ePlacement: Medan perang papan kekunci?! Mari Bertarung Untuk Housemanship!!!

 Assamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca yang disegani.

Ya. Pertarungan yang pertama sebelum pertarungan yang lain. Masa depan anda kemungkinan besar bergantung pada hari di mana perang ini tercetus. Salah pilih, hidup merana untuk dua tahun. Oleh itu, kita perlu fokus!

Apa benda pula ePlacement ini?

ePlacement merupakan laman sesawang yang membolehkan graduan perubatan memilih sendiri hospital yang mereka berkenan untuk menjalankan latihan housemanship untuk tempoh maksima 3 tahun. Penempatan ePlacement hanya buka 6 kali sahaja setahun!

Kenapa kena berebut hospital pula? Bukan sama je ke semua hospital.

Tidak semudah itu kawan. Tidak semua hospital membuka penempatan untuk latihan housemanship. Tempat di sesebuah hospital adalah terhad bergantung kepada kekosongan pada waktu itu. Faktor-faktor popular di kalangan graduan adalah jarak hospital dari rumah, persekitaran kerja dan jumlah tenaga kerja.

Ada hospital yang terkenal dengan layanan baik kepada doktor-doktor baru ini dan ada juga terkenal dengan sebab sebaliknya. Jadi, setiap orang sudah pun ada senarai hospital yang mereka inginkan sebanyak 4-5 buah hospital jika piihan pertama, kedua dan ketiga mereka tidak ada atau habis.

Sebelum subuh dah terpacak depan CC sebab nak booking PC

Okay faham tempat terhad tapi perlu ke berebut sampai pergi kafe siber?

Hidup ini tentang strategi. Umum mengetahui kafe siber mempunyai capaian internet yang sangat laju. Konsep ePlacement ini sangat mudah, siapa cepat dia dapat. Jika anda yakin capaian internet di rumah anda laju, boleh sahaja buat di rumah. 

Lagi pun, suasana cemas itu elok dikongsi beramai-ramai dengan kawan-kawan. Saya terpaksa memandu satu jam perjalanan ke Shah Alam semata untuk pertarungan kurang dari 5 minit ini tetapi tidak mengapa.

Tahukah anda kami ada senarai siber kafe terpadu di seluruh negara

Kelebihan Fast Hand!

Selepas sejam kami menunggu ePlacement untuk dibuka tepat pada jam 12:00 tengah hari, berdebar-debar merenung Malaysian Standard Time dibuka disamping laman sesawang ePlacement.

Tepat sahaja pukul 12, terus kami berlumba-lumba masuk mencari hospital pilihan. Okay dah jumpa negeri Selangor. PAP! Ada empat sahaja hospital dibuka pada ketika itu.

Hospital Selayang, Shah Alam, Klang dan Sungai Buloh. Mata melilau-lilau mencari Hospital Selayang. PAP! bunyi tetikus dipicit kuat menandakan keseriusan saya. Pada saat ini Hospital Selayang masih mempunyai 38 kekosongan.

Tiba-tiba, saya mula ragu dengan pilihan saya. Apa saya buat? Ya. Saya patah balik ke laman hadapan dan mula mencari semula negeri Selangor. Giat jari jemari saya menari-nari di atas tetikus dan INILAH DIA!

Aik. Kenapa sampai Terengganu? Rupanya saya tersalah pilih negeri. Ya. Saya kembali semua ke laman hadapan LAGI!

Masa berjalan. Saya pula masih lalai dan leka. Bunyi sorakan kawan-kawan mula didengari di pelusuk kafe siber. Maknanya mereka sudah berjaya mendapatkan hospital impian. Bayangkanlah, kalau 3/4 dalam kafe siber itu semua kawan-kawan satu batch saya sahaja. Mana tak hiruk pikuk.



Tenung sejam

Saya mencari semula negeri Selangor. Okay dah jumpa! Hospital Sungai Buloh sudah tiada dalam pilihan kerana sudah penuh. 

Hospital Selayang masih berbaki 30 kekosongan dan menurun dengan sangat laju ketika itu! Menggunakan pengalaman bermain Valorant dan bermacam lagi permainan tembak-tembak, saya terus klik Hospital Selayang dan teruskan sahkan penempatan. SIAP!!!

Lima minit paling gila dalam hidup. Hormon adrenalin kini dapat disurutkan. Saya pusing ke arah kawan-kawan yang lain. Ada yang lompat kegirangan ada yang terpekik terlolong dalam kafe macam baru menang piala dunia dan ada juga sudah mula menangis.

Apa-apa pun saya sudah mendapatkan hospital sendiri. Begitu juga dengan kawan-kawan saya kecuali beberapa orang.

Post Mortem ePlacement daripada rakan seperjuangan!

Disebabkan negeri Selangor hanya membuka empat buah hospital sahaja, ramai kawan-kawan saya terpaksa memilih hospital yang menjadi pilihan keempat dan kelima mereka. Siapa sangka hospital pilihan pertama saya merupakan hospital pilihan keempat mereka...


Rakan A: Let's Go! Nice! 

Rakan B: Hospital Sungai Buloh cepat gila habis tadi. Nasib baik aku sempat tekan.

Rakan C: Weh kau dapat Selayang juga ke? Terbaik!

Rakan D: Erm guys, aku salah tekan hospital...

Rakan E: Nak makan mana weh?

Ini merupakan satu permulaan (ayat cikgu-cikgu)

Saya harap pilihan kami ini merupakan pilihan terbaik buat kami semua. Semoga kami dapat menamatkan latihan kami dengan jayanya. 

Ini merupakan satu permulaan (bila nak habis asyik bermula je 😝)

Baik, jumpa lagi!

Comments

  1. Selamat datang ke sektor perkhidmatan awam haha, semoga terus cekal berbakti :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. semoga doa yang baik-baik juga berbalik kepada cikgu!

      Delete

Post a Comment

Most Popular