Mimpi Ngeri Sesi Pagi

Macam mana kalau diberi pilihan untuk patah balik masa dan kembali jadi budak kecil. Lingkungan darjah 5 atau 6 sudah memadai. Jalan cerita yang sama dan tidak memiliki semua memori sebelum memutarkan masa. Kata mudahnya, anda tidak memiliki memori masa hadapan. Masa hadapan tidak pernah berlaku.

Sungguh kelam dan bosan apabila menginjak umur dewasa. Tidak ada yang menarik langsung selain bebanan kerja dan pelajaran. Kalau dahulu suka tengok kartun, suka bermain game namun sekarang semua itu tidak mempunyai apa-apa nilai keseronokan.

Semasa saya kecil, saya selalu berfikir mengapa orang dewasa tidak suka menonton kartun. Bukankah ia seronok? Saya juga fikir yang saya akan terus menonton kartun apabila sudah dewasa. Tanggapan saya meleset, saya juga tidak lagi tertarik dengan kartun dan kadang itu saya menukar siaran yang lain.

Soal pelajaran saya tidak kisah sama sekali jika jalan cerita saya tetap sama. Merungut penat, dipaksa baca buku siang dan malam dan bapa saya yang selalu memeriksa buku latihan setiap malam membuatkan saya yakin untuk memutarkan masa. Akademik bukan masalah yang besar bagi saya pada ketika dahulu. Hanya perlu rajin dan mengulang kaji pelajaran dua minggu awal sebelum apa-apa peperiksaan, pasti tempat tiga teratas pasti dalam tangan. Namun, ada beberapa perkara yang mengganggu fikiran saya.

Sebagai penderita ekzema, saya diuji dengan kulit yang sensitif dengan peluh, panas dan sesetengah fabrik kain. Kulit saya tidak selembut dan selicin orang lain.  Pada mata kasar, memang tidak ada kelihatan apa-apa yang ganjil. Namun ia terasa kasar dan menggerutu. Krim steroid sudah menjadi benda wajib disapu setiap hari. Kawan-kawan mengata itu perkara biasa. Saya tidak boleh duduk diam, kejap-kejap pasti ada sahaja tempat yang gatal. Bak kata masyarakat, dah macam monyet.

Leher, lengan, kaki, kulit kepala saya selalu sahaja gatal-gatal. Garu sehingga berdarah itu perkara biasa bagi saya. Kelopak mata luka? Biasa. Kulit tangan luka? Biasa. Kulit kepala luka? Pun biasa. Nak mandi pun takut sebab mesti pedih punyalah. Orang selalu kata, jangan garu nanti makin gatal. Saya paling benci dan pantang kalau mendengar ayat tersebut. Ini bukan gatal gigitan nyamuk. 

Pernah juga saya tidak dapat meluruskan tangan saya sendiri kerana kawasan pelipat lengan saya mempunyai luka yang di mana jika saya meluruskan tangan saya, luka itu makin terkoyak. Alhamdulillah, walaupun kerap luka saya tiada parut luka yang berkekalan sehingga sekarang. Walaupun begitu, kulit saya tidak akan pernah lagi lembut dan selicin orang lain. 

Tambahan pula, saya alahan pada ayam, telur, susu lembu, makanan laut dan banyak lagi. Jadi apa sahaja yang boleh saya makan? Pada satu ketika itu, saya hanya mampu makan daging lembu sahaja untuk beberapa lama saya tidak ingat. Kalau saya langgar pantang, badan saya akan gatal dan mata saya akan berair dan tidak mampu untuk membukanya untuk dua hingga tiga jam. 

Gambar sekadar hiasan

Setiap pagi selama 10 tahun, kelopak mata saya akan di "gam". Setiap pagi juga saya meraba jalan ke bilik air seperti seorang buta hanya untuk membasuh mata saya untuk membuang kerak-kerak yang terkumpul sepanjang waktu tidur. Kalau orang lain ada dark circle dekat mata tu mungkin sebab berjaga malam, tapi saya dari tadika lagi sudah ada kerana masalah mata yang gatal.

Oleh itu, saya sangat susah hati jika bersekolah pada sesi pagi. Jika bernasib baik, senang sahaja ia terlerai dan mata tidak akan gatal. Jika nasib tidak baik seperti selalu, saya tidak mampu untuk membuka kedua-dua mata kerana terlalu gatal dan berair. Bapa saya tetap hantar saya ke sekolah dalam keadaan saya yang sebegitu rupa. Saya tiada pilihan, kerana setiap pagi saya bangun dalam keadaan seperti ini. Tak mungkin saya mahu ponteng kelas setiap hari.

Apa yang saya biasa lakukan, saya akan menekan mata saya dengan sapu tangan. Sesekali saya akan membuka mata saya untuk melihat jalan ke kelas. Sehingga hari ini saya akan pastikan sapu tangan saya berada dekat dengan saya. Ia menjadi satu tabiat. Kalau dahulu di dalam poket, kini saya simpan di dalam beg.

Satu hari kelakuan saya diteguri oleh seorang ustazah. Saya mengatakan habuk masuk di dalam mata. "Tipu!!!", jerit ustazah. Tersentak saya di situ. Saya tidak tahu untuk menerangkan penyakit ini kepada orang ramai. Apa yang saya tahu, ia tidak berjangkit sama sekali. Mujur ustazah memahami dan tahu yang saya juga tidak boleh berada di tempat yang cahayanya terang-benderang dan menyuruh saya memakai kaca mata hitam ke sekolah.

"Dah tahu sakit mata pun sibuk nak datang sekolah! Kalau berjangkit dekat orang lain macam mana?!"

Teringat ayat seorang budak perempuan itu. Sampai ke hari ini, suara itu kedengaran dengan sangat jelas kerana dia menjerit. Penat nak ulang banyak kali. Dah kalau setiap hari mata sakit, takkan la tiap hari juga tak datang sekolah? 

Jarang sekali orang bertanyakan tentang keadaan saya atau bertanyakan adakah saya perlukan sebarang pertolongan. Itulah yang menyebabkan saya menjadi seorang yang agak pendiam dan sentiasa berada di tempat duduk sendiri kerana saya sibuk menahan pedih dan gatal di dalam mata. Nak melihat papan putih pun susah, inikan pula nak bermain-main di belakang kelas. Kebiasaannya, keadaan ini akan berlarutan satu hingga dua jam. Study pun tak ada mood kalau tak boleh nak menulis bagai.

Masuk sahaja tingkatan 3, ajaibnya mata saya tidak gatal lagi pada waktu pagi. Kalau ada pun sikit-sikit sahaja. Paling-paling pun sebelum rehat mata saya akan kembali sihat. Saya terfikir jika betul saya boleh kembali ke masa lampau, saya tidak mahu lagi mengalami benda yang sama berulang kali. Tujuan saya menulis ini untuk saya mengenang semula diri saya yang lalu dan sebagai peringatan untuk saya untuk terus bersyukur kerana tidak lagi menderita sebegitu rupa.


Comments

  1. that sounds terrible. i'm glad you're doing better now :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hmm siapa ingat ni cerita horror awal-awal hahaha

      Delete

Post a Comment

Most Popular