Saya Beli Gaming Laptop Baru! Review HP VICTUS 16 2023!
Assalamualaikum dan salam sejahtera!
Hi korang, hari ini rasa macam teruja sikit sebab menaip entry kali ini menggunakan komputer riba yang baru saya beli semasa jualan runtuh 3/3/2024 tempoh hari.
Saya sungguh gembira dengan laptop baru saya ini. Saya kumpul duit elaun dan juga mengambil upah bekerja sebagai pembantu katering di hujung minggu.
Idea ini tercetus pada satu hari di mana saya inginkan komputer riba yang baru. Komputer riba yang sedia ada dalam keadaan baik sahaja tetapi saya inginkan yang lebih berkuasa dan menarik. Hal ini kerana, laptop lama saya itu tidak dapat digunakan untuk bermain game dengan lancar.
Victus |
Kadang-kadang video tersekat dan cepat menjadi panas. Jadi saya fikir, apa kata saya membeli laptop yang baru sahaja? Gaming Laptop!
Umum mengetahui bahawa gaming laptop tidaklah murah jika mahu dibandingkan dengan laptop yang berada di pasaran. Oleh sebab itulah kita kena wajib buat bacaan dan kajian terlebih dahulu supaya wang yang kita belanjakan itu lebih berbaloi!
Debat CPU yang tiada penghujungnya |
Hampir sebulan saya buat persiapan memilih jenama laptop dan graphic card apa yang sesuai dan berpatutan yang kena dengan bajet saya. Bajet saya sekitar RM3500 sahaja. Apa yang saya buat, saya bertanyakan pendapat kepada adik saya.
Adik saya lebih mahir dan arif dalam bab-bab teknologi dan komputer. Jadi, pendapat beliau harus di ambil kira. Adik saya mencadangkan untuk membeli laptop berjenama HP. Kerana dia juga memakai jenama HP dan padanya tiada masalah setakat ini.
Kami meluangkan masa mencari dan memilih model gaming laptop di laman sesawang rasmi HP. Kami tertarik dengan HP Victus. Setelah meneliti dari segala sudut, saya membuat keputusan untuk membeli HP Victus 16 yang merupakan keluaran terbaru dari HP.
Saya menonton banyak video di YouTube dan TikTok untuk melihat sudut pandang pengguna di luar sana. Saya mengambil kira kelebihan dan kekurangan. Pilihan saya sebenarnya tidak terhad pada HP Victus sahaja, saya ada juga meninjau laptop yang lain seperti Asus ROG, ASUS TUF, Acer Nitro dan juga Lenove Legion 5.
Lawa memang lawa, ada yang mampu mencecah berbelas ribu ringgit! |
Kesemua laptop ini saya sudah baca, kaji dan bandingkan dari segi harga, CPU, GPU, RAM, display dan lain-lain. Pada pendapat saya, Asus ROG agak mahal dan juga tidak setanding dengan spefikasi yang ditawarkan. Asus TUF pula murah namun ramai pengguna menyuarakan pendapat sumbang mengenai masalah WiFi Card di dalam TUF.
Design yang minimalistic |
Saya juga ada bertanyakan pendapat kepada rakan-rakan karib saya. Rata-rata mereka memberikan pandangan yang bagus dan cemerlang. Namun, cadangan mereka itu akan melebihi bajet saya. Ada yang mencadangkan untuk membeli komputer sahaja (Dekstop PC) berbanding komputer riba kerana harga yang lebih murah dan kita mampu pilih sendiri barang-barang yang kita mahukan.
Saya dahulunya tidak tahu menahu langsung tentang spesifikasi CPU, GPU dan lain-lain sehinggalah tahun ini saya ambil cakna. Banyak artikel yang saya baca untuk fahamkan diri saya setiap fungsi sesuatu benda itu dan memahami mengapa ramai orang berbeza pandangan.
Benar juga pendapat mereka namun saya mahukan sebuah laptop yang boleh diangkut ke mana-mana sahaja. Jika saya membeli PC, saya hanya mampu menggunakannya di hujung minggu sahaja itu pun kalau saya pulang ke rumah.
Pentaksub PC vs Pentaksub Laptop |
Dilema yang saya hadapi juga ialah membeli laptop di kedai atau di Shopee sahaja. Di kedai komputer sudah tentu kita dapat lihat sendiri dan merasai dahulu laptop tersebut namun harganya jauh lebih mahal.
