OBSTETRICS & GYNAECOLOGY POSTING!!!
Assalamualaikum dan selamat sejahtera!
Selalu kita dengar orang selalu sebut "Sakit Puan" tapi macam tak tahu apa benda sebenarnya sakit puan ni. Salah satu teras untuk Tahun 3 pelajar perubatan ialah posting/rotation Obstetrics & Gynaecology (O&G).
O&G ni sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu obstetrics di mana kita belajar tentang semua perihal tentang wanita yang sedang mengandung, nak bersalin atau yang nak mengandung dan segala perihal tentang bayi dalam kandungan. Gynaecology pula tentang segala perihal tentang kesihatan organ reproduktif wanita.
Anda seorang lelaki yang sendu dan kekurangan perhatian wanita? Sangat pemalu dan janggal dengan kehadiran perempuan yang ramai? Maka, O&G adalah solusinya. Kawan-kawan, PPK, staf nurse, Sister, Matron, Houseman tersakiti, MO tersakiti dan doktor pakar, 90% adalah perempuan. Pesakit anda juga 100% adalah wanita (tapi pakar ramai lelaki).
Salah satu posting maut yang digeruni oleh kebanyakan pelajar perubatan. Lebih-lebih lagi untuk pelajar lelaki. Bukan senang nak dapatkan kebenaran untuk melakukan pemeriksaan kepada pesakit wanita. Kebanyakannya akan menolak anda untuk menyentuh mereka walaupun ditemani oleh rakan wanita (chaperone). Tapi tidak semualah, ada yang faham dan sudi memberi kerjasama. Kalau tidak, sampai bila tidak akan belajar apa-apa.
I've been here, trust me. |
Saya nak ceritakan pengalaman saya sebagai seorang pelajar dan juga sebagai seorang lelaki yang berada di posting O&G ni. Umum mengetahui, pesakit saya adalah wanita. Sebagai seorang lelaki, saya amat memahami tentang keberadaan saya yang pasti mengundang ketidakselesaan sebahagian besar mereka.
Jadi, inisiatif saya ialah selain berpakaian kemas (menunjukkan kredibiliti), menggunakan suara yang tidak kasar dan teratur, tidak mendekati katil pesakit tanpa rakan wanita di sisi dan yang paling penting ialah SENTIASA MEMINTA KEBENARAN PESAKIT. Pastikan mereka selesa dengan anda dan buat mereka percaya anda. Bersembang ke apa-apalah janji mereka boleh selesa sedikit.
Kalau kena reject tu memang perkara biasa untuk seorang lelaki, percayalah. Setiap hari, pasti separuh daripada pesakit yang saya approach akan menolak saya untuk memeriksa mereka. Saya faham kerana mereka juga ada perasaan malu dan sebagainya. Tipulah kalau tak pernah patah semangat sebab asyik kena reject. Tapi, hak pesakit adalah lebih utama. Puas doktor pujuk untuk membolehkan kami yang lelaki ni untuk tengok rakan wanita kami melakukan pemeriksaan perut, tetapi tidak berjaya. Hak pesakit adalah lebih utama. Teruskan mencari sehingga peluang itu tiba.
Lebih malang lagi kalau kawan-kawan perempuan semua hilang entah ke mana. Satu apa pun kau tak boleh nak buat dekat wad tu. Nak pergi mana-mana mesti kena ada kawan perempuan yang teman. Saya hargai kawan-kawan saya yang selalu tanya jika saya mahu mereka menemani saya untuk clerking atau physical examination. Kadang-kadang tu saya segan nak minta dia orang teman saya sebab macam menyusahkan pula, dia orang pun ada nak buat kerja lain. Terima kasih korang!
Lumrah tahun klinikal, kena penuhkan logbook. Buat yang tak tahu, logbook ini macam buku autograf. Kita akan cari doktor atau nurse untuk minta cop dan tandatangan mereka. Dalam logbook ada prosedur yang perlu kita tengok, jumlah presentation dan macam-macam lagi yang perlukan cop doktor dan nurse. Kalau tak cukup cop, kuranglah markah logbook jadi susah nak lulus.
Nak dapat cop bukan senang tau rakan-rakan, berhempas-pulas menjadi bayang-bayang doktor yang sibuk, berdiri macam kayu dalam bilik pembedahan, stay dekat wad bersalin sampai tengah malam sambil ditemani ibu-ibu mengandung yang dalam kesakitan (dia orang pun dah muak tengok muka kau je dekat situ dari pagi sampai tengah malam). Lepas dah berdiri berjam-jam tengok ibu-ibu bersalin, dengan muka seposennya, lepas tu muka takut-takut nak minta cop doktor. Sebab kita tahu semua orang dekat situ sangat SIBUK! Itu yang kadang-kadang kena berdiri lagi satu jam sebab nak tunggu waktu doktor santai (santai sikit je la).
Pertama kali saya tengok proses bersalin dalam pukul 10 malam macam tu. Si ibu dah tahan sakit dari petang lagi. Selalunya makanan terakhir ibu-ibu mengandung yang nak dekat bersalin ni pukul 8 pagi macam tu dan selalunya makan roti je. Bayangkan, dengan laparnya dan sakitnya yang ibu-ibu ni terpaksa harungi.
