ini tidaklah terhad kepada nyamuk aedes sahaja. Mereka juga ada membuat servis untuk serangga yang lain juga. Puas kami meronda mencari sampel dan keesokan harinya kami ke kilang air mineral di Kuala Kubu Baru!
Lawatan ini diketuai oleh Unit Kawalan Kualiti Makanan (UKKM). Sesuai dengan namanya, mereka bertugas melakukan pemeriksaan berkala di kilang-kilang dan premis makanan.
Jujur kata itu pertama kali saya menjejakkan diri di kilang air. Tidak sangka saya dapat melihat sendiri proses pengilangan air dari mula-mula air itu dipam dari bawah tanah hinggalah di dibotolkan untuk dipasarkan. Kami disambut baik oleh pengurus kilang dan staf-staf disekeliling.
Selang beberapa hari, kami dibawa pula melawat ke pusat kitar semula milik Alam Flora di Putrajaya. Kami berkesempatan melihat cara mereka mengasingkan sampah sarap mengikut kategori masing-masing. Tempatnya tidak begitu luas, boleh berjalan kaki pusing-pusing satu kawasan itu.
Setelah itu, kami teruskan tugas hakiki kami iaitu mendapatkan jumlah responden sebanyak 410 orang di kawasan Paya Jaras Hilir. Bila difikir-fikirkan semula, banyak juga jumlah orang yang perlu kami sapa. Ada 10 kumpulan dengan 4 ahli setiap satunya.
Kami ditugaskan untuk menemu duga penduduk di kawasan kampung berpandukan set-set soalan yang telah kumpulan penyelidik sediakan. Setiap orang perlu menyasarkan sekurang-kurangnya 10 orang.
Kami dikehendaki untuk pergi dari satu rumah ke satu rumah yang lain demi mencapai kuota itu dalam tempoh kurang dua seminggu agar kerja-kerja menyusun data dan laporan dapat disiapkan secepat mungkin.
Cabaran kami? Tuan rumah tidak membuka pintu, hujan lebat dan panas terik dan tidak kurang juga dihalau dan diherdik oleh segelintir mereka. Awal-awal itu rasa ralatlah juga, tetapi alah bisa tegal biasa.
Saya pun pasti melakukan hal yang sama tetapi kami bukan mahu menjual produk. Kami hanya meminta untuk meluangkan 10 minit untuk menjawab beberapa set soalan sahaja. Walaupun sedemikian, lagi ramai penduduk yang berhati mulia menyantuni kami dengan baik.
Pada responden yang terakhir, kami empat orang dijamu baik oleh pasangan pencen di hujung kampung. Sempat juga kami berbincang tentang hal-hal lain. Sungguh saya tidak akan lupakan doa dan pesan mereka kepada kami berempat.
Usai menjadi pegawai bancian tidak bertauliah, kami ada satu lagi tugas hakiki yang perlu dilaksanakan. Mengaturcara majlis kesihatan besar-besaran di kawasan yang sama. Tema kami ialah tentang pembasmian nyamuk Aedes.
Berhempas pulas kami menyiapkan dewan komuniti dalam masa satu hari sahaja. Sibuk betul kami pada hari itu sehingga kami pulang pada tengah malam! Keesokan paginya kami bertolak selepas subuh untuk menyediakan apa yang patut.
Segala peralatan dan susun atur majlis sudah diselesaikan oleh ketua-ketua biro. Alhamdulillah, memang meriah betul suasana majlis pada hari itu. Ramai betul orang yang datang ke karnival kami!
Bersyukur sangat program kami dapat sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk setempat. Saya anggarkan dalam lebih 300 orang yang hadir pada hari tersebut.
Itu merupakan kali pertama saya terlibat dalam pengurusan majlis yang saya boleh katakan besar. Ramai VIP yang hadir dan turut serta dalam aktiviti yang kami sediakan.
Beberapa hari selepas itu, kami perlu membentangkan laporan kami di hadapan pensyarah. Baik kumpulan penyelidikan dan juga kumpulan karnival kesihatan. Bersengkang mata kami menyiapkan slide powerpoint dalam masa yang teramat singkat.
Pada masa yang sama juga kami perlu mengulang kaji pelajaran kerana ada ujian pada minggu yang sama! Pecah otak disamping badan yang lelah.
Namun, syukur semuanya berakhir dengan kenangan yang manis sekali. Satu posting yang amat lain daripada yang lain. Bebas daripada stres di wad dan klinik. Saya sudah pun merindui setiap saat saya di posting public health.
Akhirnya, kami semua diberikan kesempatan untuk merasai skop kerja doktor di jabatan kesihatan awam dengan lebih terperinci. Apa plan kami lepas habis posting ini? Dapat study week selama satu minggu sebelum peperiksaan akhir kami untuk semester 8 (penat betul sikit-sikit exam).
Baiklah, itu sahaja daripada saya. Banyak yang saya mahu ceritakan di sini namun biarlah ia menjadi kenangan peribadi saya yang sendiri. Jumpa lagi!
Comments
Post a Comment