PSYCHIATRY POSTING: JOURNEY THROUGH THE MIND & SCRIBBLING SANITY

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada para pembaca. Semoga Tuhan memberkati kalian walau di mana anda semua berada.

Kali ini saya mahu kongsikan pengalaman saya sepanjang dua bulan di wad mental di bawah jabatan psikiatri.

Pertama sekali, apakah stigma kalian terhadap pesakit mental? Mereka ini semuanya orang gila? Orang tidak siuman? Orang yang ganas dan mahu menyakiti orang lain pada setiap masa? Jika mereka sudah pulih dari sakit mereka adakah anda akan mahu kehadiran mereka di antara kamu semua?

Itulah pentingnya Empati.

Tanpa empati, kita tidak akan ke mana-mana. Stigma akan kekal sebagai stigma. Tiada yang berubah. Kasihan pada mereka yang memerlukan pertolongan kita. Mereka sakit yang tidak dibuat-buat. Ujian untuk mereka dan juga kita.


Rujukan utama untuk psikiatri!

A) Pengenalan Wad Psikiatri

Wad psikiatri dijaga rapi dan dikunci setiap masa tidak seperti wad biasa. Pesakit yang masuk ke sini bergantung kepada hospital yang anda pergi. Rata-rata yang masuk ke wad psikiatri adalah disebabkan cubaan membunuh diri, mencederakan orang lain, bersikap aneh di tempat umum dan lain-lain.

Kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam wad psikiatri. Hati berdebar-debar. Melihat pintu wad yang dikunci rapi dan hanya mampu dibuka melalui kad keselamatan staf sahaja. Semua mata memandang pada kami. Mereka teruja melihat kami kerana mereka tahu kami muka-muka baru.

"Helo doktor!", sahut Si A.

"SAYA MAHU JADI DOKTOR JUGA!", jerit Si B menyampuk dari jauh.

Jerit pesakit-pesakit lelaki sebaik mereka melihat rakan-rakan wanita saya. Mereka suka mengusik wanita. Apa lagi, ketakutanlah mereka selepas disapa mesra oleh pesakit di situ. Kawan-kawan perempuan saya semuanya berjalan dengan pantas seakan berlari-lari anak ke ruang yang "selamat" di sebalik pintu yang berkunci. Mereka seronok mengacau kami yang tidak biasa dengan karenah mereka yang sebegitu rupa.

Struktur dalaman wad psikiatri juga berlainan daripada wad biasa yang kita lihat. Katil dan kabinet meletakkan barang peribadi pesakit serta tandas dan ruang tamu untuk mereka berlegar-legar menonton televisyen itu sahaja.Tiada alat-alat perubatan yang canggih-canggih di sekitar wad.

B) TOP 3 Pesakit Mental Di Wad Psikiatri

1) Kemurungan (Major Depression Disorder a.k.a. MDD)

Pesakit kemurungan dapat dilihat di dalam wad atas sebab-sebab tertentu. Tahap kemurungan seseorang akan menentukan sama ada mereka layak atau tidak untuk ditahan di wad psikiatri. Kita ada 3 kategori: Mild, moderate & Severe. Kebiasaannya, mereka yang di tahap severe akan dimasukkan ke dalam wad.

MDD ada 9 simptom secara keseluruhannya. Cuba anda perhatikan jika anda juga mempunyai simptom yang sama.

Kriteria MDD: Sekurangnya 5/9 simptom selama lebih 2 minggu sehingga memberi kesan pada kehidupan seharian seperti bekerja dan bersosial.

Mereka yang berada di wad kebanyakannya disebabkan cubaan membunuh diri. Bermacam-macam cara yang saya dengar mereka ceritakan. Sikap empati adalah sangat penting untuk memahami pesakit mental.

Apa yang utama ialah punca kepada kemurungan mereka dan cara-cara untuk kita membantu mereka untuk keluar daripada masalah kemurungan. Masalah keluarga bercerai, ditinggalkan kekasih hati, kematian ahli keluarga, masalah buli di asrama adalah punca-punca utama mereka.

