DAY TRIP TO AWANA SKYWAY, GENTING HIGHLANDS!!! part 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Januari belum sampai lagi pada penghujungnya tetapi saya dan kawan-kawan sudah pun sampai di Genting Highlands selepas berbulan-bulan bercakap mengenainya.

Semuanya bermula apabila saya membawa kereta ke kampus atas alasan mahu memunggah semua barang untuk sesi clearance (Klik sini untuk lebih lanjut) selepas program elektif Tahun 2.

Bagi memanfaatkan detik-detik terakhir di UiTM Sungai Buloh, kami merancang untuk keluar bersiar-siar sebelum pulang ke rumah dan bertemu semula di UiTM Palam. Tidak begitu mudah ya kawan-kawan, kami sendiri tidak tahu mahu pergi ke dan mengapa.

Korang nak pergi mana?

Aku ikut je.

Movie? 

Sekarang ni tak ada cerita best lah. 

Sunway Lagoon? District 21? Muzium? Hauntu?

Mana-mana je.

ARGHHH, PILIHLAH SATU!!!

Begitulah kira-kiranya perbualan kami pada tengah hari tersebut. Malam sebelumnya juga kami sudah pun merancang untuk keluar menonton wayang tetapi tiada pilihan cerita yang menarik pula. Salah seorang kawan saya pula bergurau untuk ke Genting Highlands kerana saya yang akan memandu dan bukannya mereka (geram betul).

Sebelum Zohor, kami memutuskan untuk menggunakan wheels bagi menentukan pilihan aktiviti kami pada hari itu. Kesudahannya, kami berenam bersetuju untuk bermain di District 21 di IOI Putrajaya. Selepas itu, saya kembali ke bilik saya dan mencapai telefon bimbit untuk melihat jarak dan masa yang akan diambil untuk ke sana.



Ternyata jaraknya bukan dekat! Satu jam setengah juga kalau nak drive dari UiTM. Tiket pula berharga RM60 seorang. Tidak berbaloi bagi saya untuk masa dan jarak yang jauh hanya untuk bermain di District 21 (MID).

Saya kemudiannya menaip "Genting Highlands" di ruangan carian Google Maps dan alangkah tidak terkejutnya saya (Saya tahu genting ni dekat saja) yang perjalanan ke Genting mengambil masa yang lebih pendek.

Waktu bertolak semakin hampir, rakan-rakan saya sudah pun mula bersiap selepas menunaikan kewajipan solat Zohor. Waktu itu, mereka tidak tahu lagi yang saya sudah bernekad untuk menukar haluan perjalanan kami.


Rakan sebilik saya masuk ke bilik lalu bertanyakan tentang plan kami sebentar lagi (Tadi orang sibuk berbincang, dia pergi tidur.) dan adakah jadi untuk keluar.

Dengan selambanya saya berkata yang kita akan ke genting sebentar lagi. Riak wajah tidak percaya mula ditunjukkan olehnya. Berkali-kali dia berkata, "Kau seriuslah?".

Selepas itu, saya melangkah keluar dari bilik dan mendapatkan rakan-rakan saya yang lain seraya berkata, "Jom naik genting."

Reaksi mereka sudah saya duga, 

"LET'S GOO!!!"

Tidak sampai setengah jam, kami sudah pun berada di dalam kereta. Bacaan doa naik kenderaan diketuai oleh bekas ketua pelajar salah sebuah SBP terkemuka di Perak. Saya hanya membawa Honda CRV jadi keadaan di kerusi penumpang agak sempit namun masih memuatkan empat orang. Berkali-kali juga saya bertanyakan tentang keselesaan mereka. Saya tidak pula memandu dengan laju kerana bak kata pepatah, biar lambat asalkan selamat.

Spotify telah dipasang, Google Maps juga sudah bersedia dan apa lagi? MARILAH KITA GERAK!!!

Kami bercadang untuk menaiki kereta kabel di sana kerana harga yang jauh lebih murah (RM18 pergi balik) berbanding tarikan utama iaitu Skytropolis Indoor Theme Park dan Genting SkyWorlds Theme Park (tak masuk sebab duit dan faktor curfew UiTM pukul 11 malam...PB garang tau.)


Apa pun, saya memilih untuk melalui jalan lama berbanding jalan tol kerana mahu mengurangkan kos perjalanan kami. Namun, saya sudah semestinya mahu menduga cabaran jalan lama ke genting yang dipenuhi selekoh tajam dan jalan sempit. Kiri dan kanan jalan ditemani dengan populasi monyet yang banyak (biasalah dalam hutan).

Selain berada di dalam hutan bukit dan lori yang besar-besar yang melambatkan perjalanan kami di jalan lama, ketiadaan lampu jalan juga membuatkan saya untuk pulang dengan melalui lebuh raya nanti atas faktor keselamatan.

Sepanjang perjalanan, saya juga berasa tidak percaya yang saya akan memandu ke genting untuk pertama kali dalam hidup (saya sudah dewasa). Setelah berhempas pulas bermain stereng di liku-liku jalan yang tajam dan sempit, papan tanda GENTING HIGHLANDS terpampang di tepi jalan.

"WEH, DAH SAMPAI!!!"

Kami sungguh teruja dan seronok, cuaca juga sangat baik. Panas dan berangin di atas sana. Sungguhnya hari yang sangat baik untuk mencipta kenangan di usia remaja (masih remaja okay). Selepas itu, kami tiba di ruangan parkir yang memerlukan kad TNG.

Heh, saya ada dua kad TNG di dalam kereta tersedia. Namun, dua-dua tidak diterima di situ! Atas alasan baki kurang daripada RM30 (kelakarnya, baru tadi saya mengutuk kereta di hadapan saya yang kadnya tidak diterima...)

Nasib baiklah, kawan-kawan saya menghulurkan kad masing-masing untuk membantu saya. Tetapi, saya terbaca di situ yang palang tol itu juga menerima kad debit dan kredit. Jadi, seperti biasa kad Bank Islam saya hadir menyelamatkan keadaan.

Saya parkir kereta saya berhampiran dengan pintu masuk. Baru sahaja saya keluar daripada kereta, angin sejuk mula menerpa. Saya meninggalkan hoodie saya di dalam kereta kerana mahu merasakan angin yang nyaman dan sejuk itu.

Kemudiannya, kami membeli tiket di mesin layan diri. Sekali lagi, kad Bank Islam kembali beraksi. Rakan-rakan mula bergurau dengan memanggil saya sebagai sugar daddy mereka kerana hanya saya yang mengeluarkan duit sejak daripada tadi lagi.

Kami tidak perlu beratur panjang untuk kereta kabel kerana tidak ramai orang yang berada di situ mungkin kerana hari bekerja (kami pergi hari rabu). Naik kereta kabel bersama keluarga tidak sama dengan kawan-kawan. Masing-masing mengeluarkan telefon untuk merakam detik-detik terindah untuk dijadikan kenangan.

Sambung bahagian 2...


Comments

  1. ni betul punya last minit plan kau ni hahahaha nasib baik selamat pergi dan balik ish ish ish

    ReplyDelete

Post a Comment

Most Popular