Berjumpa Lagi Kita Di Wad Bersalin & Sakit Puan! Perjuangan Harus diteruskan!

 


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ya, anda sudah klik ke entry yang betul. Obstetrik dan ginekologi atau O&G. Perjuangan dahsyat untuk semua para pelajar yang bergelar lelaki. 

Ada di kalangan pelajar perempuan yang tidak gemar juga berada di jabatan ini, tetapi mereka tidak perlu memerlukan chaperone dan boleh berjuang sendirian.

Kau tidak rapat dengan pelajar perempuan? Kau rapat dengan mereka tetapi kau dicampak ke kumpulan yang baharu pula? Bertabahlah. Pilihan kau cuma untuk berkawan secepat mungkin agar tidak ditinggalkan bersendirian.

Ini O&G. Semuanya tentang peluang yang muncul di depan mata. Kau lambat, kau malu, kau takut, semua ini akan membuatkan kau terlepas satu peluang keemasan untuk belajar.

Bila kau seorang lelaki, tahap percaya segelintir pesakit dah berkurang punya dekat kau. Tak boleh nak salahkan mereka, lelaki banyak kes gangguan seksual dan sebagainya. Itu sebab pentingnya untuk pelajar lelaki ditemani oleh pelajar perempuan atau jururawat wanita atau doktor wanita asalkan bukan waris pesakit itu sendiri.

Saya sebenarnya tiada masalah pun untuk bahagian itu, apa yang saya perlu buat ialah untuk tingkatkan kemahiran saya dan skil sosial untuk membolehkan pesakit-pesakit yakin dengan saya. Kalau ditolak itu perkara biasa dan patut untuk kita hormat keputusan mereka.

Real

Kali terakhir kami posting ini pada tahun 2023 semasa saya berada di Tahun 3. Ya, sudah 2 tahun berlalu!

Karat habis! Apa pun tidak ingat. Haruslah buka buku dua tiga hari lebih awal sebelum posting bermula. Kami akan ditempatkan sama ada di wad (obstetrik atau ginekologi), dewan pembedahan, labour room/PAC.

Selepas dapat sahaja buku log, rasa seperti tidaklah seteruk buku log pada Tahun 3. Mungkin kerana sudah pandai membahagikan masa di Tahun 5. 

Untuk obstetrik, ada teknik untuk memeriksa perut ibu mengandung. Tujuannya untuk mengenal pasti bilangan fetus, kedudukannya dan adakah sudah "engage". Percayalah, dua tahun saya tinggal benda ini. 

Memang kena marahlah oleh Prof! Maaf Prof, salah saya juga tidak buka buku tetapi baru dua hari di jabatan ini, tidak kasi can langsung!

"How many abdomen did you palpate?!" 😡

"A few, Prof." 😞

"Why macam tak pernah je!" 💢

Bergema ruangan wad dengan herdikan Prof. Malu bukan kepalang tetapi saya buat keras je.

Huhuhu. Apalah nasib. Minggu itu saya ditempatkan di wad sakit puan, Prof pula mahu buat kelas di wad bersalin. Tidaklah saya sempat untuk turun ke sana untuk berlatih.

Tetapi itu bukanlah alasan. Saya ada juga tengok video di internet untuk imbau semula teknik-teknik dan juga berlatih menggunakan anak patung kawan di bilik. Lakukan apa saja untuk belajar dan jadi lebih baik hari demi hari!

Sepanjang di wad, saya nak kongsikan satu penyakit yang saya rasakan agak jarang juga saya jumpa. Penyakit itu ialah Antiphospholipid Syndrome (APS). 

Dalam erti kata mudah, ia merupakan penyakit autoimun yang menyebabkan darah mudah membeku. APS sangat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan keguguran berulang, kelahiran pramatang, dan masalah pertumbuhan janin. Ini berlaku kerana darah beku yang terbentuk boleh menyekat aliran darah ke uri, mengganggu bekalan oksigen dan nutrien kepada bayi.

https://babygest.com/en/antiphospholipid-syndrome/

Ramai wanita tidak tahu mereka ada APS sehinggalah mereka mengalami dua atau lebih keguguran tanpa sebab jelas. Diagnosis dibuat melalui ujian darah yang mengesan antibodi tertentu seperti Anticardiolipin antibodies IgG or IgM (ELISA), Anti-beta-2-glycoprotein-I (anti-β2GPI) antibodies IgG or IgM (ELISA) dan Lupus anticoagulants (Bustamante JG, Goyal A, Rout P, et al., 2024).