Saya ingat lagi, seorang ibu ni pertama kali mengandung (orang panggil primigravida) dan pertama kali nak bersalin. Mestilah kurang pengalaman dan tak tahu pun macam mana nak meneran. Secara fisiologinya, untuk ibu yang pertama kali mengandung, pasti tempoh bersalinnya akan lebih panjang.
Sambil ibu itu meneran sambil staff nurse dan houseman tersakiti disamping beliau memberi dorongan yang "Semangat", saya hanya berdiri di hujung katil menyaksikan segala yang sedang berlaku. Dia sudah pun penat dan kehilangan tenaga, kepala bayi sudah pun turun tapi belum keluar lagi.
Lama juga kepala bayi itu di situ, nurse sudah menjerit-jerit meminta ibu itu untuk terus meneran. Sampailah satu benda yang saya rasa macam nak pengsan tengok berlaku, staff nurse itu mencapai gunting lalu memotong sedikit dekat vagina (episiotomy) untuk meluaskan lagi bukaan. Saya rasa macam nak terbang dari situ, saya pernah melakukan episiotomy tetapi hanya pada patung bukan pesakit betul. Ternyata ia tidak sama dengan dunia sebenar.
"Aku rasa Ceasar adalah pilihan terbaik, sejam dah settle.", ujar saya yang sudah mahu pengsan melihat episiotomy.
"Aku rasa takut pula nak beranak.", kata Nadia yang bertindak sebagai chaperone saya (bukan nama sebenar) yang masih santai di posisi.
Darah melimpah-limpah keluar, setelah beberapa lama bertarung. Akhirnya, ibu itu selamat melahirkan anak perempuan yang sihat. Tali pusat telah dipotong dan bayi itu akan diuruskan oleh doktor pediatrik. Selepas itu, uri (placenta) perlu dikeluarkan juga. Pada proses ini, ibu tidak boleh meneran dan perlu relaks sahaja. Selesai semua itu, sesi jahitan akan dimulakan. Ubat bius telah diberikan terlebih dahulu untuk mengurangkan kesakitan ibu. Lepas itu apa lagi, saya pun berebut partogram dengan staf nurse dan HO semata-mata hendak penuhkan log book.
Saya meminta kebenaran nurse untuk memeriksa uri tersebut dan kali pertama saya memegang uri yang masih lagi suam, dipenuhi darah dan sangat licin. Nurse sangat baik dan sudi tunjuk ajar bahagian uri dan apa yang perlu kita periksa pada uri. Begitu juga dengan MO tersakiti yang juga tidak sombong untuk menjawab pertanyaan dari kami yang masih belajar ini.
episiotomy |
Kalau ikut pengalaman saya, kalau bukaan cerviks itu baru 4 cm, boleh pergi main badminton pun sempat. Paling-paling pun 6 jam. Itu kalau normal, saya pernah berdiri dari pukul 10 pagi sampai 6:30 petang semata-mata nak tunggu seorang ibu ini bersalin. Bukaan cerviks ibu itu hanya 4 cm dari pagi sampai petang. Kesudahannya, kena tolak masuk bilik bedah untuk Caesarean section (EMLSCS). Saya mahu melihat proses bersalin yang normal untuk memenuhkan logbook saya tapi apakan daya, hanya ruangan "Caesarean section" sahaja dapat diisi.
Pada satu tengah hari, saya dapat lagi menyaksikan proses bersalin. Tetapi pada kali ini, kepala bayi tersebut sudah pun keluar dari vagina ibu tersebut tetapi tidak dapat mengeluarkan badannya. Muka bayi tersebut menjadi sebiru-birunya selama lebih kurang 4 minit!
8 orang nurse dan 3 orang doktor menjerit-jerit untuk menyuruh ibu tersebut meneran. Suasana pada waktu itu sangat genting. Semua orang risau dan keadaan menjadi lebih tertekan. Nurse sudah pun menelefon pakar untuk turun segera. Saya yang hanya berdiri tegak di hujung katil seperti tiang juga amat tertekan kerana saya amat risau dengan keadaan bayi itu, iyalah muka sudah biru untuk 4 minit!
Syukur, segalanya dipermudahkan oleh yang Maha Esa. Bayi tersebut berjaya dikeluarkan secara normal. Selang beberapa saat, dua doktor pakar tiba serentak dalam arah yang berbeza sambil berlari. "Aik habis dah ke?", kata salah seorang dari mereka sambil tercungap-cungap. Walaupun suasana yang amat genting berlaku, seperti biasa saya akan berebut partogram dengan staf nurse dan HO.
Itu sahajalah antara kisah yang saya mahu kongsikan sepanjang saya berada di posting tersebut. Setakat balik tengah malam itu apalah sangat. Sampaikan MO pun halau balik suruh nikmati kehidupan sepuas-puasnya sebelum jadi doktor betul. End of Posting (EOP) yang macam ujian pun saya dah lalui dan saya tidak beberapa yakin dengan keputusan saya. Semoga ada keajaiban yang berlaku dan saya tidak gagal. Bye!!!
yang baca pun terasa ngilu oi ðŸ˜ðŸ˜ðŸ˜ tahniah dah habis, semoga lulus pulak!!
ReplyDeleteTerima kasih baca sampai habis, alhamdulillah dah lulus!
Delete