PRE CLINICAL DONE!!!
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Segala syukur dan pujian kepada Tuhan yang maha Esa.
Alhamdulillah, pada hari ini saya dan rakan-rakan seperjuangan saya berjaya menamatkan peperiksaan terbesar untuk pra-klinikal yang berlangsung pada 14-16 November 2022.
Tiga minggu diberikan untuk kami bersedia mengulang kaji semua subjek dari awal semester satu sehingga semester empat. Tidak terbayang betapa banyaknya benda yang perlu dibaca dan diselak.
Rutin belajar saya akan saya kongsikan di satu post yang khas. Saya mahu menceritakan pengalaman saya mengambil peperiksaan akhir di sini.
Pada hari Isnin, kami perlu menduduki dua kertas iaitu Short essay question (SEQ) selama tiga jam dan Problem based question (PBQ) selama dua jam lebih.
Tipulah kalau boleh jawab semua soalan dengan lancar, hanya mereka yang pandai tahap dewa mampu mengingati segala benda. Untuk SEQ dan PBQ memang hangus digoreng dengan begitu rangup terutama soalan Public Health.
Kebiasaannya soalan Public Health pasti akan dihentam seperti soalan KBAT kerana soalannya begitu umum contohnya, "Describe 5 prevention of the disease from spreading". Bukannya tidak ada sebarang lecture tentang Public Health tapi rata-rata malas nak baca Public Health hahaha.
Untuk semester satu dan dua saya hanya baca sehari sebelum kerana mahu fokuskan semester tiga dan empat yang merupakan majoriti peratusan soalan.
Jadi, strategi saya ialah untuk membaca kes-kes yang common kerana pastinya akan ditanya dalam peperiksaan. Persoalannya, mana satu kes yang common dan mana pula yang rare? Common di sini merujuk kepada kes-kes yang selalu dijumpai pada rakyat jelata dan kes yang selalu keluar di tutorial.
Pada tahun ini, soalan yang keluar ialah berkaitan asma, jantung tersumbat dan Parkinson untuk kes semester satu dan dua. Kali terakhir saya belajar topik tersebut ialah tahun lepas. Satu apa pun saya tidak ingat terasa macam baru nak belajar.
Alhamdulillah, ada yang boleh jawab dan ada yang hentam. Nasib baiklah soalan-soalan spot banyak juga yang masuk.
Pada hari Selasa, kertas OSPE dijalankan. Bagi yang tidak tahu apa itu OSPE boleh rujuk pada blog saya yang lepas-lepas. Sama juga, tetapi hanya soalan semester tiga dan empat yang akan ditanya. Seperti biasa soalan anatomi kebiasaannya perlu melihat mikroskop dan mengenal pasti apakah sel tersebut.
Soalan mikrobiologi juga sama, kita kena tengok cell culture yang disediakan dan kenal pasti mikroorganisma tersebut. Tapi, bukan nama mikroorganisma sahaja dia tanya, lepas itu dia akan tanya ubat mana boleh pakai, simptom jangkitan dan lain-lain. Semua ini perlu dijawab dalam masa empat minit.
Lebih kuranglah macam ini lepas itu dia suruh describe the morphology and so on. |
Seronok sebenarnya kalau buat OSPE ini cumanya masa menjawab terlalu singkat pula. Kadang-kadang itu lepas sudah sampai stesen yang berikutnya baru teringat jawapan untuk stesen yang mula-mula jawab tadi. Tadi masa nak menjawab tidak ada pula nak ingat 😀.
Untuk OSCE pula, seperti biasa latihan persediaan untuk klinikal kelak. Ada dua sahaja stesen iaitu history taking dan juga physical examination.
Saya merupakan kumpulan terakhir dalam peperiksaan OSCE ini jadi bayangkan kami perlu di kuarantin di dewan peperiksaan tanpa telefon dan iPad dan perlu menunggu nama kami dipanggil. Dari pukul 2 petang saya hanya dipanggil pada pukul 5:30 petang ya ☝.
Azab menunggu jangan di buat main. Awal-awal masuk dewan rasa cemas dan cuak sahaja tapi bila dah lama sangat menunggu ini rasa macam nak habis awal sahaja. Lantaklah apa nak jadi pun hahaha. Kawan-kawan yang lain dah tangkap gambar beramai-ramai tinggallah kau sahaja baru nak jumpa patient.
Untuk history taking, kes untuk tahun ini ialah seorang wanita yang datang ke klinik kerana batuk berdarah selama lima hari berturut-turut. Jadi dalam masa lapan minit, anda perlu mendapatkan sejarah perubatan lengkap wanita tersebut untuk membantu anda dalam memberi diagnosis.
Nasib baiklah pesakit olok-olok itu banyak bercakap, tidak payahlah saya susah-susah nak tanya banyak benda hahaha (Doktor dekat tepi selak kertas pemarkahan laju-laju buat saya cemas sahaja).
Stesen physical examination pula kena ambil tekanan darah pesakit, pun sama juga selama lapan minit. Kali terakhir saya menggunakan sphygmomanometer adalah pada tahun 2019 iaitu ketika tahun asasi 😀.
Bukannya kami tidak di ajar di sini, tetapi saya malas nak pergi praktikal hahaha padan muka saya. Jadi, saya pun tengoklah video cara menggunakan alat tersebut berulang-ulang kali di YouTube.
Inilah dia sphygmomanometer. |
Insiden seperti staf menegur rambut saya yang panjang selama dua hari berturut-turut di khalayak ramai turut berlaku. Saya tidak kisah sangat pun kerana ia memang salah saya yang menyimpan rambut panjang (Rasa-rasa macam rambut sayalah yang paling panjang sekali dalam batch...).
Disebabkan saya kumpulan terakhir sekali yang habis paper OSCE, saya pulang ke bilik dan melihat rakan serumah saya semuanya sudah pun berehat-rehat, ada yang bermain Genshin Impact dan ada juga yang sedang makan.
Apa-apa pun, terima kasih untuk dua tahun yang penuh suka-duka. Masih ada lagi tiga tahun bersama rakan-rakan saya ini. Saya berdoa agar kami berjaya lulus dalam peperiksaan kali ini tanpa perlu mengulang kertas, amiin!
tahniah do!! enjoy your holiday (selagi masih ada cuti 🤣)
ReplyDeleteHahahaha, kena nikmati betul-betul ni
Delete