Jika disahkan, rawatan biasanya melibatkan aspirin dos rendah dan heparin sepanjang kehamilan untuk mengelakkan pembekuan darah dan meningkatkan peluang kehamilan yang sihat. Kebanyakan wanita dengan APS masih boleh menjalani kehamilan yang selamat dan berjaya. 

Setiap minggu kami akan ada oncall bermula pukul 5pm hingga 10pm. Tetapi macam biasa, balik awal sedikit hahaha. Lagi-lagi bulan puasa, kami rancang nak berbuka di masjid yang cantik dan viral. Kadang-kadang staf nurse dan HO pun suruh kami balik saja awal untuk berehat.

Pada satu hari, kami ditugaskan di labour room. Kami diarahkan untuk dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil dan setiap kumpulan ditugaskan untuk menjaga seorang pesakit sampai bersalin. Bagai menatang minyak yang penuh dari awal sehingga akhir.

Sekejap-sekejap kami ambil bacaan tekanan darah, suhu, periksa CTG dan sebagainya. Akhir-akhir, ketika dia mahu bersalin. Dia hanya membenarkan pelajar perempuan sahaja untuk berada di saat dia bersalin.

Sedikit kecewa tetapi saya menghormati keputusan itu. Paling penting, kami dapat belajar dan merasai sendiri menjaga seorang pesakit dari awal sehingga akhir! Itulah yang paling mahal. Rasa berguna pun ada hahaha.

Setiap hari saya mengulangkaji pelajaran. Tetapi, saya tukar sedikit cara belajar saya. Daripada kita belajar sahaja tanpa mempersoalkan mengapa kita perlu buat begini dan begitu, kita tidak akan ingat dengan lama tentang sesuatu informasi itu.

Jadi, mula berfikir dan bertanya seperti seorang doktor yang sebenar. Kenapa kita beri pesakit ubat sekian dan sekian, mengapa perlu buat begini dan begitu untuk sesetengah pesakit dan bukan pesakit yang lain.

Belajar pun sudah. Bulan Ramadan yang mulia ni haruslah kami berseronok bersama kawan-kawan dan ambil peluang untuk berbuka bersama dengan mereka sementara masih bergelar seorang pelajar. 

Pertama kali juga saya berbuka di Masjid Negara. Ramai betul umat Islam yang berpuasa dan menunggu untuk berbuka di sana. Tiba masa untuk kami beratur.

Hujan turun dengan lebatnya pada masa itu. Tempias kena pada kami walaupun sudah menginjak ke bahagian tengah sedikit. Selepas beratur dalam beberapa lama, ayam pula habis! Kami pun jamahlah sedikit nasi dan kuah sahaja dan terus memecut ke saf pertama!

Nasiblah kami memang dah merancang untuk berbuka di luar dan hanya singgah Masjid Negara untuk berbuka dan suasana.

Dan minggu yang ketujuh pun tiba. Ada dua stesen, 1 Long case dan 1 Short case. Untuk long case, saya dapat kes Post date 40 weeks with Gestational diabetes mellitus dan short case saya dapat anemia in pregnancy.

Secara keseluruhannya, semua berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit gugup. Untuk long case, Dr S ada beritahu yang saya lulus! Manakalah short case kekal rahsia.

Akhir kata, saya sangat seronok berada di posting ini. Walaupun susah dan sangat melelahkan, saya ambil sebagai satu pengalaman yang berharga. Semoga berjumpa lagi kita semasa housemanship, inshaallah!

Nantikan penulisan seterusnya iaitu tentang peperiksaan akhir semester 9! Jumpa lagi!

Comments

Post a Comment

Most Popular