PAEDIATRICS POSTING: THE LAST POSTING FOR YEAR 3!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua, saya doakan anda semua dalam keadaan yang sihat dan ceria sentiasa.

Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk menulis sedikit sebanyak tentang pengalaman saya sebagai seorang pelajar perubatan Tahun 3 sepanjang saya menempuh posting paediatrics ini. Jadi, mari saya ceritakan!



1. Pengenalan posting

Posting paediatrics ataupun bahasa mudahnya ialah posting tentang kesihatan kanak-kanak khususnya pesakit-pesakit yang berumur bawah 18 tahun. Siapa-siapa yang minat budak kecil, pasti posting ini adalah salah satu kegemaran mereka. 

Mula-mula saya memang tak suka budak-budak. Tetapi, lama-lama tu saya rasa mereka ini kadang-kadang comel juga. Gelagat mereka sedikit sebanyak menceriakan hari saya. Doktor pun takkan nak garang-garang depan budak-budak kikiki 😋

Umum mengetahui, kanak-kanak dan orang dewasa amat banyak perbezaannya. Hal ini kerana, fisiologi kanak-kanak berubah mengikut umur mereka. Sebagai contoh, kadar normal degupan jantung bagi orang dewasa semasa rehat adalah 60-100 bpm (beat per minute) namun untuk kanak-kanak berusia 1 tahun, kadar degupan jantung mereka semasa rehat adalah 100-160 bpm. Tidak normal bagi anda tidak semestinya tidak normal untuk mereka juga!

2. Pengalaman berharga

Saya bukan seorang yang suka bermain dengan budak kecil. Saya tidak ada adik kecil dan saya tidak reti untuk buat suara comel-comel huaaa. Sebelum ini, saya memang risau kalau tak boleh bawak diri 😂

Doktor sudah pesan untuk tidak menyarungkan white coat semasa berada di dalam wad, risau kalau budak-budak takut tengok kami.

Hari pertama saya menjejakkan kaki ke wad kanak-kanak, saya cuba untuk mengenal pasti pesakit jenis apa yang saya akan berjumpa sepanjang 7 minggu saya di wad ini kelak. Adakah mereka semua jenis buas tak dengar kata dan berlari di dalam wad seperti monyet.

Saya pula tidak bawa mainan untuk mereka bermain. Percayalah cakap saya, rasuah mainan berkesan dan amat mujarab hahaha.

Untuk kanak-kanak, penyakit kebiasaan mereka selalunya lebih kepada jangkitan paru-paru kerana sistem imun badan mereka masih belum matang. Ada satu lagi penyakit yang ditekankan di wad kanak-kanak iaitu Febrile Fit ataupun sawan.

Febrile fit ni adalah demam yang menyebabkan sawan yang selalunya terjadi pada kanak-kanak berusia 3 bulan hingga 6 tahun. Rata-rata, kanak-kanak yang terkena febrile fit akan baik dengan sendirinya dan risiko untuk menderita penyakit sawan juga tidaklah tinggi. Antara sebab-sebab demam sawan ini ialah jangkitan virus dan sedikit sebanyak dari genetik.

Semasa saya exam tempoh hari, saya dapat pesakit febrile fit. Bermacam-macam jenis soalan doktor tanya kepada saya. Alhamdulillah boleh jawab semua walaupun tergagap-gagap. Terima kasih adik sebab beri kerjasama dekat abang hari itu, ibu dia pun sangat membantu 😁



Budak-budak ini ada dua jenis, satu takut dekat orang dan satu lagi terlebih peramah. Penat nak melayan yang jenis banyak mulut ni 😆.

Ada yang suka susun kad Pokemon penuh atas katil sampaikan untuk dia seorang je ada dua katil disediakan. Ada yang suka berlari-lari dalam wad, ada yang introvert pemalu kalau abang kakak dia datang dekat katil hehehe.

Kadang-kadang saya turun ke klinik ibu dan anak untuk merasai sendiri cara doktor-doktor mengenal pasti dan merawat kanak-kanak yang datang pada hari itu. Cara ini sedikit sebanyak membantu pelajar untuk belajar bagaimana doktor bertanyakan soalan dan soalan jenis apa untuk ditanya.

3. Cabaran

Budak-budak kecil ini tempoh perhatian mereka amat rendah. Mereka senang berasa bosan jika cara anda tidak menarik minat mereka. Sebagai contoh, anda perlu memeriksa mereka tetapi jika anda gagal memperoleh kepercayaan mereka, mereka akan menangis dan anda akan berdiri di situ sambil rasa bersalah hahaha.

Jadi, pemeriksaan kanak-kanak perlu dilakukan di tempat-tempat yang sukar dahulu ataupun dalam bahasa mudah "Mana yang boleh dulu". Kalau budak itu menangis, meronta jadi terpaksa la berhenti sekejap.

Seperti yang saya katakan tadi, fisiologi dan perkembangan kanak-kanak berbeza mengikut usia. Antara perkara yang sangat menarik bagi saya dan juga mencabar ialah perkembangan kanak-kanak (Developmental milestone).

Mari saya ceritakan serba sedikit, developmental milestone ini adalah kayu ukur perkembangan kanak-kanak dari segi gross motor, fine motor, speech dan social. Keempat-empat aspek ini amat penting untuk mengukur perkembangan kanak-kanak mengikut umur. 

Saya beri contoh, di hadapan anda ada pesakit berumur 1 tahun. Mengikut developmental milestone, dia sudah mampu berdiri, boleh mengutip mainan, boleh bercakap dua suku kata dan boleh melambai pada orang. 

Anda perlu bertanya semua soalan ini kepada penjaga mereka. Jika mereka sudah ke sekolah, soalan akan bertukar tentang keupayaan akademik mereka.


Hafal semua ini kalau hendak lulus exam! 

Semasa saya exam hari itu, pesakit saya yang demam sawan itu sudah berusia 4 tahun. Jadi, ikut developmental milestone dia sudah berupaya untuk berlari, menendang bola, susun 7-9 kiub mainan secara menegak, mampu memegang pensil dengan baik, mengenal 4-5 warna, boleh bercerita, mampu untuk menyalin pakaian dan lain-lain.

Nasiblah saya hafal developmental milestones tu, dalam exam mana boleh bawak kertas nak tengok-tengok.

4. Gaya hidup sepanjang posting

Jujur kata, tidaklah begitu sibuk. Saya selalunya akan balik bilik sebelum zohor 😓. Balik petang pun jika ada kelas waktu petang. Prosedur pun tidak banyak jika hendak dibandingkan dengan posting perubatan am. Jadi, saya ada banyak masa untuk mengulang kaji pelajaran dan semak-semak semula apa yang saya perlu baca.

5. Kesimpulan

Akhir kata, terima kasih diucapkan kepada pensyarah, akak nurse, ibu-bapa dan adik-adik yang saya temui sepanjang saya berada di wad kanak-kanak. Saya di situ sebagai seorang pelajar dan saya ingin memperbaiki diri saya hari demi hari.

Alhamdulillah, saya sekali lagi merangkul A+ untuk posting paediatrics. Saya harap saya dapat mengekalkan dan beransur lebih maju pada masa akan datang. Terima kasih bagi siapa yang membaca sampai habis!


Comments

Post a Comment

Most Popular