Kuala Lumpur
Aku sememangnya dibesarkan di Kuala Lumpur, ibu negara tanah air tercinta. Setelah itu, barulah aku berpindah ke negeri berhampiran. Tetapi, aku sentiasa ke sana untuk meluangkan masa. Boleh dikatakan semua tempat menarik di KL aku sudah jejak bersama keluargaku sepanjang aku membesar.
Menyanyi lagu Wilayah Persekutuan di sekolah yang tidak tetap membuatkan aku kekok apabila berpindah ke negeri lain yang mempunyai lagu negeri yang lebih unik.
Tinggal di rumah flat di tengah-tengah bandar membuatkan aku terdedah dengan budaya dan cara hidup mereka yang sederhana. Rata-rata miskin bandar. Jurang yang ada di sini sangat ketara. Aku tidak mahu ulas tentang gejala sosial di sini.
Rata-rata orang tidak pernah bersyukur dan mahu merasakan diri mereka yang paling susah sedangkan tinggal di perumahan yang mewah.
Kawan-kawanku sering mengatakan yang aku seorang yang gemar berada di rumah sepanjang masa. Bukan aku tidak mahu keluar, tetapi aku sudah puas keluar rumah sewaktu diriku di bangku sekolah lagi. Setiap minggu ada sahaja perancangan bapa aku untuk keluar berjalan. Keluarga aku kaki berjalan.
Ingat lagi tentang perhimpunan Bersih yang diketuai pihak pembangkang suatu ketika dahulu? Aku berada di situ pada waktu itu, bukan sebagai penyokong tetapi kerana kebetulan sahaja. Waktu itu patutnya hanyalah hari-hari biasa aku dan keluarga keluar berjalan kaki di KL.
Kadang-kadang bapa aku mengajak kami untuk meronda bandar raya KL pada waktu malam hanya unutk suka-suka menikmati keindahan kota raya pada waktu malam. Saya akui bahawa KL sangat cantik pada waktu malam. Salah satu benda yang saya tidak akan bosan.
Oleh sebab itulah aku tidak berapa teruja pun apabila ada yang mengajak aku berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Aku tahu perasaan seronok tidak sama apabila keluar dengan keluarga dan keluar bersama kawan-kawan.
Perasaan seronok itu lebih kepada dapat menunjukkan tempat yang menarik dan kongsikan pengalaman di situ apabila bersama kawan-kawan yang bukan berasal dari sini.
Menaiki MRT dan LRT dari siang ke malam semata-mata mahu membeli juadah berbuka di Kampung Baru dan berbuka di Dataran Merdeka, pulang ke rumah menaiki tren-tren ketika hari sudah lewat malam. Menunggu bas di Stesen Bas di Pudu.
Baju raya pun aku kebiasaannya akan cari di Jalan TAR (Tunku Abdul Rahman) dan SOGO. Tapi aku sebenarnya kurang gemar ke sana kerana suasana yang padat dengan manusia di kota. Tambahan pula cuaca KL yang panas dan udara yang tercemar.
Kini aku meningkat dewasa, ibu bapa aku tidak lagi kuat dan gagah untuk bersiar-siar di kota raya Kuala Lumpur. Mereka lebih gemar menghabiskan hujung minggu dengan membuat kebun di hadapan rumah ataupun hanya berehat sahaja. Jika mahu berjalan pun hanya tempat yang berhampiran sahaja.
Mengetahui hal ini, aku terima sahaja ajakan rakan-rakan untuk bersiar-siar di KL jika aku ada masa dan tidak sibuk. KL kota yang sentiasa berubah dengan setiap minit yang berlalu. Pasti ada banyak lagi lokasi yang perlu aku terokai.
Sekian.
Bestnya banyak jalan-jalan! Aku lahir dan membesar kat JB pun tapi JB lah tempat paling tak explore hahaha
ReplyDeletelocal effect tu hshshs
Delete