Membeli di Shopee walau jauh lebih murah kerana baucar tetapi risiko di tipu dan rugi juga lebih tinggi. Saya tahu bajet saya tidaklah banyak, jadi saya perlu tekun membuat pemeriksaan kedai-kedai di Shopee.
Setiap review saya akan baca, rating kedai tersebut dan membandingkan harga dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Saya akan menghubungi setiap kedai yang saya pilih dan bertanyakan pelbagai soalan kepada mereka sehingga saya puas hati.
Saya sudah melihat harga HP Victus 16 di Shopee dan rata-rata RM3400-3600 sahaja. Jadi saya tunggu jualan pada 3.3 yang selalu dilakukan oleh Shopee pada setiap bulan. Bayangkan daripada berharga RM3400 lebih saya berjaya mendapatkan sekitar RM3100 sahaja! Harga runcit di kedai komputer mampu mencecah RM4000-RM4500 lebih tau untuk HP Victus 16!
Ini spefikasi laptop saya:
Windows 11 Home (64-bit)
AMD Ryzen™ 5 7640HS (up to 5.0 GHz max boost clock, 16 MB L3 cache, 6 cores, 12 threads)
16GB DDR5-5600 MHz RAM (2x8GB)
512GB PCIe Gen4 NVMe SSD
NVIDIA® GeForce RTX™ 4050 Laptop GPU (6 GB GDDR6 dedicated)
16.1" FHD (1920 x 1080), 144Hz, 250 nits, anti-glare display
MediaTek Wi-Fi 6 MT7921 (2x2) and Bluetooth® 5.3 (supporting gigabit data rate)
Backlit Keyboard, Bang & Olufsen, Camera privacy shutter
1 USB Type-C® 5Gbps signaling rate (USB Power Delivery, DisplayPort™ 1.4, HP Sleep and Charge);
1 USB Type-A 5Gbps signaling rate (HP Sleep and Charge)
2 USB Type-A 5Gbps signaling rate ;
1 RJ-45;
1 AC smart pin;
1 HDMI 2.1;
1 headphone/microphone combo
230 W AC power adapter
4-cell, 70 Wh Li-ion polymer
36.9 x 25.94 x 2.29 (front) – 2.39 (rear) cm, 2.33 kg
2 Years HP Onsite Warranty + 2 Year ADP (Battery and adapter 1 year)
Saya sudah berjaya jimat dalam RM300 lebih juga. Saya terpaksa mengeluarkan duit simpanan saya daripada ASB sebanyak RM1400 untuk menampung perbelanjaan saya ini. Tuah saya dapat menjimatkan beberapa ratus ringgit, baki duit itu saya masukkan semula ke dalam ASB.
Duit di ASB sepatutnya tidak boleh saya kacau kerana saya tidak mahu biasakan diri menggunakan duit simpanan peribadi saya kecuali hal kecemasan.
Bagi saya, dua-dua |
Setelah sebulan menunggu dan hampir setiap hari saya menonton video review di YouTube, saya berjaya membelinya tempoh hari. Perasaan yang amat gembira lebih-lebih lagi duit kita sendiri dan bukan duit siapa-siapa.
Tidak pernah saya merasakan dapat bermain game di laptop dengan begitu lancar dengan grafik yang sangat cantik. Sudahlah begitu, papan kekunci laptop ini juga dilengkapi dengan lampu RGB! Memang sangat cantik di dalam gelap!
Ibu bapa saya juga tidak tahu tentang pembelian laptop saya yang baru ini. Sehinggalah dua tiga hari sebelum saya membelinya, adik saya memberi tahu ibu saya tentang hal ini. Ibu bapa saya tidak banyak bunyi dan membenarkan sahaja kerana saya sudah mengumpul sejumlah wang.
Laptop lama saya masih ada di sisi saya. Bapa saya ada juga meminta untuk memberikan laptop lama saya padanya kerana dia tidak mempunyai laptop sendiri. Saya agak berat hati untuk memberikan laptop lama saya kepada bapa saya, saya sayang laptop itu. Banyak kenangan yang saya cipta, itulah laptop pertama saya dan daripada laptop lama saya itulah terhasilnya blog saya ini yang kini sudah masuk 4 tahun usianya.
Terima kasih komputer riba lama, khidmat anda masih diperlukan dan anda masih relevan. Saya harap laptop lama saya tidak mengarang karangan "Aku sebuah komputer riba".
Bye!!!
Adik-adik seluruh dunia memang selalu pro bab tech ni eh? 🤣 Congrats do!
ReplyDeleteHahaha terima kasih, lepas ni iphone pula.
Delete