2) Bipolar Disorder (Penyakit bipolar)

Masih ramai lagi di kalangan kita yang tidak tahu atau kurang faham tentang bipolar. Sini saya ceritakan dalam bahasa mudah.


Penyakit Bipolar ada banyak jenis contohnya Bipolar I, Bipolar II dan lain-lain. Mereka yang menghidap penyakit Bipolar akan mengalami simptom perasaan gembira yang sangat-sangat atau selalu marah-marah. Di samping itu, mereka akan rasa penuh bertenaga sehingga tidak perlu tidur, banyak bercakap, terlibat dalam aktiviti yang berisiko tinggi seperti berbelanja dengan boros, memulakan perniagaan yang kita sendiri tidak mahir dan lain-lain. Pesakit Bipolar juga boleh merasakan simptom kemurungan selama 2 minggu. Kebanyakan mereka yang masuk ke dalam wad disebabkan sifat agresif mereka.



3) Schizophrenia (Skizofrenia)

Saya paling suka clerk pesakit schizophrenia. Apa itu schizophrenia? Ia merupakan satu penyakit mental yang menggangu pemikiran disertai dengan delusi atau halusinasi. Simptom ini perlulah melebihi 6 bulan dan ada kesan tidak baik kepada fungsi seseorang itu dari segi kerja dan hubungan.

Banyak sebab seseorang itu menghidap skizofrenia contohnya sejarah keluarga ada yang menghidap skizofrenia, masalah semasa kelahiran seperti jangkitan, penggunaan bahan terlarang seperti ganja juga dapat meningkatkan risiko untuk menghidap skizofrenia.

Antara spektrum penyakit skizofrenia

Halusinasi yang paling kerap di kalangan pesakit skizofrenia ialah halusinasi pendengaran. Mereka dapat mendengar suara yang sangat jelas di telinga dan suara itu akan berkata tentang hal-hal yang kurang menyenangkan. 

Second person auditory hallucination adalah di mana suara itu bercakap dengan kita menggunakan "Kau, awak." manakala third person auditory hallucination adalah di mana dua atau lebih suara bercakap sesama sendiri tentang diri kita. Running commentary hallucination pula apabila suara itu komen apa yang sedang kita lakukan. Contohnya, kita sedang minum air dan suara itu akan berkata sesuatu seperti "Tengah minum air."

Terdapat juga halusinasi yang lain seperti visual hallucination, tactile hallucination, gustatory dan olfactory (bau). Semua halusinasi ini digambarkan oleh pesakit sebagai mereka merasakan semua itu dengan organ deria masing-masing.

Delusi pula ialah fahaman yang tetap, salah dan tidak dapat digoyahkan walaupun disertakan bukti dan tidak selari dengan tahap pendidikan, budaya seseorang.

Delusi yang paling kerap dijumpai adalah Persecutory Delusion. Delusi ini digambarkan apabila seseorang itu percaya bahawa ada pihak yang ingin mencederakan diri dia. Delusion of reference pula mengambarkan bahawa dia percaya yang orang sekeliling sedang menceritakan tentang diri dia. Dia merasakan bahawa berita di TV atau radio sedang bercakap mengenai diri dia. Grandiose Delusion adalah tentang seseorang pesakit itu percaya yang dia lebih istimewa dan mempunyai kuasa luar biasa. Mengaku tuhan, mengaku seorang nabi adalah pemandangan biasa di wad.

Rata-rata pesakit skizofrenia tidak mempunyai kesedaran tentang penyakit mereka (poor insight), mereka juga tidak tahu yang mereka tidak memerlukan rawatan dan berkata diri mereka sihat sahaja.

Pesakit skizofrenia juga mempunyai simptom seperti disorganised speech, disorganised behavior dan negative symptoms. 

