3 Minggu Penuh Adrenaline di Jabatan Kecemasan!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua!

Hari ini rasa terpanggil nak tulis tentang pengalaman posting saya di jabatan kecemasan di HASA (UiTM). Sebenarnya, posting kecemasan ini merupakan posting kedua terakhir saya di sekolah perubatan tetapi saya tetap hendak tulis tentang posting ini sebagai posting pertama di semester 10 ini.

Sebab posting ini memang sangat seronok! Terlalu banyak praktikal dan "kerja" yang kami dapat lakukan. Ambil darah, pasang ECG, bancuh ubat asma, tolak pesakit pergi wad/X-ray, tolong sediakan peralatan tiub kencing (CBD), tolong CPR pesakit, pegang budak kecik menangis sambil sedut hingus dia dan bermacam-macam lagi benda.

Cara kerja di sini ikut shif. Satu shif dalam lebih kurang 2-3 jam. Kami dibahagikan dalam enam kumpulan kecil. Shif bermula pada pukul 8 pagi dan tamat pada pukul 10 malam.

Untuk yang tidak tahu, unit kecemasan mempunyai sistem triage. Fungsi triage adalah untuk mengasingkan pesakit mengikut keperluan mereka pada ketika itu. Terdapat tiga zon iaitu zon hijau, kuning dan merah. 


Pesakit yang kritikal akan dimasukkan ke dalam zon merah dan bagi yang tidak begitu serius akan diletakkan ke zon hijau. Waktu menunggu jangan cakaplah. Kalau tak sakit sangat dan datang semata-mata nak minta MC, baiklah pergi ke klinik swasta sahajalah. Memang kena sidai la jawabnya weh.

Saya lebih suka berkerja di zon kuning kerana banyak prosedur yang kami boleh buat. Pada masa yang sama boleh penuhkan logbook juga hahaha.

Kadang-kadang, baru sahaja hendak mulakan shif sudah dipanggil oleh staf unit kecemasan untuk meminta pertolongan. "Adik sekarang free ke? Jom tolong akak tengok patient ni."

Sebenarnya, kita perlukan inisiatif yang sendiri jika mahu belajar banyak prosedur. Kalau malu-malu susah juga. Jangan mahu mengharapkan staf sekeliling yang tanya kita dahulu mahu buat apa, lebih baik kita jadi orang pertama yang tunjukkan semangat mahu belajar.

Pada satu malam, saya mahu masukkan branula pada tangan seorang makcik ini. Saya rasa saya sudah bersedia mental dan fizikal. Barang pun saya dah susun siap-siap, tapi itulah tak dapat juga saya ambil darah pesakit itu.

Saya berulang kali memohon maaf kepadanya sebab saya rasa bersalah yang amat. Seharian juga saya tiada mood sebab asyik terkenang peristiwa itu.

Terima kasih pada seorang staf nurse yang memberikan saya peluang bancuh ubat untuk nebuliser pesakit asma.  Menggigil tarik syringe bancuh ubat kejap-kejap terlebih dos kejap-kejap terkurang pulak hahaha memang kenangan.



Selain dari kerja shif, kami juga ada kelas dengan doktor-doktor pakar kecemasan dan juga abang dan kakak MA. Jadual memang padat dengan lecture, praktikal dan seminar.

Kalau kes kematian itu memang biasa juga saya lihat. Ajal maut semuanya sudah tertulis. Begitu biasa dengan kes kematian sehinggakan kami sedang kelas di zon merah pun seperti tiada apa-apa.

Tak sangka pula pada satu hari itu saya sedang memasang ECG pada seorang pakcik yang mengadu sakit dada. Apabila saya memeriksa detak nadi pakcik itu di pergelangan tangannya, saya merasakan sesuatu yang aneh.

Apa yang aneh? Nadi pakcik itu tidak seragam. Sini saya terangkan, cuba awak semua periksa nadi masing-masing dan pasti jarak antara satu denyutan nadi ke satu denyutan adalah seragam. 

Tetapi pakcik ini nadinya tidak seragam dan istilah perubatan kami panggil atrial fibrillation. Ia boleh berlaku disebabkan oleh tekanan darah tinggi, penyakit jantung, injap jantung rosak, kelenjar tiroid terlalu aktif (hipertiroidisme) dan lain-lain.

"Tak sama kan? Pakcik memang ada atrial fibrillation."

Saya memanggil kawan saya seorang untuk memintanya memeriksa nadi pakcik itu. Benda macam ini perlu dikongsi sebab kita mahu semua orang berjaya dan jadi doktor sama-sama!

Arus elektrik di atrium jantung tidak teratur

Secara fisiologi, apabila atrium tidak berkontraksi dengan baik, darah boleh bertakung dan membentuk gumpalan darah beku (thrombus). Jika bekuan ini terlepas dan mengalir ke otak boleh menganggu bekalan oksigen ke otak seterusnya boleh menyebabkan strok. 

Kalau shif malam tu memamg malas betul hendak pergi. Kadang-kadang kami hanya ada shif malam sahaja dan pada waktu siang kami tiada kelas. 

Jarang saya duduk di zon hijau sebab tiada apa menarik berlaku cuma banyak kes pelik-pelik yang saya jumpa. Ada yang datang kecemasan kerana mata tercucuk bekas tupperware dan banyak datang semata-mata mahukan MC saja.

Dekat kecemasan, penting untuk mengenal pasti bacaan ECG yang tidak normal dan yang membahayakan nyawa pesakit. Jujur kata, posting inilah punca saya faham cara nak baca ECG dengan laju dan efektif.

Tak adalah padu sangat, saya ini budak baru hendak belajar. Kalau setakat yang common ECG tu boleh la saya baca hahaha.

Satu kumpulan ada 2 supervisor. Tertarik dengan cara mengajar satu pensyarah (Doktor Yaakob bukan nama sebenar) ini yang kebanyakkannya praktikal. Ayat keramat dia ialah "You guys always with your books! Leave your iPads and books, here you apply what you read for 5 years."

Satu hari itu, ada pesakit dekat zon merah datang sebab suspek denggi. Doktor Yaakob terus suruh saya dan kawan saya attend pesakit tu dari A-Z. Apa lagi menggelabah la hahahaha macam terus kena kerja je.

"You dah ada houseman baru hari ini. Biar dia buat kerja." ujar Doktor Yaakob kepada kawan saya. Menggelabah juga dia hahaha.

Masa hujung-hujung posting, kami dengan selambanya minta Dr Yaakob bincang past year questions. Macam saya kata, adat menghafal soalan-soalan past year ini memang turun temurun. Jadi masa hendak bincang soalan tu, Doktor Yaakob kata "Eh, ini soalan I yang buat dulu. I ingat lagi soalan ni."

Dr Yaakob memang sporting dan sangat-sangat bersemangat nak mengajar. Tapi kena hadaplah dia berleter dan perli yang pedih dari insan berkaliber itu.

Yup! Saya bagi posting ini 5/5! Memang seronok sebab banyak buat kerja seimbang dengan teori. Bye!



Comments

Post a Comment

Most Popular