PRIMARY CARE POSTING: DOKTOR, KALAU NAK MC BOLEH?
Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca yang saya kasihi. Semoga tuhan merahmati kalian walau di mana jua kalian berada.
Primary Care atau Family Medicine (Pakar perubatan keluarga) mungkin kedengaran asing di kalangan masyarakat majmuk. Senang kata, doktor atau pakar dalam bidang ini digelar doktor Klinik Kesihatan (KK) atau doktor pakar keluarga atau general practitioners (GP) .
Sebenarnya tugas mereka lebih daripada itu. Saya secara peribadi menganggap doktor-doktor yang menceburi bidang ini ialah doktor yang bijak-bijak dan sangat arif dengan protokol rawatan semasa. Mereka sebenarnya mengetahui semua benda secara asas dan mendalam kerana kita tidak akan pernah tahu pesakit jenis apa yang akan melalui pintu rawatan untuk berjumpa dengan kita.
differentials |
Boleh jadi dia datang hanya kerana pening kepala, namun di dalam kepala seorang doktor pakar perubatan keluarga ada berpuluh-puluh jenis penyakit yang berkaitan dengan pening kepala sahaja. Semuanya harus dirawat dalam masa kurang 10 minit kerana orang sakit sungguh ramai yang menunggu.
Suka saya untuk berkongsi pengalaman selama empat minggu ditempatkan di Klinik Kesihatan Sungai Buloh. Bermacam ragam pesakit yang saya lihat dan itu merupakan pengalaman dan pelajaran yang sangat berharga.
Di klinik kesihatan, ada pelbagai jabatan yang menjadi struktur utama di sana. Jabatan kecemasan, jabatan pesakit luar (outpatient), klinik ibu dan anak, jabatan farmasi, klinik penyakit tidak berjangkit (Non-communicable disease atau NCD) dan klinik diabetes.
Hari pertama saya ditempatkan di jabatan kecemasan. Semuanya berlaku dengan sangat pantas, tidak sempat mahu duduk pun di situ. Kebanyakkan di sini adalah pesakit asma, pesakit yang mahu menukar balutan (dressing), serangan jantung, saringan penyakit TB dan lain-lain.
Dapatlah saya merasa melakukan beberapa tugasan di sana seperti mengambil ECG (electrocardiogram) pesakit, melihat cara membuka balutan dan pembersihan luka, rawatan asma, cara mengambil darah dan banyak lagi.
Pembantu pegawai perubatan atau medical assistant (MA) yang dikenali sebagai dressar sangat-sangat mesra dan suka mengajar kami yang masih baru. Mereka sangat cekap dan terlatih dalam melakukan prosedur. Saya suka cara kerja mereka yang lebih kepada praktikal.
Manakala di klinik pesakit luar, saya dapat melihat cara-cara doktor mengenalpasti penyakit seseorang itu dengan sangat laju. Hanya dengan beberapa soalan dan pemeriksaan sahaja mereka sudah dapat memberikan rawatan yang sesuai.
Paling seronok apabila saya jumpa kes yang jarang dilihat kerana ianya membuatkan saya lebih semangat untuk mendalami sesuatu penyakit itu. Saya tahu, kita tidak sepatutnya gembira dengan ujian orang lain. Saya masih ingat lagi dengan seorang pesakit ini. Dia hanya datang kerana mahukan MC sahaja. Doktor berkeras dengan hanya memberikan time slip dan meminta pesakit itu beredar. Doktor beritahu saya yang pesakit itu hanya berpura-pura sambil menunjukkan sejarah perubatannya yang rata-rata kerap sungguh datang setiap bulan hanya untuk MC dengan alasan demam.
"Dia ni MC seeker je."Klinik ibu dan anak. Sungguh menggamit memori suka duka semasa posting O&G dahulu. Tidak sangka akan berjumpa lagi pada tahun ini walaupun hanya seketika. Jujur kata, saya sudah banyak melupakan perkara-perkara asas untuk posting O&G. Maklumlah, sudah setahun lebih saya meninggalkannya. Apa lagi, melopong la saya di sana cuba mengingati semula apa yang saya perlu tahu untuk wanita mengandung dan kesihatan anak-anak mereka.
Seperti biasa akan selalu diminta untuk keluar sekejap demi menjaga aurat dan hak mereka sebagai wanita. Saya faham dan sangat menghormati keputusan mereka. Saya pun akan malu jika pelajar berlainan jantina yang muda dan goodlooking seperti saya memerhati (gurau sahaja).
Saya banyak belajar di klinik NCD. Di sini adalah klinik untuk pesakit kronik dan kebanyakkannya ialah penyakit tiga serangkai.
