PAEDIATRIC POSTING FINAL YEAR

Asalamualaikum dan salam sejahtera semua! Saya harap belum terlambat lagi mahu mengucapkan selamat tahun baru kepada semua yang membaca penulisan saya ini.

Pejam celik saya sudah pun berada di tahun akhir pengajian dan hari ini menandakan hari terakhir saya dia posting paediatrik (kanak-kanak). Kebelakangan ini saya agak sibuk dan hanya hari ini saya mempunyai peluang untuk menaip.

Jika anda masih ingat, saya berada di posting paediatrik ketika saya di Tahun 3 dan kini saya bersua kembali. Versi saya yang dahulu pasti tidak percaya bahawa versi diri saya yang sekarang sudah semakin (sikit) menyukai posting ini.

Kanak-kanak bukan orang dewasa yang kecil. Mereka perlu perhatian dan pendekatan yang berbeza dan perlu lebih teliti.

Dari minggu pertama hingga ke minggu ketujuh kami dibasuh dan ditekan oleh pakar-pakar di sini untuk berfikir seperti seorang houseman. Jangan risau, mereka semua sungguh baik dan sangat suka mengajar kami. 

Kalau dahulu, saya perlu struggle untuk mengenali selok belok penyakit tanpa memikirkan sangat pelan rawatan untuk pesakit. Namun, di bagi pelajar tahun akhir kami perlu mengetahui management untuk setiap penyakit. Sebenarnya hendak hafal dos ubat itu yang paling malas sebenarnya hahaha.

Secara amnya, perlu lebih banyakkan masa untuk belajar dan muhasabah diri. Jadi lebih proaktif dan perasaan ingin tahu yang lagi kuat. Pergi ke klinik dan wad bukan kerana kehadiran semata-mata tetapi dengan niat untuk belajar sesuatu pada hari ini.

Nak periksa budak-budak ni bukan senang. Kalau dia takut dengan orang, memang puas la nak pujuk pakai segala benda mainan yang ada. Selalunya menjadi kalau kita bagi mainan dulu hahaha.

Posting ini juga banyak kena buat kira-kira juga sebenarnya. Ramai beli kalkulator kecil di kedai Eco dan gantung di lanyard sahaja. Kalau doktor suruh kira berapa banyak Normal Saline kena bagi dekat budak ni, boleh terus kira sahaja.

Saya hendak cerita satu kisah tentang pengalaman saya di sebuah klinik pakar di sebuah hospital. Pesakit yang datang ini merupakan pesakit cerebral palsy (CP). Dia ditemani dengan ibu bapanya dan dia ditolak menggunakan stroller.

Cerebral palsy (cerebral = otak, palsy = masalah otot) ialah gangguan pergerakan, koordinasi, atau postur badan. Ia biasanya berlaku akibat gangguan pada perkembangan otak bayi. Namun, penyakit ini tidak akan bertambah teruk, cuma simptomnya mungkin sedikit berubah apabila mereka membesar.


Cerebral palsy adalah gangguan yang menjejaskan pergerakan dan koordinasi badan disebabkan oleh kerosakan atau perkembangan tidak normal pada otak, biasanya berlaku sebelum atau semasa kelahiran. Ia bukan penyakit berjangkit dan tidak menjadi lebih teruk dengan masa. Simptomnya berbeza bagi setiap individu, seperti kesukaran berjalan, kekejangan otot, atau pergerakan yang tidak terkawal. Dengan rawatan seperti terapi fizikal, ubat, dan sokongan keluarga, penghidap cerebral palsy boleh menjalani kehidupan yang lebih baik.

Kembali kepada cerita saya, waktu itu saya berdiri di sebelah seorang MO (medical officer), memerhatikan mereka melangkah masuk ke bilik rawatan. Pesakit kecil yang berada di situ kelihatan ceria dan penuh keriangan, walaupun usianya baru sekitar 5 atau 6 tahun.

Segala-galanya berjalan lancar sehingga penghujung sesi, apabila MO mula menilai keupayaan adik tersebut. Saya perhatikan, prestasinya boleh dikatakan cukup baik. Walaupun percakapannya sedikit sukar, namun masih jelas dan boleh difahami. Dia juga mampu mengenal warna dan menunjukkan kebolehan lain yang membanggakan.

Ibu bapanya pula jelas berusaha memberikan yang terbaik untuk anak mereka. Tidak ada tanda komplikasi seperti kontraktur, mungkin kerana mereka konsisten membawanya menjalani fisioterapi.

MO kemudian memberitahu ibu bapanya bahawa anak mereka mempunyai masa depan yang cerah. Katanya, walaupun ada sedikit kekurangan, adik itu menunjukkan perkembangan yang positif dan besar kemungkinan dapat berdikari serta menjalani kehidupan seperti orang lain.

Waktu itu, entah kenapa, hati saya tiba-tiba rasa sebak. Terharu melihat keazaman adik kecil itu dan kasih sayang ibu bapanya. Lebih mengharukan, bapa adik itu membisikkan sesuatu kepadanya sambil berkata, "Dengar tak doktor cakap apa? Doktor kata adik ada masa depan yang cerah."

Mata saya berkaca pada saat itu juga. Tapi, apa boleh buat, kenalah tahan. Kita mesti profesional, kan? Lagipun, ada dua rakan perempuan berdiri di sebelah. Malu kalau kantoi hahaha.

Itu antara sedikit sebanyak cerita saya di posting paediatrik. Saya pun baru sahaja habis exam dengan doktor. Sejujurnya, saya pun tidak rasa saya buat dengan baik sebab kes yang saya dapat itu tidak pula saya baca dan jumpa sepanjang di posting paeds huhuhu. Penat baca dan hafal benda lain tapi yang lain pula dapat hahahaha. Hentam sahajalah.

Baik sampai sini sahaja, lepas ini posting sakit puan pula! Bye semua!

Comments

Most Popular