Istiadat Konvokesyen UiTM 104! Bergelar alumni UiTM secara rasmi!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua!

Alhamdulillah. Pada tanggal 21 Mei 2026, saya dan kesemua rakan-rakan seramai 236 orang graduan perubatan dari UiTM sudah bergelar alumni UiTM secara rasmi.

Selama ini, saya sering melihat majlis konvokesyen kawan-kawan dan senior-senior saya sambil berangan-angan bilalah giliran saya pula.

saya sidang 25!

Saya teringin hendak tahu apakah perasaan menyarung jubah konvo, duduk di kerusi di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) dan giliran menaiki pentas untuk mengambil segulung ijazah yang kami sudah tunggang-terbalik untuk mendapatkannya.

Pelajar lepasan asasi UiTM tidak ada majlis konvokesyen seperti graduan diploma. Jika seseorang itu tetap setia bersama UiTM sehingga ke peringkat PHD, seseorang itu berpeluang untuk merasakan konvo sebanyak empat kali. Saya tinggal lagi dua sahaja peluang jika ada rezeki untuk menyambungkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di UiTM.

Lebih kurang sebulan sebelum istiadat berlangsung, para graduan akan diberikan slip untuk diisi dan dibawa semasa tarikh mengambil jubah juga di DATC. Jubah akan diberikan oleh petugas sekiranya anda tiada yuran atau denda yang tertunggak.

Beratur mengambil jubah!

Saya fikir ada baiknya jubah diberikan awal kerana dalam tempoh masa itu dapatlah kami mengambil foto kenangan bersama keluarga dan rakan-rakan. Saya sendiri pun mengupah jurufoto untuk sesi foto sebelum istiadat bersama rakan-rakan.

Hari yang dinantikan pun sudah tiba. Majlis saya berlangsung di sebelah petang jadi boleh bayangkan tak terik matahari pada ketika itu. Kami meletakkan kereta di padang kawad dan seterusnya berjalan terus ke DATC. 

Kawan-kawan saya sudah pun menunggu ketibaan saya. Sambil menunggu untuk masuk ke dalam dewan, kami saling bantu mengemaskan pakaian masing-masing. Jarum peniti dipinkan pada bahagian hud jubah agar ia tidak menyelorot ke samping bahu.

Setelah diberikan kad nama masing-masing, kami berarak masuk ke dalam dewan yang penuh gah dan gemilang. Saat kaki melangkah masuk, satu perasaan bangga dan kagum akan diri sendiri dan rakan-rakan seperjuangan. 


Jujur kata, istiadat konvokesyen memang sangat seronok! Persembahan musik oleh pelajar dari fakulti berkenaan membuatkan ramai terkesima. Mereka sungguh berbakat.

Sesi pengurniaan skrol sempena majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh. Teringat satu ucapan berseloroh yang dilontarkan oleh beliau pada hari itu. Beliau kata sesi kali ini paling selamat kerana dalam dewan ini doktor perubatan ada, doktor gigi ada, farmasi ada dan pengajian islam pun ada.

Fly high doctors!

Dalam kepala hanya fikir SENYUM! SENYUM! SENYUM! sepanjang berjalan di atas pentas. Punyalah risau gambar nanti tidak cantik hahaha. Untung juga nama saya dipanggil awal, kurang sikit perasaan gemuruh itu.

Dengar sahaja nama saya dipanggil, hilang terus semua suara-suara itu. Saya fokus untuk memberikan imej terbaik sahaja. Saya tahu ramai yang menonton dari jauh melalui aplikasi YouTube. Lega rasanya lepas turun pentas. Kami kembali ke tempat duduk masing-masing dan kalut mahu solat zohor hahaha.

Usai sahaja istiadat, kami diminta untuk berkumpul di luar bangunan DATC untuk mengambil gambar beramai-ramai. Ini merupakan kali terakhir kami dapat berkumpul sebagai satu batch. Selepas ini, masing-masing akan membawa haluan sendiri untuk menentukan hala tuju hidup.

Saya panjatkan rasa syukur kepada tuhan yang memberikan segala nikmat kepada kami dan memberi izin untuk kami menamatkan pelajaran dan bergelar seorang doktor. Ribuan terima kasih kepada kedua ibu bapa yang susah payah membesarkan kami dari kecil hinggalah ke saat ini. 

Puluhan guru dan pensyarah yang sanggup bersusah payah mencurahkan ilmu mereka dan mendidik kami di sekolah dan di universiti. Setiap guru semestinya akan meninggalkan kesan kepada anak-anak didik mereka. 

Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorongan untuk jalan terus. Kawan-kawan yang baik merupakan satu bentuk rezeki juga. Tidak dilupakan kepada pesakit-pesakit yang sudi memberi peluang kepada kami untuk menimba ilmu dan pengalaman. Tanpa doa-doa mereka, mungkin kami tidak sampai di tahap ini.

Kepada makcik dan pakcik kantin, petugas kebersihan, pengawal keselamatan, staf-staf, polis bantuan, dan lain-lain yang pernah terlibat dalam perjalanan pencarian ilmu saya, saya hendak ucapkan terima kasih. 

Oleh itu, tamatlah perjalanan saya sebagai seorang pelajar perubatan di #unipurple. Saya berdoa dan saya berharap agar dapat bergelar seorang pelajar UiTM lagi di masa akan datang. Terima kasih semua. Semoga jumpa di lain masa!

Comments

  1. Bestnya konvo, rasa macam nak konvo lagi sekali haha! Congrats, Dr ^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih! Insyaallah jika diberikan kesempatan, mana tahu kita semua dapat konvo sekali lagi.

      Delete

Post a Comment

Most Popular