Saya betul-betul terlibat dalam proses rawatan. Saya diminta untuk mendiagnos dan menentukan sama ada pesakit untuk betul-betul mencapai target kawalan mereka atau pun tidak. Sebagai contoh, untuk pesakit darah tinggi dan kencing manis bacaan darah tinggi mereka harus rendah daripada 130/80. Jadi, jika ada di antara mereka yang gagal mencapai bacaan ini akan 'dibebel' secara panjang lebar oleh doktor.
Selepas itu, doktor akan bertanyakan rawatan yang bersesuaian untuk pesakit-pesakit itu. Kebiasaannya untuk rujukan, kami menggunakan Clinical Practice Guidelines Malaysia untuk pelbagai penyakit. Ini merupakan standard rawatan untuk masyarakat Malaysia. Jadi, CPG itu wajib difahami dan dibaca! Buku teks yang ditulis kebanyakkannya untuk rawatan negara luar seperti UK atau Australia.
Selain KK Sungai Buloh, saya juga menyertai klinik di UiTM Sungai Buloh yang diterajui oleh pensyarah-pensyarah saya. Tidak kekok jika belajar bersama doktor kita sendiri malah lagi terperinci berbanding di KK. Pengalaman saya terlibat sama dalam rawatan osteoartritis lutut (knee osteoarthritis) dari mula sehingga akhir. Memeriksa sendiri lutut pakcik itu tidak akan saya lupakan. Terima kasih pakcik kerana sudi melayan saya dan terima kasih doktor kerana mengajar saya dengan sabar.
Cabaran posting ini tidak lain tidak bukan ialah pengetahuan yang cetek. Terlalu banyak penyakit yang perlu kita tau dan kuasai. Tetapi itu tidak membuatkan posting ini bosan atau susah. Ia merupakan cabaran untuk kita lebih menguasai banyak benda. Belum lagi logbook PCM yang penuh dengan prosedur yang perlu diisi. Saya ingat posting inilah yang paling banyak kena cari dan lakukan prosedur.
Antara komponen di posting ini ialah DOC iaitu Direct Observe Consultation. DOC ini dimana kita akan bertindak sebagai seorang doktor yang sebenar di klinik. Dari awal sejarah penyakit pesakit, pemeriksaan yang bersesuaian sehinggalah pelan rawatan untuk pesakit.
osteoarthritis ini keadaan di mana tulang rawan (cartilage) lutut kita sudah haus |
Saya masih ingat saya dapat pesakit strok, dan diminta untuk melakukan pemeriksaan saraf secara menyeluruh dari A-Z. Pensyarah saya hanya duduk di hujung memerhatikan sahaja tindak laku saya hahaha. Nasib baik saya tengok video neurological examination pagi itu. Beliau tidak berkata banyak dan saya mendapatkan markah 4/5 untuk clerking dan physical examination.
Namun, tiba di saat-saat konsultasi untuk pesakit, saya sedikit gugup dan tidak banyak sangat yang saya mahu berikan kepada pesakit. Cara konsultasi mengikut urutan ialah dimulai dengan pendidikan penyakit kemudian memberitahu rawatan yang tidak memerlukan ubat seperti bersenam, mengubah diet dan sebagainya. Di sambung pula dengan memberitahu keputusan darah atau imej (xray, ct scan, mri) dan ujian yang perlu dilakukan seterusnya untuk memantau tahap penyakit itu.
Seterusnya, memberitahu adakah perlu diberikan ubat atau tidak, ubat jenis apa, perlu tambah atau kurangkan dos dan akhir sekali ialah safety-netting di mana kita memberikan jaminan dan tarikh follow-up. Serius susah sebenarnya hahaha mungkin sebab saya masih kurang pengalaman.
"Kita jumpa lagi 3 bulan ya encik, kalau ada apa-apa terus datang sini. Okay itu sahaja terima kasih."
Setiap hari memang sibuk. Pagi sehingga tengah hari di klinik, petang akan ada perbincangan berkumpulan bersama doktor pada setiap hari. Kebiasaannya kami berbincang tentang kes yang kami jumpa di klinik. Malam badan sudah penat, buku tidak baca kemudian esoknya datang klinik dengan otak kosong. Ulang-ulang sampai hari peperiksaan baru menggelupur mengulang kaji.
Ada juga lawatan ke HOSPIS Malaysia. Sebuah pusat palliative care di Malaysia, dapatlah juga kami buat lawatan sambil belajar. Banyak lagi yang saya mahu ceritakan di sini, tetapi sampai di sini sahajalah. Panjang-panjang nanti orang bosan pula. Jumpa lagi!
Comments
Post a Comment