SELAMAT TAHUN BARU 2023!
Assalamualaikum dan salam sejahtera!
Alhamdulillah, kita diberikan kesempatan sekali lagi untuk memasuki tahun yang baru sekali gus meninggalkan tahun 2022 untuk selamanya. Biarpun begitu, kenangan yang tercipta tidak kira pahit atau manis akan terpahat di jiwa untuk masa yang lama.
Oleh itu, saya akan menulis recap khas untuk tahun 2022 sebagai kenang-kenangan.
Januari
Genshin Impact banyak mengisi masa lapang saya pada bulan Januari. Saya masih ingat, semua orang ketagih bermain Genshin Impact tidak kira siang atau malam.
Hampir setiap petang, saya bermain bersama-sama rakan-rakan saya yang jarak umurnya sangat jauh. Paling tua di antara mereka berada di tingkatan dua dan yang paling muda masih di darjah lima. Sebenarnya, rakan saya yang sebaya kebanyakannya sudah pulang ke kampus masing-masing. Jadi, tinggallah saya seorang ditemani dengan kanak-kanak bawah umur. Walaupun begitu, saya masih berasa seronok bergaul dengan mereka yang sedikit sebanyak membuka mata saya tentang perbezaan zaman kanak-kanak saya dengan mereka.
Saya juga rajin bersenam (workout) untuk mencapai berat yang ideal. Walau hakikatnya tidak pernah tercapai pun objektif saya 😂. Sudut positifnya, saya kini tidak perlu menonton video-video senaman di YouTube disebabkan saya sudah pun menghafal setiap langkah dan jenis senaman mengikut turutan.
Buat pertama kalinya saya memandu kereta dengan jarak yang bagi saya pada waktu itu sangat jauh iaitu dari Selangor hingga ke Ipoh, Perak. Walaupun sudah dua tahun memiliki lesen kereta, saya tidak pernah lagi berpeluang untuk memandu jauh-jauh.
Februari
Tidak banyak yang berlaku pada Februari. Lemak pada muka saya pun tidak hilang-hilang juga. Pada bulan ini, saya ditempatkan dalam satu kumpulan elektif di mana memaksa saya untuk bergaul dengan rakan satu batch yang tidak saya kenali.
Pada satu malam, saya dan rakan-rakan merancang untuk pergi ke pasar malam berhampiran dengan rumah kami. Awalnya, kereta yang kami kenderai itu sudah pun menunjukkan sedikit masalah. Tidak sangka pula semasa perjalanan pulang, kereta kawan kami itu tidak mahu bergerak dan berhenti mengejut di tengah jalan yang sibuk. Terpaksa kami menolak kereta itu terus ke depan bengkel kereta yang jaraknya lebih kurang 100 meter dan pulang dengan kereta orang lain.
Mac
Saya berada di kampung lagi pada bulan ini. Keluarga kami kerap pulang ke kampung halaman pada hujung minggu. Kebetulan pada waktu itu, cuti sekolah juga berlangsung. Jadi agak meriah jugalah rumah nenek atuk kami pada waktu itu.
Sepupu saya juga berkunjung ke rumah saya untuk menghadiri pertandingan futsal. Selama seminggu dia tinggal bersama-sama kami. Pada satu hari, saya memutuskan untuk mengajar sepupu saya untuk menunggang motosikal.
Jadi, kami memilih lokasi di hadapan surau memandangkan kawasan parkir yang lapang dan tiada orang yang lalu-lalang. Semuanya berjalan dengan lancar pada mulanya dan saya mula berasa puas hati. Oleh itu, saya menyuruhnya untuk membawa motosikal itu sendirian tanpa saya di tempat duduk belakang.
Hendak dijadikan cerita, sepupu saya itu hilang kawalan dan merempuh pagar utama surau dan mematahkan dua besi pada pagar itu. Motosikal saya juga mengalami kerosakan kosmetik. Saya bertanggungjawab dalam hal ini kerana ini semua idea saya pada mulanya.
Petang itu juga, saya menghubungi AJK surau melalui Telegram dan menerangkan perkara yang sebenar (saya tidak berani berhadapan dengan AJK surau). Setelah itu, saya anggap perkara itu selesai dengan sendirinya.
April
Ramadan kini tiba lagi, solat tarawih kini dapat dihadiri dengan jumlah jemaah yang ramai atas seruan kerajaan mengenai kawalan penuh terhadap wabak Covid-19 yang melanda negara. Saya juga amat gembira kerana keadaan kini sudah kembali seperti biasa.
Ibu bapa saya telah mengajak saya untuk menemani mereka membeli juadah berbuka di perkarangan Stadium Shah Alam. Tujuannya hanya satu iaitu membeli nasi Arab yang disediakan oleh cef selebriti iaitu Cef Ammar yang terkenal dengan menu utama iaitu Lamb Shank Chef Ammar.
Pulang ke kampung halaman, bapa saudara saya sudah pun menyediakan stok mercun dan bunga api yang entah dari mana dia perolehi.
Mei
RAYA!
Baju cekak musang yang berwarna merah menjadi pilihan saya pada tahun ini. Atuk saya mengetuai solat sunat Aidilfitri pada setiap tahun di surau namun atas faktor umur, dia hanya dapat mengetuai solat sunat di rumah sahaja.