C) Cara saya belajar

Psikiatri memerlukan pembacaan yang menyeluruh dan panjang, pemerhatian tindak tanduk seseorang untuk memberi diagnosa yang tepat. Cara yang paling efektif untuk menghafal beratus-ratus penyakit mental adalah dengan berjumpa sendiri dengan mereka di klinik atau di wad. 

Ambil sedikit masa dan tanya tentang diri mereka dan apa yang mereka lalui. Selalunya simptom mereka ada di dalam kitab terunggul psikiatri iaitu DSM-V. Automatik kita sendiri ingat kerana kita teringat tentang pesakit-pesakit yang kita sudah temui sendiri.

Saya ambil peluang ini untuk mendekati dan menyelami minda mereka. Rasa berhati-hati tetap ada kerana kadang-kala, tingkah laku mereka adalah sangat rawak. Mereka boleh bercakap dengan anda dengan nada gembira dan secara tiba-tiba dia boleh menangis teresak-esak dan gembira semula dalam masa yang sangat singkat.

Saya kebiasannya akan membaca 3 atau 4 buku serta merujuk Clinical Practice Guideline (CPG) Malaysia untuk mendapatkan info merawat penyakit mental yang terkini. Rata-rata pelajar medik mengabaikan CPG dan membaca buku teks keluaran United Kingdom. Tidak ada salahnya, namun kita berada di Malaysia dan statistik pesakit dan kegunaan ubat di Malaysia ada kelainannya. 

Tentang buku teks, anda boleh membelinya secara fizikal di kedai buku namun saya lebih selesa meminjam buku teks di perpustakaan atau membaca sahaja ebook di iPad. Namun begitu, ia merupakan pendapat masing-masing.

Saya juga berlatih clerking dengan kawan-kawan. Ambil masa 10 minit sahaja. Jika malas nak ke wad atau sangat sibuk sehingga tidak sempat dalam masa sehari, ambil initiatif untuk lakukan Role Play bersama kawan-kawan. Dengan cara ini, dua-dua pihak akan dapat cara bertanyakan soalan yang tidak kedengaran janggal dalam bahasa Melayu dalam masa sama peka dengan simptom penyakit mental.

Bagi saya, berjumpa dengan pesakit mental adalah pengalaman yang sangat berharga yang tidak boleh dibeli dimana-mana. Saya teringat pepatah lama yang berbunyi:


Saya tahu ramai suka duduk di bilik dan baca buku kerana lebih efisyen dan untuk score exam. Jika terus begini, masa houseman pasti akan lagi sengsara.

Setiap hari mesti mahu baca juga untuk ulangkaji. Cumanya, saya selalu pulang ke rumah pada hujung minggu. Jadi, hujung minggu memang saya tidak buka buku langsung hahaha.

D) LAWATAN RUMAH

Jabatan psikiatri kebiasaannya akan membuat lawatan ke rumah pesakit-pesakit psikiatri untuk memastikan keadaan mereka terkawal. Saya ada mengikuti kumpulan psikiatri ke lebih 5 buah rumah pesakit yang kadang kala perlu diberi ubat-ubatan pada ketika itu. Kami berpeluang untuk menyuntik sendiri ubat untuk pesakit.

E) KONKLUSI

Posting psikiatri sememangnya membuka mata dan minda saya terhadap penyakit mental. Tingkah laku mereka datang daripada penyakit yang mereka hidapi. Siapakah kita untuk menghukum mereka. 

Doktor-doktor dan semua staf di jabatan psikiatri sangat baik dan suka mengajar kami yang entah apa pun tidak tahu, biasalah orang baru hahaha.

Dua bulan untuk posting psikiatri semestinya cukup bagi saya untuk menimba pengalaman dan pengetahuan. 

Banyak benda yang saya suka untuk kongsikan namun tidak sesuai diceritakan secara umum dan khalayak ramai.

Sekian.

Comments

Most Popular