Satu malam sebelum satu Syawal, sepupu perempuan saya mempunyai satu masalah yang saya kirakan agak besar untuk kaum perempuan. Dia belum lagi membeli tudung untuk dipakai pada keesokannya! Jadi sebagai seorang lelaki sejati dan budiman saya meminta adik saya untuk menghidupkan enjin kereta untuk ke bazar-bazar yang masih lagi dibuka. Bermulalah pencarian tudung pada malam itu.
Bulan Mei juga bulan di mana saya memotong rambut saya di kedai gunting rambut selepas hampir dua tahun tidak menjejaki mana-mana kedai gunting rambut. Ini adalah kerana saya dikehendaki untuk pulang ke kampus selepas sekian lama belajar di atas talian.
Waktu itu, tidak banyak yang saya harapkan dan tidak tahu apa akan terjadi pada diri saya. Saya cuma berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan dikurniakan rakan serumah yang baik. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan.
Jun
Jalan-jalan dengan rakan serumah untuk pertama kalinya. Orang kata bonding session. Kita orang keluar untuk tengok movie sahaja sebenarnya dan makan-makan sikit. Naik bas dan MRT sendirian tak sama dengan naik dengan kawan-kawan. Lama sangat tak naik pengangkutan awam sampai kredit dalam kad IC pun dah tiada ðŸ˜. Nasib baik tiada cas dikenakan pada bulan itu disebabkan pembukaan semula MRT selepas sekian lama tidak beroperasi.
Saya boleh kata memang dah lali sangat dengan pengangkutan awam. Sejak dari bangku sekolah lagi saya dah biasa naik MRT untuk ke KL sendirian. Biasalah sekolah asrama, kawan-kawan semua duduk merata dan jauh.
Julai
Kami baru sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir semester 3. Anehnya, kami baru sahaja dapat berkumpul serumah untuk mengambil gambar bersama-sama.
Saya dan sekeluarga juga pulang ke kampung halaman dan bercuti di Lost World of Tambun! Sememangnya satu tempat yang harus dikunjungi oleh semua orang. Akhirnya dapat juga saya merasai pengalaman mendulang bijih timah. Selalunya tengok dalam buku teks subjek sejarah sahaja.
Tamat sahaja kenduri kahwin sepupu saya juga menandakan tamat juga cuti semester saya yang berdurasi satu minggu sahaja (medik kalau bab cuti memang kedekut).
Bulan Julai juga telah membuat saya untuk keluar dari kepompong. Entah bagaimana saya kembali bersosial dengan menyertai pasukan bola baling mewakili batch saya hahaha. Seronok juga sesekali berasa kompetitif dalam sukan selepas saya tekad untuk tidak lagi mewakili mana-mana sukan selepas tingkatan 3.
Ogos
Sukan masih belum berakhir, walaupun kami kalah tetapi bagi saya ia adalah satu kemenangan untuk diri saya. Saya telah berjaya membuktikan bawa saya masih lagi mampu menyertai mana-mana acara dan kembali 'hidup'. Sekali lagi, kami serumah keluar untuk menonton wayang dan pada kali ini ia merupakan cerita seram.
Satu ketagihan di rumah kami ialah, pada setiap petang pasti kami akan berjalan kaki bersiar-siar di kawasan sekitar dan luar kampus. Hanya hari hujan sahaja yang membatalkan niat kami. Tidak ada jalan yang kami tidak masuk menjadikan kami semua amat arif tentang selok belok kawasan itu.
Kebun orang, kampung orang, kubur cina, bukit pencawang dan tokong cina mana yang kami tidak tahu. Semuanya kami lalu dan terokai setiap petang tanpa rasa bosan. Tidak lama kemudian, cuti pertengahan semester berlangsung.
September
Kali ini, obsesi kami serumah berpindah pada sukan frisbee. Entah apa yang merasuk kami untuk ketagih bermain frisbee. Sukan yang sepatutnya tidak menggunakan kekerasan berakhir dengan parut dan kecederaan fizikal. Frisbee merupakan sukan yang ganas!
Oktober
Kami serumah keluar lagi. Siapa yang tahan kalau asyik belajar sahaja setiap waktu hahaha nampak sangat tiada life.
Bulan 10 merupakan bulan terakhir kami untuk mengejar silibus. Selepas itu tiada lagi kuliah ataupun tutorial. Setelah itu, peperiksaan besar akan berlangsung. Kumpulan PBL saya juga buat pertama kali keluar untuk makan bersama-sama kerana kami tidak pernah lagi berkumpul selain dari hal pelajaran sahaja.
Study week kini bermula!
November
Bulan yang sangat memenatkan badan dan minda. Pagi petang siang dan malam hanya belajar, belajar, belajar. Tiada apa lagi sudah mahu dilakukan. Hanya itu sahaja dalam fikiran kami.
Syukur pada tuhan, penat jerih kami telah membuahkan hasil dengan berjaya lulus dan naik tahun 3.
Disember
CUTI!
Seperti biasa, saya akan pulang ke kampung halaman. Lagi pun, tiada apa yang mahu dilakukan di rumah. Nak baca buku pun, sudah muak membaca selama sebulan tempoh hari. Saya juga seperti tiada tujuan hidup. Kelengkapan dan persediaan untuk tahun 3 juga sudah saya beli dan siapkan.
Kerja elektif masih perlu disiapkan walaupun tiada markah dan tidak menjejaskan apa-apa, kami tetap dipaksa untuk melibatkan diri. Apa boleh buat, tradisi turun temurun katanya.
2022 yang agak produktif! Good luck untuk 2023 pulak :D
ReplyDeleteyou too!!!
ReplyDelete